Tuesday, July 10, 2012

Amalan Puasa sebagai Pengubat Jiwa


Alhamdulillah diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk menterjemah risalah yang ditulis oleh Imam al-Ghazali (wafat pada 505 H) yang merupakan petikan daripada karyanya al-Arba'in fi Usuluddin fi al-'Aqaid, wa Asrar al-'Ibadat, wa al-Akhlaq. Kitab ini merupakan kesimpulan dan intipati daripada karyanya al-Ihya' fi 'Ulumuddin menghimpunkan 10 usul dalam aqidah, 10 usul rahsia ibadat, 10 sifat mazmumah yang wajib dihindari serta 10 sifat mahmudah yang wajib menghiasi akhlaq bagi mendapat kejayaan di akhirat nanti. 

Justeru, moga terjemahan ini memberi manfaat kepada para pembaca untuk memahami karya Imam al-Ghazali yang penuh dengan mutiara hikmah. Beliau merupakan mujaddid kurun kelima sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Murtadha al-Zabidi di dalam kitabnya Ithaf al-Sadah al-Muttaqin bi Syarh Ihya' Ulumuddin dan diiktiraf oleh para ulama' selepasnya sehingga ke hari ini.

Berkata Imam al-Ghazali -rahimahullahu ta'ala 'anhu-pada Usul yang ke-3 tentang Amalan Zahir berkaitan Puasa :

Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa Allah s.w.t telah berkata :

))كل حسنة بعشر أمثالها ، إلى سبعمائة ضعف ، والصوم لي وأنا أجزي به((

Maksudnya : “Setiap amalan kebaikan (yang dilakukan) akan dibalas dengan 10 ganjaran sehingga sampai kepada 700 kali ganda, kecuali amalan puasa, kerana sesungguhnya amalan puasa adalah untuk Aku maka Akulah yang akan menganjarinya.”[1]

Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda :

))لكل شيء باب ، و باب العبادة الصيام((

Maksudnya : “Bagi setiap sesuatu mempunyai pintu dan pintu bagi ibadah ialah puasa.”[2]

Sesungguhnya amalan puasa mempunyai keistimewaan yang khusus berbanding amalan lain adalah disebabkan oleh dua perkara :

Pertamanya :
Amalan puasa dapat menahan nafsu yang merupakan amalan rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah Ta’ala sahaja manakala amalan solat, zakat dan lain-lain tidak seperti amalan puasa.

Keduanya :
Amalan puasa dapat mengekang musuh Allah kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh (bagi manusia) dan musuh (syaitan) tidak akan kuat melainkan dengan pengantaraan syahwat. Justeru dengan berlapar sesorang itu dapat mematahkan keseluruhan syahwatnya yang menjadi alat bagi syaitan untuk menggoda manusia. Oleh yang demikian, baginda nabi s.a.w telah bersabda :

))إن الشيطان يجري من ابن آدم مجرى الدم فضيقوا مجاريه بالجوع((

Maksudnya : “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam badan anak adam melalui saluran darahnya, maka sempitkanlah laluan syaitan itu dengan berlapar.”[3]

Dan itulah rahsia sabda Rasulullah s.a.w :
((إذا دخل رمضان فتحت أبواب الجنان ، وغلقت أبواب النيران ، وصفدت الشياطين ،
 ونادى مناد : يا باغي الخير هلم ، ويا باغي الشر أقصر))

Maksudnya: “Apabila telah masuk bulan Ramadhan maka dibukakan segala pintu syurga dan dikunci pintu-pintu neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan, kemudian terdapat suara yang yang menyeru : Wahai orang yang inginkan kebaikan ayuhlah (mengerjakan amalan kebaikan), wahai orang yang inginkan kejahatan berhentilah (melakukan amalan kejahatan).”[4]  

Dan ketahuilah bahawa amalan puasa sekiranya dilihat pada aspek kedudukannya mempunyai 3 peringkat manakala pada aspek rahsia-rahsianya mempunyai 3 peringkat.

Adapun peringkat-peringkat kedudukannya :

Serendah-rendahnya ialah berpuasa hanya sekadar di bulan Ramadhan manakala yang paling tinggi kedudukannya ialah puasa nabi Allah Daud a.s iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari.

Di dalam khabar yang sahih,[5] puasa nabi Allah Daud lebih afdhal berbanding dengan puasa sepanjang tahun dan rahsianya ialah sesiapa yang berpuasa sepanjang tahun telah menjadikan puasa baginya sebagai adat kebiasaan maka dia tidak dapat merasai apabila berpuasa nafsunya dapat dipatahkan dan dalam hatinya tidak berasa dibersihkan dan pada syahwatnya tidak bersama dilemahkan. Hal ini kerana sesungguhnya jiwa hanya akan terkesan apabila dilakukan sesuatu secara berkala ke atasnya dan jiwa tidak akan berkesan sekiranya sesuatu perkara itu menjadi suatu adat kebiasaan.

