Friday, October 22, 2010

Jadual Majlis Ilmu bersama Maulana Dr. Jamal Faruq Al-Hasani di Malaysia

Anjuran : Pusat Tarbiyah dan Dakwah Darul Islah, Perlis.


Dr. Jamal Faruq Al-Hasani
Pensyarah di Kuliah Dakwah, Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir.
Tenaga Pengajar di Masjid Al-Azhar, Kaherah, Mesir.


Rabu ( 20 Oktober 2010 )


7.30 Malam - Majlis pengajian di Surau Imam As-Syafie, Taman Jali, Kangar.


Khamis (21 Oktober 2010 )

7.30 Malam - Majlis Pengajian di Masjid Pedu


Jumaat ( 22 Oktober 2010 )

9.00 Pagi - Majlis pengajian di Yayasan Paksi, Menara Zakat, Alor Setar, Kedah.

7.30 Malam - Majlis pengajian di Masjid Akar Peluru, Alor Setar.


Sabtu ( 23 Oktober 2010 )

10.00 Pagi - Majlis pengajian di Dewan Sri Mentaloon (Kediaman MB Kedah)

7.30 Malam - Majlis pengajian di Yayasan PAKSI, Parit Buntar.


Ahad ( 24 Oktober 2010 )

10.00 Pagi - Majlis pengajian di Maktab Perguruan Tuanku Bainun, Bkt Mertajam.

7.30 malam - Majlis pengajian di Masjid Bertam, Kepala Batas, P. Pinang.

Tuesday, October 12, 2010

Jadual Maulana Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani di Malaysia

Majlis Sama' Ahadis Kutub Sittah sempena pembukaan MAAHAD DARUL HADIS

مجلس سماع احاديث الكتب الستة

Anjuran : Pusat Pengajian Darul Hadis,
Yayasan PAKSI.

8 Oktober 2010 (Jumaat)
2.00 ptg : Ketibaan Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Husaini Al-Kattani di KLIA
8.45 mlm : Ketibaan Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Husaini Al-Kattani di Alor Setar Airport

9 Oktober 2010 (Sabtu)
10.00 pg : Ramah mesra Ahbab Al-Kattani & Lembaga Tadbir Darul Hadis
8.00 mlm : Majlis Sama' Ahadis 1 di Masjid Al-Muttaqin, Bandar Darul Aman.

10 Oktober 2010 (Ahad)
8.00 mlm : Majlis Sama' Ahadis 2 di Masjid Bakar Arang, Sungai Petani.

11 Oktober 2010 (Isnin)
9.00 pg : Majlis Sama' Ahadis 3 di Dewan Kolej Universiti Insaniah (KUIN)
8.00 mlm : Majlis Sama' Ahadis 4 di MPI Kodiang (Pondok Syeikh Badarudin).

12 Oktober 2010 (Selasa)
2.30 ptg : Muhadhoroh di Yayasan Khairiah, Kupang, Baling.
Ziarah Maqam Al-Marhum Ustaz Suhaimi Hj. Ahmad (Pengasas Darul Hadis)
8.00 mlm : Majlis Sama' Ahadis 5 di Masjid Jamiul Makmur, Kulim.

13 Oktober 2010 (Rabu)
10.00 pg : Muhadhoroh di Maahad Tarbiah Islamiah, Derang.
8.00 mlm : Majlis Sama' Ahadis 6 di Maahad Imam Nawawi, Tmn. Jali, Kangar, Perlis.

14 Oktober 2010 (Khamis)
10.00 pg : Majlis Sama' Ahadis 7 di Masjid Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena.
Ziarah Maqam Us. Fadhil Mohd Nor (Pengasas Darul Ulum)
4.00 ptg : Pengijazahan Aurad Al-Kattani di Masjid Sg. Daun Tengah, Smpg 3 Sg. Limau.
8.00 mlm : Majlis Sama' Ahadis 8 di Kompleks Al-Bukhari, Alor Malai.

15 Oktober 2010 (Jumaat)
8.30 pg : Kuliah Hadis PAKSI di Dewan Sri Mentaloon (Kediaman MB Kedah)
& Pelancaran Pengajian Maahad DARUL HADIS Bersama :
- Allamah Imam Al-Muhaddis Sayyid Muhamad Ibrahim Al-Kattani &
- Syeikh Nuruddin Marbu Banjar Al-Makki
8.00 mlm : Majlis Sama' Ahadis 9 di Masjid Bertam, Kepala Batas, P.Pinang.

