Friday, January 15, 2010

Gerhana dan solat kusuf


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ الشَّمْسَ خَسَفَتْ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ مُنَادِيًا بُ الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ فَتَقَدَّمَ فَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ


Maknanya : Daripada Saidatina ‘Aisyah R.A telah berkata : “Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah S.A.W, lalu baginda mengutuskan utusan dengan menyeru; As-Sholata Jami’atan (Dirikan solat secara jemaah), maka (para sahabat) berhimpun (di masjid nabi), kemudian (baginda) datang lalu mengangkat takbir dan solat sebanyak 4 kali ruku’ dalam dua rakaat, dan sujud sebanyak 4 kali sujud.”[1]


Pengertian Al-Kusuf (Gerhana) :


Terdapat beberapa pandangan para ulama terhadap makna Al-Kusuf :


Pertama : Al-Kusuf ( (الكسفadalah khusus untuk gerhana matahari, manakala Al-Khusuf (الخسف) pula khusus untuk gerhana bulan. Pandangan ini berdasarkan zahir ayat Al-Quran dalam surah Al-Qiyamah ayat 7 & 8 :


Maksudnya : Maka (Jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayaNya,”


Kedua : Sebaliknya daripada pandangan pertama iaitu Al-Kusuf untuk gerhana bulan dan Al-Khusuf untuk gerhana matahari.


Al-Imam ‘Ali ibn Daud ibn Al-‘Athor Al-Syafie (wafat pada 724 H) mengatakan pandangan kedua ini adalah dhoif berdasarkan perselisihan dari segi bahasa kerana terdapat perselisihan lafaz pada hadis-hadis yang sahih. Kesemua lafaz-lafaz ini (al-kusuf dan al-khusuf) digunakan pada makna yang sama.


Ketiga : Al-Kusuf (gerhana) berlaku pada permulaannya manakala Al-Khusuf berlaku pada penghujung tempoh gerhana apabila cahaya hilang kesemuanya.


Keempat : Al-Kusuf apabila cahaya hilang kesemuanya manakala Al-Khusuf apabila berlaku perubahan warna cahaya.


Hukum berdasarkan hadis :


Al-Imam ‘Ali ibn Daud ibn Al-‘Athor Al-Syafie (wafat pada 724 H) menyebut dalam kitabnya Al-‘Uddah fi Syarh Al-‘Umdah fi Ahadith Al-Ahkam beberapa hukum-hakam yang boleh dikeluarkan daripada pemahaman hadis tersebut;


Pertama :


Galakan untuk berlumba-lumba mengerjakan solat al-khusuf apabila berlakunya gerhana matahari dan berusaha untuk menyeru orang ramai berhimpun untuk menunaikan solat gerhana.


Kedua :


Imam atau pemerintah (pihak yang berkuasa) hendaklah mengambil berat tentang solat gerhana bahkan menggalakkan orang ramai menunaikannya.


Ketiga :


Bersegera untuk berhimpun untuk menunaikan solat gerhana tanpa bertangguh-tangguh atau melewat-lewatkan.


Keempat :


Hukum mengerjakan solat gerhana ialah sunat muakkad, bahkan menjadi ijmak ke atas hukumnya berdasarkan perbuatan nabi yang bersegera menghimpunkan para sahabat dan menzahirkan solat gerhana ini.


Hukum solat gerhana bulan juga adalah sama seperti hukum solat gerhana matahari di sisi Jumhur ulama’ (mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali), Adapun Imam Malik teragak-agak untuk menyatakan hukumnya sunat muakkad kerana tidak terdapat mana-mana pandangannya yang dihubungkan selepas hukum solat gerhana matahari.


Kelima :


Solat gerhana tidak perlu untuk diazan dan diiqamahkan. Ini adalah pandang ittifaq (sepakat) daripada para ulama. Dan hadis ini menunjukkan dalil menyeru orang ramai untuk bersolat dengan laungan As-Sholata Jami’atan dan hadis ini juga menjadi dalil bagi golongan yang mengharuskan untuk azan dan iqamah untuk mengerjakan solat gerhana.


Keenam :


Adalah menjadi sunnah menunaikan solat gerhana secara jamaah. Ini adalah pandangan Imam Malik, As-Syafie dan Imam Ahmad serta jumhur ulama.

Adapun Al-‘Iraqiyyun (ulama Iraq) berpandangan solat gerhana dilakukan secara bersendirian.


Kata Imam Al ‘Athor Al-Syafie;


“Maka hadis ini jelas menjadi hujah untuk menyanggah pandangan Al-‘Iraqiyyun.”


