.:WADIL ILMI : Menakung titisan ILMU suluhan BUDI:.
Dengan sanad Imam Al-Bukhari melalui Mu'awiyah bin Abi Sufian bahawa dia telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda :(من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين)
" Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan ke atas sesorang maka akan diberikan kefahaman tentang agama (ad-deen)..."
Berlalu sudah hari raya Aidil Adha, perayaan yang terbesar bagi umat Islam yang disyariatkan dalam Islam dengan dilakukan ibadah korban pada hari raya dan 3 hari selepasnya, dan sepanjang hari-hari tersebut disunatkan untuk melaungkan takbir raya berbanding hari raya Aidil Fitri yang hanya disambut sehari sahaja.
Namun realiti yang berlaku di Malaysia sebaliknya, hari raya aidil Fitri disambut dengan meriahnya bahkan memakan sambutannya sampai sebulan dengan dibuat rumah terbuka, manakala aidil adha disambut hanya sekadar sahaja. Berbeza dengan suasana sambutan hari raya di Mesir, hari raya Aidil Adha disambut dengan meriah sekali berbanding dengan hari raya aidil fitri. Cuti hari raya aidil adha lebih lama berbanding cuti hari raya aidil fitri.
Alhamdulillah tahun ini berkesempatan untuk berhari raya di Mesir walaupun keluarga berharap sangat untuk saya pulang berhari raya di Malaysia kerana sudah 3 tahun tidak bersama, namun apakan daya terpaksa ditangguhkan kerana ingin menyelesaikan beberapa tanggungjawab persatuan dan urusan sebelum pulang ke Malaysia. Sedikit terasa kesedihan di hati tetapi terubat kerana dapat berhari raya bersama-sama dengan maulana syeikh Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani Al-Syafie hafizahullah, guru mursyid kami yang banyak mencurahkan ilmu, memberi didikan dan tarbiyah melalui jalan untuk sampai kepada Allah Ta’ala.
Pagi hari raya yang lalu bumi kaherah dibasahi dengan hujan, hujan rahmat yang menyambut kehadiran Aidil Adha. Jalan raya basah dengan hujan bahkan terdapat banyak lopak takungan air, maklumlah jalan raya di Mesir ini tidak ada longkang untuk menyalurkan air hujan. Saya tidak pasti sebab apa, barangkali hujan hanya akan turun di Mesir dalam tempoh setahun dalam 2 fasa iaitu apabila masuknya musim sejuk dalam bulan 10 atau 11 dan apabila berakhirnya musim sejuk dalam bulan 2 atau 3 itu pun hanya sekejap sahaja. Ini sepanjang pemerhatian saya selama 6 tahun duduk di Mesir dan pemerhatian orang-orang terdahulu dari saya.
Sekadar gambar hiasan
Subhanallah maha Hikmahnya Allah Ta’ala, saya berfikir kalaulah Mesir ini hujan seperti di Malaysia sudah tentulah bandar Kaherah ini akan banjir teruk dan akan bertambahlah lagi kesengsaraan rakyat Mesir yang jurang kemiskinannya sangat besar.
Sewaktu dalam perjalanan saya menaiki motor untuk solat hari raya di Jabal Muqattom, bermula dari rumah Perlis sehinggalah ke Masjid Al-Asyraf, jalan raya dibasahi dengan air serta banyaknya lopak-lopak air. Hati kecil saya mengeluh…habislah jubah saya akan terkena percikan air yang bercampur dengan pepasir. Namun apakan daya semua itu perlu diredahi untuk sampai ke masjid Al-Asyraf maka terpaksalah bawa motor dengan kelajuan yang perlahan. Biasanya perjalanan daripada rumah Perlis untuk ke Masjid Al-Asyraf memakan masa 10-15 minit, namun pada pagi raya tersebut terpaksa memakan masa hampir20-25 minit.