16 Oktober 2010 (Sabtu)
10.00 pg : Majlis Sama' Ahadis 10 di Maktab Perguruan Tunku Bainun, B.Mertajam.
4.30 ptg : Majlis Sama' Ahadis 11 di Pusat Islam USM.
8.00 mlm : Ceramah di Pusat Islam USM P.Pinang
Tajuk : Manhaj Aqidah Ahlus sunnah wal Jamaah & Soal Jawab

17 Oktober 2010 (Ahad)
10.00 pg : Majlis Sama' Ahadis 12 di Kompleks Tabung Haji P.Pinang (PAKSI).
4.30 ptg : Wida' di Airport Bayan Lepas, P.Pinang.

Sumber : http://hadis-centre.blogspot.com/

Thursday, July 22, 2010

Bagi sesiapa yang mengetahui


Petikan : Syair daripada Latoiful Ma'arif karangan Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali
Terjemahan : Ibnu Juhan


Telah berlalu bulan Rejab sedangkan engkau
tidak melakukan sebarang kebaikan sepanjangnya
Dan inilah bulan Sya'ban yang dipenuhi keberkatan

Wahai orang yang mensia-siakan masa disebabkan kejahilan
tentang kemuliaannya (Sya'ban)
Ayuh bangunlah (melakukan ketaatan) dan waspadalah
daripada hanya duduk bersahaja tanpa melakukan kebaikan,

Kerana kelak engkau akan dipisahkan
daripada merasai kelazatan secara terpaksa
Kematian akan menghilangkan segala kenikmatan yang mengelilingmu
sehingga membuatkan datangnya kebencian daripadamu

Cubalah dengan sedaya untuk menghapuskan kesilapan
dengan taubat yang ikhlas
Dan jadikanlah kehidupanmu untuk memohon keselamatan
daripada neraka jahim kerana itulah sebaik-baik tempat
bagi orang-orang yang melakukan kesalahan,

Demikianlah bagi sesiapa yang mengetahuinya...

Wednesday, July 14, 2010

Tahajud Cinta

Nukilan : elmansyud
Susunan : kembara sufi
Suntingan : elmansyud


Bingkas bangun dari lamunan
Kiblat suci menjadi saksi
Malam berseri dengan ketaatan
Sunnah nabi sebagai aspirasi

Tafakur di kala pagi syahdu
Sejadah cinta terbentang indah
Munajat kasih iringan wudhu
Mendamba rahmah menagih barakah

Ketika cinta mula bertasbih
Gugur titisan mutiara kasih
Zikir sufi terpahat jernih
Suci hati rohani bersih

Ketika cinta mula bertasbih
Basah lidah khusyuk munajat
Tahajud cinta hamparan kasih
Moga Allah kabulkan hajat

Munajat kasih beralun perlahan
Gerak berpadu irama alam
Tahajud cinta bersama tuhan
memohon doa iringan salam

Rayuan kasih munajat cinta
Menadah tangan sekudus hati
Doa dipohon hajat dipinta
Rahmat diminta sampai mati

Tahajud cinta bersama tuhan
Sujud bertasbih di mihrab cinta
Ayat-ayat kasih dialun perlahan
Memuji Ilahi rahmat dipinta

Gemersik alam memuji tuhan
Zikir dan tasbih jadi lantunan
Tahajud cinta jadi amalan
Moga hampir dengan tuhan

Salam Tahajud Cinta Bersama Tuhan...

Monday, February 15, 2010

Jadual Syeikh Yusri di Malaysia

Jadual Jaulah Ilmiyah Maulana

Syeikh Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani

Di Malaysia


anjuran : Pusat Dakwah dan Tarbiyah, Darul Islah, Perlis.



Isnin ; 1 Rabi’ul Awwal 1431 H = 15 Feb 2010 M


4.00 ptg : Sampai Di KLIA dari Mesir

8.00 mlm : Bertolak ke Alor Setar (Kapal Terbang)


Selasa ; 2 Rabi’ul Awwal 1431 H = 16 Feb 2010 M


Ziarah Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Alor Setar, Kedah.