Ketujuh :


Adalah menjadi Sunnah menunaikan solat gerhana sebanyak 2 rakaat, pada setiap rakaat ada dua kali qiyam, dua kali ruku’ dan dua kali sujud. Ini adalah pandangan dalam mazhab Imam Al-Syafie, Imam Malik, Imam Al-Laith, Imam Ahmad bin Hanbal, Abi Thaur dan jumhur ulama Hijjaz dan lain-lain.


Al-Kufiyyun (Ulama Kufah) berpandangan solat gerhana dilakukan sebanyak 2 rakaat seumpama seperti solat nawafil (sunat) yang lain.


Kata Imam Al ‘Athor Al-Syafie;


“Hadis ini dan hadis riwayat Jabir, Ibnu ‘Abbas, Ibnu ‘Amru Al-‘As menjadi hujah menyanggah pandangan ulama Kufah. Dan terdapat juga pandangan sahih yang lain mengatakan solat gerhana dilakukan sebanyak 3 rakaat, dan ada juga dilakukan sebanyak 4 kali ruku’ dalam satu rakaat.


Namun Ibn ‘Abd Al-Bar berkata : Hadis-hadis yang menjadi sandaran pandangan jumhur ulama adalah hadis yang tarafnya paling sahih dalam perbahasan solat gerhana. Adapun baki riwayat lain yang bercanggah dengan pandangan jumhur adalah hadis mu’allalah[2] dan dhoif.[3]


Kelapan :


Harus untuk meletakkan lafaz rakaat walaupun hanya pada pergerakan ruku’


Kesembilan :


Harus untuk Imam mendatangi kemudian setelah makmum berhimpun.


Kesepuluh :


Hendaklah Imam mengangkat ihram dan takbir setelah dia berada di tempat solatnya.


Kesebelas :


Diharuskan Imam mengutuskan seseorang untuk menyeru orang ramai untuk menunaikan solat gerhana, dan demikian juga hukumnya bagi solat-solat yang disyariatkan dilakukan secara jemaah.


Kedua belas :


Perbuatan nabi S.A.W ketika berlakunya perubahan keadaan dan masa disampaikan kepada umatnya agar mengikutnya dan beramal dengan sunnah baginda S.A.W.


والله أعلم

___________________


[1] Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dalam sahihnya; Kitab Al-Kusuf, hadis no (1016), Imam Muslim dalam sahihnya; Kitab Solat Al-Kusuf, hadis no. (901)

[2] Hadis yang terdapat ‘illah (sebab yang tersembunyi lagi sukar untuk dijumpai yang boleh menjejaskan kesahihan hadis sedangkan pada zahirnya kelihatan selamat daripadanya.)

[3] Dhoif sama ada disebab tidak cukup salah satu atau lebih syarat-syarat hadis yang boleh dijadikan hujah. Ulama hadith meletakkan 5 syarat untuk menjadikan sesuatu hadis itu boleh dijadikan sebagai hujah (Hadis Sahih dan Hassan) iaitu pertama: sanad bersambung, dua dan tiga: diriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhobit (kukuh ingatan), empat dan lima; selamat daripada adanya ‘illah dan syaz (riwayat perawi yang thiqah yang menyalahi pengriwayatan perawi yang lebih thiqah daripadanya.)


-------------------------

Rujukan :

-Kitab Al-'Uddah fi Syarh Al-'Umdah fi Ahadith Ahkam
-Kitab Sahih Al-Bukhari
-Kitab Sahih Muslim

Thursday, January 14, 2010

Manis bagi yang merasa

Alhamdulillah segala puji dan syukur dihadapkan kepada Allah, tuhan yang berkuasa membolakbalikkan hati hamba-hambaNya; maka tetapkanlah hati kami dalam ajaran agamaMu dan mentaatiMu, yang menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dengan menganugerahkan akal; maka jadikanlah kami golongan yang mengunakan akal untuk mencari kebenaran, yang memiliki setiap jiwa sama ada yang beriman mahupun yang kafir; maka berilah kekayaan jiwa kami dengan taufiq dan hidayahMu...

Selawat serta salam buat baginda Rasulullah S.A.W, manusia yang paling kaya jiwanya, yang paling hebat mindanya, yang paling suci hatinya, seterusnya salam buat ahli keluarga baginda, para sahabat dan generasi yang menyambung mata rantai perjuangan baginda...

Alhamdulillah hari ni sudah cukup 2 minggu berada di Malaysia, tanah air tercinta dan kampung halaman, Perlis yang permai sejak meninggalkan Mesir, bumi kinanah yang dipenuhi dengan ulama dan auliya serta mutiara ilmu dan hikmah pada 30 Disember 2009 yang lalu. Tidak dapat dinafikan hati ini sememangnya merindui bumi barakah, rindu pada para ulama Al-Azhar, rindu pada majlis-majlis ilmu di Masjid Al-Azhar dan Masjid Al-Asyraf, rindu pada air sungai Nil, rindu pada teman-teman seperjuangan...