Dalam perjalanan saya terfikir, setiap kali hari raya aidil adha di Mesir pasti akan turun hujan. Tahun lepas hujan turun dengan lebat sekali pada hari terakhir hari Tasyriq sehingga jalan di hadapan rumah Perlis berubah menjadi sungai yang deras arusnya. Maka saya cuba memikirkan hikmahnya, kerana menjadi kebiasaan orang arab mesir untuk menyembelih binatang korban di hadapan rumah di atas jalan raya maka jalan-jalan di sekitar Kaherah akan dipenuhi dengan darah. Lalu barangkali Allah Ta’ala menurunkan hujan untuk membersihkan jalan-jalan daripada kesan-kesan darah. Memang betul sememangnya tahun lepas selepas hujan tersebut jalan-jalan menjadi bersih.
Tahun ini hujan turun pada hari raya pertama, terlintas di fikiran saya, Allah Maha Besar barangkali Allah menurunkan hujan dan membasahi jalan dengan air hujan agar mengimbangi darah sembelihan yang mengalir di jalanan agar tidak berbau busuk sangat memandangkan Mesir hari ini turut dilanda dengan penyakit selsema babi. Maha suci Allah…teringat saya akan kata-kata maulana Syeikh Yusri dalam khutbah Jumaatnya beberapa minggu yang lepas ;
“…demikianlah bagi umat islam tidak perlu takut dan risau untuk melakukan ibadah dengan berhimpun untuk solat jemaah, Jumaat dan mengerjakan umrah dan haji, walaupun dunia hari ini dilanda dengan penyakit selesema khinzir, kerana yang menurunkan penyakit itu adalah Allah dan kepada Dialah kita berlindung dan memohon pertolongan…”
Allah Maha Besar, kebesaran dan keagungan Allah ada di sekeliling kita, sama ada kita sedar atau pun tidak, sama ada kita ingin berfikir ataupun tidak untuk mencari hikmah. Usah kita memandang sinis pada perkara kebaikan walaupun ia hanyalah kecil pada pandangan manusia, dan janganlah pula kita memandang remeh atas perkara kejahatan walaupun ia hanyalah ringan pada pandangan manusia. Hakikat segalanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, Maha Besar lagi Maha Agung…
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illah, Allahu Akbar Allahu Akbar wa lillahil hamd…
Kesempatan ini suka untuk berkongsi tulisan Imam Ibn Rajab Al-Hanbali Rahimahullah (wafat 795 H) bersempena dengan Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq moga kita beroleh manfaat yang banyak.
Berkata Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali dalam kitabnya Latoiful Ma’arif fi ma limawasim Al-‘Am minal Wazhoif pada bab tugasan pada bulan Dzul Hijjah :
Imam Muslim telah mengeluarkan hadis di dalam kitab sahihnya; daripada Nubaisyah Al-Huzali bahasanya Nabi S.A.W telah bersabda :
“Hari-hari (berhimpunnya jemaah haji) di Mina adalah hari-hari untuk makan dan minum dan berzikir.”
Dan di dalam riwayat Imam Ahmad bin Hanbal :
“Barangsiapa yang berpuasa (pada hari tasyriq) maka hendaklah dia berbuka, kerana sesungguhnya hari tersebut adalah hari-hari untuk makan dan minum.”
Hari-hari Mina adalah hari-hari yang ditentukan sebagaimana firman Allah Ta’ala :
وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ
Maksudnya : “Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) Dalam beberapa hari Yang tertentu bilangannya…” (Al-Baqarah : 203)
[Pendapat ulama tentang Ayyam Ma’dudat : ]
Hari-hari tersebut ialah 3 hari selepas hari Al-Nahr (10 Dzul Hijjah) dan 3 hari tersebut adalah merupakan hari-hari Tasyriq. Ini merupakan pendapat Ibn Umar dan kebanyakan para ulama.
Dan diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas dan ‘Ato bahawa hari-hari yang ditentukan itu ialah 4 hari iaitu hari Al-Nahr serta 3 hari selepasnya dan ‘Ato menamakanya sebagai hari Tasyriq.
Berkata Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Rajab : “Pendapat pertama tentang hari-hari yang ditentukan adalah lebih Adzhar (lebih kuat).”
Sesungguhnya baginda Nabi S.A.W telah bersabda :
“Hari-hari Mina adalah 3 (hari), barangsiapa yang bersegera (meninggalkan Mina) padahari yang kedua maka tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua maka tidaklah berdosa.”