Rabu ; 3 Rabi’ul Awwal 1431 H = 17 Feb 2010 M


11.00 pg : Majlis undangan di Kg. Beseri Dalam, Perlis.

7.30 mlm : Majlis di Surau Imam As-Syafie, Taman Jali, Kangar, Perlis.


Khamis ; 4 Rabi’ul Awwal 1431 H = 18 Feb 2010 M


9.00 mlm : Majlis di Dewan Bandaran Kulim, Kedah.


Jumaat ; 5 Rabi’ul Awwal 1431 H = 19 Feb 2010 M


9.00 pg : Majlis di Menara Zakat, Alor Setar, Kedah

9.00 mlm : Majlis di Dewan Besar Ma’had Mahmud, Alor Setar, Kedah.


Sabtu ; 6 Rabi’ul Awwal 1431 H = 20 Feb 2010 M


9.00 pg : Majlis di Pondok Bukit Gajah Teriak, Jitra Kedah.

9.00 mlm : Check in di KLIA berangkat pulang ke Mesir.



Impian Jadi Kenyataan

Dr Usamah : Ya Muhammad, mata sata'ti misr marratan ukhra ?

Muhammad : Insyallah, ba'da sanah au sanatain au akthar min zalik...
Dr Yusri : Masyi khalas, nazhab ila malizia li ziaratik...

Jumaat terakhir bersama maulana Syeikh Yusri

di Masjid Al-Asyraf, Muqattam, Kaherah, Mesir.


Masih terngiang-ngiang lagi dialog ini di telinga saya pada tanggal 10 Muharram lalu setelah mengambil ijazah sanad hadis musalsal hari 'Asyura di Masjid Al-Asyraf di Jabal Muqattam bersama Maulana Syeikh Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani, Kaherah, Mesir. Kini sudah hampir sebulan 2 minggu berada di Msia setelah pulang daripada kembara ilmu di bumi Mesir, namun kerinduan begitu terasa pada bumi Mesir terutama pada sang murabbi, maulana Syeikh Yusri yang banyak mencurahkan ilmu dan hikmah, nasihat dan tarbiyah pada diri al-faqir ini.

Seminggu selepas sampai di Msia, al-faqir telah bermimpi bertemu dengan maulana Syeikh Yusri dan Dr. Usamah sewaktu bermusafir ke parit buntar menziarahi Mak Lang. Syeikh bertanyakan khabar dan al-faqir semp
at mengucup tangannya. Tatkala terjaga dari tidur al-faqir berasa sangat gembira lalu menceritakan pada mak dan abah.

"Amboi...baru balik seminggu dah mimpi jumpa syeikh, rindu sungguh tu..." balas mak.

Seminggu selepas itu, Ustaz Yusaini menelefon al-faqir :

"Juzaili, nta tolong contact Syeikh Yusri jemput dia datang msia untuk bagi ceramah sempena maulid nah, program sekitar Perlis dan Kedah..." kata beliau yang merupakan Mudir Ma'had Tahfiz Imam An-Nawawi (MATIN) dan Pengerusi Pusat Dakwah dan Tarbiyah, Darul Islah, Perlis.

Tanpa melengahkan masa al-faqir menghubungi maulana Syeikh Yusri dengan menggunakan perkhidmatan telefon melalui internet 'SmartVoip'. Alhamdulillah berguna juga akaun yang al-faqir beli di Mesir untuk menelefon keluarga di Msia, masih boleh digunakan untuk menelefon masyaeikh di Mesir.

"Na'am ya Muhammad, masyi nattafiq..." j
awab maulana Syeikh Yusri.


Alangkah gembira hati ini kerana maulana sudi untuk menerima jemputan untuk datang ke Malaysia sempena maulid. Bahkan sanggup untuk meluangkan masa sehingga 10 hari. Maulana datang bersama isteri beliau Dr. Zainab yang akan sampai di KLIA pada 15 Februari pada jam 4 petang, insyallah al-faqir akan menjemput maulana dan isterinya di KLIA dan kemudian mengiringi mereka menaiki kapal terbang untuk ke Alor Setar. Maulana akan berada di Msia sehingga 20 Februari 2010…


Pagi terakhir di Masjid Al-Asyraf,

sebelum pulang ke Malaysia


Rupanya dialog itu bukanlah satu gurauan…bahkan bicara yang berupa doa, Impian menjadi kenyataan dengan izin Allah Ta’ala…


1 Rabi'ul Awwal 1431 H

1.06 pagi


Dar Al-Hikmah,

Kg. Guru Fasa 3,

Kangar, Perlis.