Sehinggakan minggu lepas saya bermimpi bertemu dengan syeikh murabbi maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hassani dan Syeikh Usamah-hafizahumullah-ketika bermusafir ke Parit Buntar menziarahi Mak Lang dan saudara mara di sana. Walaupun ini bukanlah kali pertama mimpi bertemu dengannya dan bukanlah diri ini sahaja yang pernah mimpi bertemu dengannya, ramai lagi anak muridnya yang menceritakan pernah mimpi bertemu dengannya...Betapa indahnya mimpi bertemu dengan para ulama, bagaimana pula mereka yang dianugerahkan bertemu dengan baginda nabi S.A.W...Barakallahu lakum...

Sepanjang 2 minggu ni tak banyak yang saya lakukan hanya tinggal di rumah menstabilkan waktu tidur dan berulang alik ke masjid solat jemaah dan mendengar kuliah walaupun hakikatnya tidak merasa kepuasan sebagaimana berada di bumi Mesir. Teringat saya akan satu kisah yang diceritakan oleh maulana Dr. Yusri dalam kelas pengajian kitab muwatto' Imam Malik di Masjid Al-Asyraf suatu ketika dulu. Beliau menceritakan tentang perihal seorang Doktor Pensyarah Universiti Al-Azhar yang dipinjamkan untuk mengajar di salah sebuah universiti di Arab Saudi, kata maulana :

"Doktor tersebut seorang yang iltizam dengan tarikat sufiyyah, apabila berada di sana dia berasa sangat gundah gulana, itu tak boleh... ini tak boleh...itu bid'ah...ini bid'ah... pada suatu hari setelah beliau melakukan tawaf sekeliling ka'abah beliau tertidur lalu bermimpi bertemu dengan baginda nabi S.A.W. Baginda nabi S.A.W berkata kepadanya; "Tidak mengapa solat dibelakang mereka, cuma janganlah diendahkan apa yang mereka katakan..."

Alhamdulillah semalam saya berkesempatan ke Surau Taman Jali setelah menerima panggilan daripada Syeikh Yusaini @ masyhur dgn panggilan Pak Syeikh untuk bertemu dengan beliau di sana. Solat Maghrib diimami oleh Pak Syeikh setelah selesai solat, zikir dialunkan secara beramai-ramai dan doa diaminkan oleh makmum yang hadir. Indahnya dan terasa kemanisan meningati Allah...Barangkali suasana ini adalah biasa di negeri-negeri lain...namun di Perlis hal ini dijadikan isu besar...

Surau terus dipenuhi dengan hadirin dan hadirat, yang tua dan muda ditambah pula dengan pelajar-pelajar Ma'had Tahfiz Imam An-Nawawi (MATIN) yang berada di saf hadapan. Sebelum pengajian dimulakan qasidah burdah dialunkan oleh semua hadirin berbekalkan buku qasidah burdah yang dihimpunkan oleh Syeikh Fuad Kamaluddin.

السلام عليك زين الأنبياء * السلام عليك أتق الأتقياء

Allah...Allah mendayu sungguh alunannya, surau bergema dengan alunan qasidah dan burdah...selawat dan salam ke atas nabi S.A.W. Terasa zauq kemanisan selawat dan salam ke atas nabi sehingga saya tidak dapat menahan hiba menitiskan air mata. Suasana ini mengingatkan saya pada halaqah zikir, qasidah dan burdah bersama maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani. Namun ada juga segelintir golongan yang tidak senang dengan susana ini dengan pelbagai kritikan yang tidak berasas. Terdapat pepatah arab :

من لم يذق لا يدري
Maksudnya : "Barangsiapa yang tidak merasa zauq (kemanisan dan kelazatan sesuatu), maka dia tidak akan mengetahui (hakikat tentang sesuatu itu)"

Setelah selesai membaca qasidah dan burdah, Ustaz Yusaini memulakan bacaan kitab Syamail Muhammadiyah pada bab Perihal Uban Rasulullah S.A.W. Kitab yang menghimpunkan hadis-hadis yang menceritakan tentang sifat khilqiyah (lahiriah nabi sebagai insan) dan khuluqiyah (akhlak dan adab nabi). Sekali lagi pengajian kitab ini menyebabkan saya terkenang akan saat-saat pengajian saya bersama maulana Dr Yusri di Masjid Al-Asyraf di Mesir pada setiap minggu selepas solat Jumaat. Kali terakhir kelas bersama beliau ialah pada hari Jumaat 25 Disember 2009, pada bab sifat tawadhu' nabi S.A.W. Masih segar di ingatan saya kalam-kalam huraian maulana Dr Yusri tatkala Ustaz Yusaini menguraikan hadis-hadis tersebut.

Jazakumullahu 'anna khairal jaza' wa nafanahullahu bi 'ulumikum fid daarain amin...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...