Hadis ini dikeluarkan oleh Ahli Sunan Al-Arba’ah (Imam Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah). Hadis ini jelas menunjukkan bahawa 3 hari tersebut adalah merupakan hari Tasyriq.
[Tugasan pada hari-hari Tasyriq]
Allah Ta’ala memerintahkan supaya berzikir dan mengingatinya pada hari Ayyam Ma’dudat sebagaimana sabda baginda S.A.W : “Sesungguhnya hari-hari tersebut adalah hari-hari untuk makan, minum dan berzikir.”
Perihal mengingati Allah yang dituntut untuk dilakukan pada hari-hari Tasyriq adalah pelbagai antaranya :
·Berzikir selepas selesai solat fardhu dengan bertakbir. Ianya dituntut sehinggalah akhir hari Tasyriq berdasarkan pandangan Jumhur Ulama terhadap hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Umar, ‘Ali, dan Ibn ‘Abbas.
·Mengingati Allah dengan membaca basmalah dan bertakbir ketika menyembelih binatang korban kerana waktu untuk sembelihan hady (bagi yang mengerjakan haji) dan udhiyah (bagi yang tidak mengerjakan haji) boleh dilakukan sepanjang hari-hari Tasyriq berdasarkan pandangan jumhur ulama. Ini adalah pandangan Imam As-Syafie dan satu riwayat daripada Imam Ahmad berdasarkan hadis marfu’ (yang sanadnya sampai kepada Rasulullah) ;
Maksudnya : “Setiap hari-hari Mina adalah (hari) untuk sembelihan.”
·Mengingati Allah ketika makan dan minum. Sesungguhnya disyariatkan ketika makan dan minum untuk membaca basmalah pada permulaan dan mengucapkan hamdalah ketika pengakhiran kerana terdapat hadis daripada Nabi S.A.W :
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah meredhai ke atas hambaNya yang apabila selesai makan dan minum memujiNya (dengan mengucapkan hamdalah)”
·Berzikir dengan bertakbir ketika melontarkan Jamrah (batu-batu) pada hari-hari Tasyriq. Dan ini dikhususkan pada ahli musim (yang mengerjakan haji)
·Berzikir mengingati Allah secara mutlaq. Sesungguhnya disunatkanuntuk memperbanyakkan berzikir pada hari-hari Tasyriq. Sesunguhnya Saidina Umar mengucapkan takbir di Mina di dalam kubahnya (khemah), orang ramai mendengarinya lalu turut mengucapkan takbir maka bergemalah Mina dengan takbir. Sesungguhnya Allah berfirman :
Maksudnya : “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan Ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan Dengan sebutan Yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia Yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! berilah Kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. *Dan di antara mereka pula ada Yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka."
[Doa sebagai mengingati Allah]
Ramai ulama salaf mensunatkan doa ini (dibaca) pada hari-hari Tasyriq. Berkata ‘Ikramah : “Disunatkan untuk berdoa pada hari-hari Tasyriq :
Doa ini antara doa yang terbaik dan diriwayatkan bahawasanya doa ini paling banyak yang nabi baca dan apabila nabi berdoa baginda akan turut serta membacakan doa ini kerana doa ini menghimpunkan 2 kebaikan di dunia dan akhirat.
Berkata Al-Hasan : “Kebaikan di dunia ialah ilmu dan ibadah, manakala kebaikan di akhirat ialah syurga.”
Berkata Sufian : “Kebaikan di dunia ialah ilmu dan rezeki yang baik.”