Wednesday, February 3, 2010

Doa Penawar daripada Hadis Nabi

Sekadar berkongsi doa-doa yang dipetik daripada hadis-hadis nabi S.A.W sewaktu mengajar kelas tafsir surah Al-Falaq di Dar Al-Hikmah baru-baru ini.

Dr. Wahbah Al-Zuhaili menyebut dalam kitab tafsirnya Tafsir Al-Munir (Jilid 30, ms 478) :

"Kebanyakan para ulama mengharuskan minta pertolongan dengan membaca ayat-ayat ruqyah (pendinding/penawar) kerana baginda nabi S.A.W telah mengadu kepada malaikat Jibril tentang peristiwa baginda di sihir oleh orang yahudi lalu malaikat Jibril membacakan ayat-ayat ruqyah kepada nabi..."

Antara doa-doa penawar :

Doa Malaikat Jibril ke atas Rasulullah S.A.W setelah baginda mengadu kerana disihirkan oleh Labid bin Al-A’shom (yahudi) :

بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

Maksudnya : “Dengan nama Allah aku mendinding kamu daripada setiap sesuatu yang menyakiti kamu yang datang daripada setiap kejahatan jiwa atau mata orang yang hasad (dengki), semoga Allah menyembuhkan kamu dengan nama Allah aku mendinding kamu.”


(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya)

2. Doa ketika menghadapi sakit atau demam :

بِسْمِ اللَّهِ الْكَبِيرِ أَعُوذُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ مِنْ شَرِّ كُلِّ عِرْقٍ نَعَّارٍ وَمِنْ شَرِّ حَرِّ النَّارِ

Maksudnya : “Dengan nama Allah Yang Maha Besar, Aku berrlindung daripada kejahatan setiap peluh yang meruap-ruap dan daripada kejahatan setiap kepanasan api.”

(Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dalam Sunannya)

3. Doa ketika menziarahi orang yang sakit :

أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

Maksudnya : “Aku bermohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Yang Memiliki ‘Arasy yang Agung, agar menyembuhkan kamu (dibaca sebanyak 7 kali).”

(Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunannya)

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ مُذْهِبَ الْبَاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إِلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya : “Ya Allah, tuhan sekalian manusia, penghilang segala kesusahan, sembuhkanlah kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tiada sesiapa yang dapat menyembuhkan (penyakit) melainkan Engkau sahaja yang dapat mengubati dan menghilangkan sakit.”

(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dalam Sahihnya)

4. Doa mohon berlindung daripada gangguan syaitan dan sekutunya :

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

Maksudnya : “Aku mohon berlindung dengan kalimah-kalimah Allah (Al-Quran atau asma’ Allah dan sifatNya) yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang berbisa yang boleh membunuh serta berlindung daripada setiap pandangan mata yang boleh mendatangkan kejahatan.”

(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

والله أعلم

______________________

Rujukan :

  • Tafsir Al-Munir : Dr. Wahbah Al-Zuhaili
  • Sahih Al-Bukhari
  • Sahih Muslim
  • Sunan Abi Daud
  • Sunan Al-Tirmizi
  • Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari
  • Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Sunan Al-Tirmizi

Disusun oleh :

Al-Faqir ilallahi Al-Ghaniy 18 Safar 1431 H

Mohd Juzaili Juhan Al-Azhariy

Khadim Al-‘Ilm wa Al-Sunnah,

Dar Al-Hikmah,

Kg. Guru Fasa 3,

Kangar, Perlis.


Tuesday, February 2, 2010

Coretan Kembara

Jumaat (29 Januari 2010)

Dari Perlis menuju ke Kampar
Singgah jumaat di
Parit Buntar
Nasi ayam hilangkan lapar
Berjalan jauh perlu bersabar

Mambang di awan tempat bermalam
Ziarah keluarga rumah kekanda
Tangan dikucup tautan salam
Datang bersama ayah dan bonda

Pak ndak mak ndak turut bertandang
Datang berkunjung dari
Rawang
Meriah berbual bukan kepalang
Sesudah makan siapkan barang


Sabtu (30 Januari 2010)

Menuju ke Ipoh tempat diundang
Rombongan meriah taut ikatan
Buah tangan dibawa bertandang
Penyeri majlis pelengkap hubungan

Nasi dagang juadah hidangan
Sedap dimakan bekal iringan
Terima kasih ucapan penghargaan
Selesai majlis terus perjalanan

Bangi di tuju penuhi jemputan
Kenduri kahwin sahabat perjuangan
Bertemu di sana rakan taulan
Ukhwah sejati terus berpanjangan

Gambar diambil bersama mempelai
Sebagai kenangan sebelum bersurai
Salam dihulur dosa dilerai
Majlis diseri kehadiran ramai

Dari
Bangi menghala ke Sentul
Teman jemput ziarah keluarganya
Singgah sebentar di
Gombak berkumpul
Teman lama sudah bekerjaya

Gembira lihat teman berkeluarga
Anak isteri meriahkan suasana
Nasi ayam dihidangkan juga
Santapan malam tidur lena

Tengah malam pulang ke
Bangi
Seksyen tujuh tempat menginap
Tersangat letih sejak pagi
Gembira ukhuwah tidak lenyap

Ahad (31 Januari 2010)

Teman mengajak ke Cyberjaya
Nikmati hidangan makanan arab
Pabila sampai malang nasibnya
Kerusi restoran masih meniarap

Rahim's Bistro restoran sebelah
Mengubat kecewa hajat di hati
Nasi briyani menghilang lelah
Waktu pulang semakin pasti

Salam berpisah sesama teman
Terasa pantas edaran zaman
Maaf dipinta doa dipanjatkan
Hidup berkat atas pegangan

Masuk highway dari
Shah Alam
Singgah
Georgetown ziarah taulan
Jelutong tempat tumpang bermalam
Kerana bas tamat perkhidmatan

Sesudah subuh menaiki feri
Sejuk rasanya ombak bergolak
Butterwoth dituju bas di cari
Tiket ke
Kangar lambat bertolak

Beli tiket untuk ke
Alor Setar
Kejar masa mengelak menunggu
walau terpaksa menahan lapar
supaya jadual tidak terganggu

Dari
Alor Setar balik Perlis
Menaiki bas kali terakhir
Sudah lama tidak menulis
Coretan diungkap selepas fikir


17 Safar 1431 H

Dar Al-Hikmah,
Kg. Guru Kangar,
Perlis.


Friday, January 15, 2010

Gerhana dan solat kusuf


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ الشَّمْسَ خَسَفَتْ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ مُنَادِيًا بُ الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ فَتَقَدَّمَ فَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ


Maknanya : Daripada Saidatina ‘Aisyah R.A telah berkata : “Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah S.A.W, lalu baginda mengutuskan utusan dengan menyeru; As-Sholata Jami’atan (Dirikan solat secara jemaah), maka (para sahabat) berhimpun (di masjid nabi), kemudian (baginda) datang lalu mengangkat takbir dan solat sebanyak 4 kali ruku’ dalam dua rakaat, dan sujud sebanyak 4 kali sujud.”[1]


Pengertian Al-Kusuf (Gerhana) :


Terdapat beberapa pandangan para ulama terhadap makna Al-Kusuf :


Pertama : Al-Kusuf ( (الكسفadalah khusus untuk gerhana matahari, manakala Al-Khusuf (الخسف) pula khusus untuk gerhana bulan. Pandangan ini berdasarkan zahir ayat Al-Quran dalam surah Al-Qiyamah ayat 7 & 8 :


Maksudnya : Maka (Jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayaNya,”


Kedua : Sebaliknya daripada pandangan pertama iaitu Al-Kusuf untuk gerhana bulan dan Al-Khusuf untuk gerhana matahari.


Al-Imam ‘Ali ibn Daud ibn Al-‘Athor Al-Syafie (wafat pada 724 H) mengatakan pandangan kedua ini adalah dhoif berdasarkan perselisihan dari segi bahasa kerana terdapat perselisihan lafaz pada hadis-hadis yang sahih. Kesemua lafaz-lafaz ini (al-kusuf dan al-khusuf) digunakan pada makna yang sama.