Doa adalah seafdhal-afdhal zikir mengingati Allah. Sesungguhnya Ziyad Al-Jasos meriwayatkan daripada Abi Kinanah Al-Qursyi bahawa dia telah mendengar Abu Musa Al-Asyaari telah berkata di dalam khutbahnya pada hari Al-Nahr (Aidil Adha) : “Selepas hari Al-Nahr (Aidil Adha) terdapat 3 hari yang Allah sebutkan sebagai ayyam ma’dudat (hari yang ditentukan) yang tidak akan ditolak padanya doa, maka angkatlah keinginan kamu kepada Allah (dengan berdoa)”
Tamat kalam Al-Imam Al-Hafiz
Sama-sama kita bermuhasabah, adakah kita sentiasa mengingati Allah pada setiap detik dan ketika, setiap pergerakan dan diam sepanjang hari Al-Nahr dan hari-hari Tasyriq sebagai bukti syukur kita pada Allah Ta’ala. Adakah dengan menyambut hari raya Aidil Adha kali ini dapat meningkatkan lagi amal ibadah kita sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kita kepadaNya. Moga Allah menerima segala pengorbanan yang diserahkan sebagai bukti manifestasi cinta pada Allah dan RasulNya.
Berkata Al-Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali dalam kitabnya Latoiful Ma'arif :
"Hari raya adalah musim kegembiraan dan keseronokan, Kegembiraan dan keseronokan bagi orang mukmin di dunia ialah disebabkan adanya Allah, apabila mereka (orang mukmin) berjaya menyempurnakan ketaatanNya serta memperolehi ganjaran daripada amalan mereka kerana keimanan terhadap janji-janjiNya ke atas mereka maka Allah melimpahkan fadhilatNya dan keampunanNya," sebagaimana firman Allah Ta'ala :
Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata Dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka Dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan Dengan Yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa Yang mereka himpunkan dari Segala benda dan perkara Yang tidak kekal)". (Surah Yunus : 58)
Berkata Al-Hafiz :
ليس العيد لمن لبس الجديد , إنما العيد لمن طاعته تزيد
"Hari raya bukanlah bagi mereka yang hanya memakai pakaian baru, namun sesungguhnya hari raya adalah bagi mereka yang ketaatannya semakin bertambah."
ليس العيد لمن تجمل باللباس والمركوب , إنما العيد لمن غفرت له الذنوب
"Hari raya bukanlah bagi mereka yang hanya berhias-hias dengan pakaian dan kenderaan, namun hari raya adalah bagi mereka yang diampunkan segala dosa-dosanya."
Telah berlalu sepuluh Ramadhan yang pertama, begitu cepat masa berlalu bagaikan tidak terasa mengharungi bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan dalam beribadah untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala. Sememangnya Allah Ta’ala sangat dekat dan hampir dengan kita, sebaliknya kita lah kadangkala yang dekat dan kadangkala jauh denganNya. Dekat denganNya bila kita melakukan ketaatan kepadaNya dan jauh denganNya bila kita melakukan maksiat dan mungkar kepadaNya.
“Ya, Allah berikanlah kami kekuatan dalam melakukan ketaatan padaMu, sesunggunya kami hamba yang tiada daya kekuatan melainkan dengan kehendak dan keiizinanMu”
Masih terngiang-ngiang kata-kata guru kami Maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani di telinga dan sanubari saya sewaktu mengaji kitab Tuhfah Al-Ahwazi dan Kitab Bahjah Al-Nufus pada hari-hari awal Ramadhan baru-baru ini di masjid beliau. Kalamnya sangat menyentuh hati saya bila beliau berbicara tentang ilmu tasawwuf, pandangan matanya sungguh memberi kesan pada jiwa saya, beliau seorang yang sangat tawadhu’ dengan ilmunya. Beliau memperkatakan tentang masalah hikmah dan qudrah Allah Ta’ala. Kata-kata yang tidak dapat saya lupakan yang membuatkan saya sentiasa berfikir dan terus berfikir pada setiap sesuatu yang berlaku di sana terdapat hikmah Allah Ta’ala -semoga Allah memberkati Ilmunya di dunia dan akhirat-
Setelah kami membaca beberapa hadis dan syarahnya daripada kitab Tuhfah Al-Ahwazi kami membaca Al-Quran secara tadaarus sehingga sampai pada ayat ke-40 daripada surah maryam :
Maksudnya : “Sesungguhnya Kamilah Yang mewarisi bumi dan Segala makhluk Yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.”
Maulana Syeikh Yusri menjelaskan kepada kami kalimah (يرجعون) terdapat dua bacaan qiraat, pertamanya bacaan riwayat Ya’qub; dibaca dengan membariskan fathah pada huruf ya dan membariskan kasrah pada huruf jim iaitu dibaca (يَرْجِعُونَ) dan keduanya bacaan riwayat baki qurra’ yang lain; dibaca dengan membariskan dhommah pada huruf ya dan membariskan fathah pada huruf jim iaitu dibaca (يُرْجَعُونَ). Kedua-dua bacaan ini adalah riwayat yang mutawatir sampai kepada Rasulullah S.A.W.
Seterusnya beliau menjelaskan kepada kami makna bagi kedua-dua bacaan qiraat tersebut. Kata beliau :
“Kalimah يُرْجَعُونَatas wazan mabni lil maf’ul menunjukkan akan qudrah (kekuasaan) Allah Ta’ala untuk mengembalikan manusia kepadaNya setelah mereka hidup di dunia sama ada untuk dimasukkan ke dalam SyurgaNya ataupun NerakaNya, manakala kalimah يَرْجِعُونَ atas wazan mabni lil ma’lum yang menunjukkan bahwa manusia akhirnya akan kembali juga kepada Allah Ta’ala dengan sebab kematian yang akan mereka hadapi di dunia ini.”
Beliau menambah lagi :
“Hikmah adalah merupakan sebab atas sesuatu perkara manakala qudrah adalah merupakan hakikat atas sesuatu perkara. Mati adalah merupakan sebab bagi manusia untuk kembali kepada Allah manakala hakikat kematian itu adalah datangnya daripada ketentuan dan kekuasaan Allah. Sebagaimana Allah menghidupkan manusia daripada tiada maka tidaklah sukar bagi Allah untuk mematikannya lalu membangunkannya semula”
Subhanallah, saya terfikir dengan kata-kata maulana syeikh Yusri ini, tafsiran ini jelas menunjukkan akan mukjizat Al-Quran. Satu ayat yang mempunyai serampang dua mata, pertama bagi mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulnya akan mengakui akan hakikat bahawa mereka akan dikembalikan kepada Allah. Manakala keduanya bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah dan Rasulnya, tidakkah mereka mengambil pelajaran bahawa mereka tetap akan bertemu dengan kematian yang tidak dapat dielakkan yang akhirnya kematian ini akan menjadi sebab untuk mereka kembali kepada Allah.
Dalam kelas pengajian kitab Bahjah Al-Nufus iaitu kitab syarah kepada muktasar sahih Al-Bukhari, Maulana Syeikh Yusri turut menyebut sekali dengan tentang masalah Hikmah dan Qudrah Allah Ta’ala apabila menghuraikan kalam Ibnu Abi Jamrah Al-Andalusi terhadap hadis yang ke-18 iaitu hadis bab (البول والاستنجاء والشرب) :
Maulana Syeikh mengatakan :
“Setiap perintah dan larangan daripada syarak mempunyai hikmah daripada Allah sama ada kita mengetahuinya ataupun tidak mengetahui, sama ada kita boleh berfikir atau pun tidak boleh berfikir tentangnya. Maka hikmah yang kita tidak ketahui atau dijangkaui oleh akal ini dipanggil sebagai Ta’abbud (akur dan patuh tanpa mempertikaikannya) sebagai contoh perintah untuk solat subuh dua rakaat, solat zuhur, asar dan isyak 4 rakaat dan maghrib 3 rakaat. Maka ibadah tadi haruslah dikerjakan tanpa boleh ditangguhkan untuk mencari hikmah, sebab atau faedahnya.”
Imam Ibnu Abi Jamrah turut mensyarah hadis ini dengan kalamnya :
“Hadis ini menunjukkan kepada maksud seorang mukallaf itu hendaklah mengetahui akan hikmah Allah Ta’ala atas sesuatu perkara dan mengikut akan hikmah tersebut. Sebab itu baginda nabi S.A.W bersabda ketika hendak bersai’e antara Safa dan Marwa : Kami memulakan dengan apa yang telah Allah mulakan”
Seterusnya Ibnu Abi Jamrah mengatakan :
“Walaupun huruf wau tidak mendatangkan maksud susunan di dalam kalam bahasa arab namun Sahib Al-Nur (Rasulullah) mengetahui bahawa Al-Hakim (Allah) tidak memulakan sesuatu melainkan adanya hikmah, maka baginda mengikut akan hikmah Al-Hakim.”