Ketiga : Al-Kusuf (gerhana) berlaku pada permulaannya manakala Al-Khusuf berlaku pada penghujung tempoh gerhana apabila cahaya hilang kesemuanya.


Keempat : Al-Kusuf apabila cahaya hilang kesemuanya manakala Al-Khusuf apabila berlaku perubahan warna cahaya.


Hukum berdasarkan hadis :


Al-Imam ‘Ali ibn Daud ibn Al-‘Athor Al-Syafie (wafat pada 724 H) menyebut dalam kitabnya Al-‘Uddah fi Syarh Al-‘Umdah fi Ahadith Al-Ahkam beberapa hukum-hakam yang boleh dikeluarkan daripada pemahaman hadis tersebut;


Pertama :


Galakan untuk berlumba-lumba mengerjakan solat al-khusuf apabila berlakunya gerhana matahari dan berusaha untuk menyeru orang ramai berhimpun untuk menunaikan solat gerhana.


Kedua :


Imam atau pemerintah (pihak yang berkuasa) hendaklah mengambil berat tentang solat gerhana bahkan menggalakkan orang ramai menunaikannya.


Ketiga :


Bersegera untuk berhimpun untuk menunaikan solat gerhana tanpa bertangguh-tangguh atau melewat-lewatkan.


Keempat :


Hukum mengerjakan solat gerhana ialah sunat muakkad, bahkan menjadi ijmak ke atas hukumnya berdasarkan perbuatan nabi yang bersegera menghimpunkan para sahabat dan menzahirkan solat gerhana ini.


Hukum solat gerhana bulan juga adalah sama seperti hukum solat gerhana matahari di sisi Jumhur ulama’ (mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali), Adapun Imam Malik teragak-agak untuk menyatakan hukumnya sunat muakkad kerana tidak terdapat mana-mana pandangannya yang dihubungkan selepas hukum solat gerhana matahari.


Kelima :


Solat gerhana tidak perlu untuk diazan dan diiqamahkan. Ini adalah pandang ittifaq (sepakat) daripada para ulama. Dan hadis ini menunjukkan dalil menyeru orang ramai untuk bersolat dengan laungan As-Sholata Jami’atan dan hadis ini juga menjadi dalil bagi golongan yang mengharuskan untuk azan dan iqamah untuk mengerjakan solat gerhana.


Keenam :


Adalah menjadi sunnah menunaikan solat gerhana secara jamaah. Ini adalah pandangan Imam Malik, As-Syafie dan Imam Ahmad serta jumhur ulama.

Adapun Al-‘Iraqiyyun (ulama Iraq) berpandangan solat gerhana dilakukan secara bersendirian.


Kata Imam Al ‘Athor Al-Syafie;


“Maka hadis ini jelas menjadi hujah untuk menyanggah pandangan Al-‘Iraqiyyun.”


Ketujuh :


Adalah menjadi Sunnah menunaikan solat gerhana sebanyak 2 rakaat, pada setiap rakaat ada dua kali qiyam, dua kali ruku’ dan dua kali sujud. Ini adalah pandangan dalam mazhab Imam Al-Syafie, Imam Malik, Imam Al-Laith, Imam Ahmad bin Hanbal, Abi Thaur dan jumhur ulama Hijjaz dan lain-lain.


Al-Kufiyyun (Ulama Kufah) berpandangan solat gerhana dilakukan sebanyak 2 rakaat seumpama seperti solat nawafil (sunat) yang lain.


Kata Imam Al ‘Athor Al-Syafie;


“Hadis ini dan hadis riwayat Jabir, Ibnu ‘Abbas, Ibnu ‘Amru Al-‘As menjadi hujah menyanggah pandangan ulama Kufah. Dan terdapat juga pandangan sahih yang lain mengatakan solat gerhana dilakukan sebanyak 3 rakaat, dan ada juga dilakukan sebanyak 4 kali ruku’ dalam satu rakaat.