Dalam menghuraikan hadis yang ke-20 iaitu hadis bab (النعاس في الصلاة) daripada kitab Bahjah An-Nufus, Berkata Imam Ibnu Abi Jamrah :
“Hadis ini menunjukkan kepada perlunya untuk mengikut serta mematuhi akan hikmah kerana hikmah membuktikan bahwa rasa mengantuk atau tidur hanya akan hilang dengan seseorang itu dalam keadaan tenang sehinggalah sampai waktunya yang ditentukan oleh Allah Ta’ala.
Maulana Syeikh mengulas akan kalam Imam Ibnu Abi Jamrah katanya :
“Hikmah adalah merupakan sebab manakala qudrah adalah merupakan hakikat. Tidur adalah merupakan sebab untuk seseorang itu berehat dan mendapat kekuatan manakala hakikat yang mendatangkan rasa mengantuk dan tidur adalah Allah Ta’ala dan hakikat yang memberikan kekuatan semula pada manusia setelah tidurnya juga adalah Allah Ta’ala. Maka tidur menunjukkan kepada kita akan kekuasaan Allah Ta’ala ke atas makhluknya terutama manusia walaupun memiliki akal dan kekuatan apabila datangnya rasa mengantuk maka dia akan tetap akur dan patuh. Tidur juga menunjukkan bahawa manusia adalah lemah dan penuh dengan hajat dan keperluan.
Maulana Syeikh yang juga merupakan seorang doktor pakar bedah turut menyatakan pada kami bahawa sains perubatan masih belum dapat merungkaikan dengan tepat bagaimana sistem dalaman organ manusia boleh terus berfungsi semasa manusia tidur. Bagaimana ia boleh dikawal? Siapa yang mengawalnya? Maka sesungguhnya kesemua ini tidak lain dan tidak bukan adalah dibawah kekuasaan Allah Ta’ala. Subhanallah, sewaktu kita tidur kita tunduk dan akur dengan ketetapan dan ketentuan Allah namun bagaimana perihal ketika waktu sedar kita? Adakah kita tunduk dan akur dengan ketetapan dan ketentuan Allah yang Maha Hikmah lagi Perkasa?
Maulana Syeikh turut menasihati kami agar tidak terlalu banyak menghabiskan masa untuk tidur. Tidur yang secekupnya bukanlah semestinya terikat dengan jumlah 6-8 jam sebalik tidur yang secukupnya adalah tidur yang sedikit tetapi memberi kesan. Maka hendaklah kita menyandarkan harapan dan pergantungan kepada Allah Ta’ala untuk mendapat tidur yang secukupnya. Kadang kala kita terlalu mengikut akan nafsu untuk tidur dengan berlebihan lalu dibuai dengan mimpi-mimpi indah yang sedikit sebanyak akan membuatkan hati menjadi keras.
Semoga Ramadhan kali ini dapat menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah Ta’ala dengan hikmah yang dihidangkan kepada kita melalui nas Al-Quran dan Hadis nabi S.A.W, meningkatkan lagi amalan kita untuk mendekatkan diri kepadaNya kerana siapalah kita tanpa Allah Yang Maha Agung, seterusnya dapat memberi kesan dalam jiwa dan rohani kita untuk menggapai keredhoanNya.
الحمد لله وكفى والصلاة والسلام على رسوله المجتبى وعلى اله وصحبه و من اهتدى Selamat datang diucapkan ke laman yang tidak seberapa ini, sekadar berkongsi maklumat, ilmu dan pengetahuan. Semoga segala usaha ini mendapat rahmat dan redho Ilahi. Allahumma Ameen... ٍSekian Salam Ukhuwwah.
نور علي نور
.: Demi Masa : Cairo :.
.: Waktu Malaysia :.
About Me
Ibnu Juhan
Madinah Nasr, Cairo, Egypt
BA (Hons.) Usuluddin, Jabatan Hadis & Ulum Hadis,
Universiti Al-Azhar, Tanta.