Namun Ibn ‘Abd Al-Bar berkata : Hadis-hadis yang menjadi sandaran pandangan jumhur ulama adalah hadis yang tarafnya paling sahih dalam perbahasan solat gerhana. Adapun baki riwayat lain yang bercanggah dengan pandangan jumhur adalah hadis mu’allalah[2] dan dhoif.[3]


Kelapan :


Harus untuk meletakkan lafaz rakaat walaupun hanya pada pergerakan ruku’


Kesembilan :


Harus untuk Imam mendatangi kemudian setelah makmum berhimpun.


Kesepuluh :


Hendaklah Imam mengangkat ihram dan takbir setelah dia berada di tempat solatnya.


Kesebelas :


Diharuskan Imam mengutuskan seseorang untuk menyeru orang ramai untuk menunaikan solat gerhana, dan demikian juga hukumnya bagi solat-solat yang disyariatkan dilakukan secara jemaah.


Kedua belas :


Perbuatan nabi S.A.W ketika berlakunya perubahan keadaan dan masa disampaikan kepada umatnya agar mengikutnya dan beramal dengan sunnah baginda S.A.W.


والله أعلم

___________________


[1] Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dalam sahihnya; Kitab Al-Kusuf, hadis no (1016), Imam Muslim dalam sahihnya; Kitab Solat Al-Kusuf, hadis no. (901)

[2] Hadis yang terdapat ‘illah (sebab yang tersembunyi lagi sukar untuk dijumpai yang boleh menjejaskan kesahihan hadis sedangkan pada zahirnya kelihatan selamat daripadanya.)

[3] Dhoif sama ada disebab tidak cukup salah satu atau lebih syarat-syarat hadis yang boleh dijadikan hujah. Ulama hadith meletakkan 5 syarat untuk menjadikan sesuatu hadis itu boleh dijadikan sebagai hujah (Hadis Sahih dan Hassan) iaitu pertama: sanad bersambung, dua dan tiga: diriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhobit (kukuh ingatan), empat dan lima; selamat daripada adanya ‘illah dan syaz (riwayat perawi yang thiqah yang menyalahi pengriwayatan perawi yang lebih thiqah daripadanya.)


-------------------------

Rujukan :

-Kitab Al-'Uddah fi Syarh Al-'Umdah fi Ahadith Ahkam
-Kitab Sahih Al-Bukhari
-Kitab Sahih Muslim

Thursday, January 14, 2010

Manis bagi yang merasa

Alhamdulillah segala puji dan syukur dihadapkan kepada Allah, tuhan yang berkuasa membolakbalikkan hati hamba-hambaNya; maka tetapkanlah hati kami dalam ajaran agamaMu dan mentaatiMu, yang menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dengan menganugerahkan akal; maka jadikanlah kami golongan yang mengunakan akal untuk mencari kebenaran, yang memiliki setiap jiwa sama ada yang beriman mahupun yang kafir; maka berilah kekayaan jiwa kami dengan taufiq dan hidayahMu...

Selawat serta salam buat baginda Rasulullah S.A.W, manusia yang paling kaya jiwanya, yang paling hebat mindanya, yang paling suci hatinya, seterusnya salam buat ahli keluarga baginda, para sahabat dan generasi yang menyambung mata rantai perjuangan baginda...

Alhamdulillah hari ni sudah cukup 2 minggu berada di Malaysia, tanah air tercinta dan kampung halaman, Perlis yang permai sejak meninggalkan Mesir, bumi kinanah yang dipenuhi dengan ulama dan auliya serta mutiara ilmu dan hikmah pada 30 Disember 2009 yang lalu. Tidak dapat dinafikan hati ini sememangnya merindui bumi barakah, rindu pada para ulama Al-Azhar, rindu pada majlis-majlis ilmu di Masjid Al-Azhar dan Masjid Al-Asyraf, rindu pada air sungai Nil, rindu pada teman-teman seperjuangan...

Sehinggakan minggu lepas saya bermimpi bertemu dengan syeikh murabbi maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hassani dan Syeikh Usamah-hafizahumullah-ketika bermusafir ke Parit Buntar menziarahi Mak Lang dan saudara mara di sana. Walaupun ini bukanlah kali pertama mimpi bertemu dengannya dan bukanlah diri ini sahaja yang pernah mimpi bertemu dengannya, ramai lagi anak muridnya yang menceritakan pernah mimpi bertemu dengannya...Betapa indahnya mimpi bertemu dengan para ulama, bagaimana pula mereka yang dianugerahkan bertemu dengan baginda nabi S.A.W...Barakallahu lakum...

Sepanjang 2 minggu ni tak banyak yang saya lakukan hanya tinggal di rumah menstabilkan waktu tidur dan berulang alik ke masjid solat jemaah dan mendengar kuliah walaupun hakikatnya tidak merasa kepuasan sebagaimana berada di bumi Mesir. Teringat saya akan satu kisah yang diceritakan oleh maulana Dr. Yusri dalam kelas pengajian kitab muwatto' Imam Malik di Masjid Al-Asyraf suatu ketika dulu. Beliau menceritakan tentang perihal seorang Doktor Pensyarah Universiti Al-Azhar yang dipinjamkan untuk mengajar di salah sebuah universiti di Arab Saudi, kata maulana :

"Doktor tersebut seorang yang iltizam dengan tarikat sufiyyah, apabila berada di sana dia berasa sangat gundah gulana, itu tak boleh... ini tak boleh...itu bid'ah...ini bid'ah... pada suatu hari setelah beliau melakukan tawaf sekeliling ka'abah beliau tertidur lalu bermimpi bertemu dengan baginda nabi S.A.W. Baginda nabi S.A.W berkata kepadanya; "Tidak mengapa solat dibelakang mereka, cuma janganlah diendahkan apa yang mereka katakan..."

Alhamdulillah semalam saya berkesempatan ke Surau Taman Jali setelah menerima panggilan daripada Syeikh Yusaini @ masyhur dgn panggilan Pak Syeikh untuk bertemu dengan beliau di sana. Solat Maghrib diimami oleh Pak Syeikh setelah selesai solat, zikir dialunkan secara beramai-ramai dan doa diaminkan oleh makmum yang hadir. Indahnya dan terasa kemanisan meningati Allah...Barangkali suasana ini adalah biasa di negeri-negeri lain...namun di Perlis hal ini dijadikan isu besar...

Surau terus dipenuhi dengan hadirin dan hadirat, yang tua dan muda ditambah pula dengan pelajar-pelajar Ma'had Tahfiz Imam An-Nawawi (MATIN) yang berada di saf hadapan. Sebelum pengajian dimulakan qasidah burdah dialunkan oleh semua hadirin berbekalkan buku qasidah burdah yang dihimpunkan oleh Syeikh Fuad Kamaluddin.

السلام عليك زين الأنبياء * السلام عليك أتق الأتقياء

Allah...Allah mendayu sungguh alunannya, surau bergema dengan alunan qasidah dan burdah...selawat dan salam ke atas nabi S.A.W. Terasa zauq kemanisan selawat dan salam ke atas nabi sehingga saya tidak dapat menahan hiba menitiskan air mata. Suasana ini mengingatkan saya pada halaqah zikir, qasidah dan burdah bersama maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani. Namun ada juga segelintir golongan yang tidak senang dengan susana ini dengan pelbagai kritikan yang tidak berasas. Terdapat pepatah arab :

من لم يذق لا يدري
Maksudnya : "Barangsiapa yang tidak merasa zauq (kemanisan dan kelazatan sesuatu), maka dia tidak akan mengetahui (hakikat tentang sesuatu itu)"

Setelah selesai membaca qasidah dan burdah, Ustaz Yusaini memulakan bacaan kitab Syamail Muhammadiyah pada bab Perihal Uban Rasulullah S.A.W. Kitab yang menghimpunkan hadis-hadis yang menceritakan tentang sifat khilqiyah (lahiriah nabi sebagai insan) dan khuluqiyah (akhlak dan adab nabi). Sekali lagi pengajian kitab ini menyebabkan saya terkenang akan saat-saat pengajian saya bersama maulana Dr Yusri di Masjid Al-Asyraf di Mesir pada setiap minggu selepas solat Jumaat. Kali terakhir kelas bersama beliau ialah pada hari Jumaat 25 Disember 2009, pada bab sifat tawadhu' nabi S.A.W. Masih segar di ingatan saya kalam-kalam huraian maulana Dr Yusri tatkala Ustaz Yusaini menguraikan hadis-hadis tersebut.

Jazakumullahu 'anna khairal jaza' wa nafanahullahu bi 'ulumikum fid daarain amin...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...