Pandangan ini boleh difahami dengan dekat melalui analogi bahawa para doktor perubatan melarang sesorang memakan ubat sepanjang masa. Bahkan mereka (doktor) berkata : “Sekiranya seseorang itu selalu melazimi makan ubat (waktu sakit dan sihat), maka ubat itu tidak akan bermanfaat baginya pada waktu dia sakit nanti kerana campuran ubat itu sudah menjadi kebiasaanya menyebabkan dia tidak terkesan dengannya.”

Ketahuilah bahawa cara perubatan jiwa adalah hampir sama dengan cara perubatan badan dan inilah rahsia sabda baginda nabi s.a.w kepada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a. ketika mana beliau bertanyakan Rasulullah tentang berpuasa. Rasulullah bersabda :

((صم يوما وأفطر يوما . قال قلت : فإني أطيق أفضل من ذلك .
 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا أفضل من ذلك))

Maksudnya : “Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As berkata; Aku mahukan puasa yang lebih afdhal daripadanya. Rasulullah membalas; “Tidak ada puasa yang lebih afdhal daripadanya.”[6]

Oleh yang demikian, ketika diberitahu kepada Rasulullah s.a.w bahawa sesungguhnya si fulan itu berpuasa sepanjang tahun, lalu Rasulullah berkata :
فقال : لا صام ، ولا أفطر
Maksudnya : “Dia tidak (dikira) berpuasa dan tidak berbuka.”[7]

Sebagaimana Saiyyidah ‘Aishah pernah berkata kepada seorang lelaki yang membaca Al-Quran dengan cepat, katanya ; “Sesungguhnya dia tidak membaca al-Quran dan tidak pula berdiam.”

Adapun peringkat pertengahan dalam berpuasa ialah berpuasa sebanyak satu pertiga daripada satu tahun sama ada berpuasa isnin dan khamis dan ditambah bersamanya puasa bulan Ramadhan maka sesungguhnya kamu akan berpuasa dalam setahun selama 4 bulan 4 hari dan ini melebihi daripada satu pertiga. Walau bagaimanapun seseorang itu perlu meninggalkan berpuasa (sunat Isnin dan Khamis) pada salah satu hari daripada hari-hari tasyriq kemudian menggantikannya dengan tiga hari lain kerana kemungkinan dia perlu meninggalkan berpuasa (sunat Isnin Khamis) sekiranya puasa tersebut jatuh pada dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha), maka dia hanya perlu untuk menambahkan satu hari lagi berpuasa sunat bagi mencukupkan jumlah berpuasa sebanyak 4 bulan 4 hari. Sekiranya kamu meneliti secara mendalam perkiraan ini kamu akan mengetahui tentangnya.

Oleh itu, tidak seharusnya seseorang itu mengurangi kadar amalan puasanya daripada kadar yang telah disebutkan di atas kerana sesungguhnya puasa itu  dapat meringankan nafsu dan ganjaran pahala daripada amalan puasa sangat banyak.

Adapun rahsia-rahsia amalan puasa mempunyai 3 peringkat :

Peringkat yang paling rendah :

Seseorang itu hanya berpada dengan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa iaitu makan dan minum namun tidak menahan anggota daripada perkara-perkara yang makruh. Ini adalah merupakan tingkatan puasa orang awam.

Peringkat yang kedua :

Sesorang itu menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu makan dan minum serta menahan anggota badan daripada perkara-perkara yang makruh seperti menjaga lidahnya daripada mengumpat, menjaga matanya daripada melihat perkara-perkara yang meragukan dan demikian dilakukan kepada seluruh anggota badannya.

Peringkat ketiga :

Seseorang itu menahan dirinya daripada perkara-perkara yang membatalkan puasanya, menahan anggota badannya daripada perkara-perkara yang makruh serta memelihara hatinya daripada memikirkan perkara-perkara yang melalaikan serta was-was sebaliknya menumpukan hatinya kepada mengingati Allah s.w.t. Dan inilah tingkatan puasa golongan yang lebih khusus daripada orang-orang yang khusus berpuasa iaitu tingkatan darjat kesempurnaan dalam berpuasa.

Kemudian, perbahasan tentang amalan puasa mempunyai penutupnya agar lebih lengkap iaitu hendaklah seseorang yang berpuasa itu berbuka dengan makanan yang halal dan bukannya dengan makanan yang syubhat. Selain itu, janganlah terlalu banyak makan dan berlebihan pada makanan yang halal semata-mata ingin menggantikan semula bahagian yang terlepas pada siang hari dengan menghimpunkan hidangan bagi dua kali makan pada satu hindangan lalu dimakan kesemuanya. Hal ini hanya akan memberatkan perutnya, menguatkan syahwatnya, membatalkan rahsia berpuasa dan faedahnya, membawa kepada sikap malas untuk menunaikan tahajjud bahkan barangkali dia tidak dapat bangun sebelum waktu subuh. Kesemua ini merupakan kerugian yang amat besar bahkan tidak sepadan dan selari dengan faedah amalan puasa.-Tamat-

Kesimpulannya, marilah kita renungi nasihat Imam al-Ghazali dalam kita menjalani ibadah puasa terutama dengan kedatangan bulan Ramadhan yang hampir tiba. Semoga ibadah puasa yang dilakukan adalah berdasarkan ilmu, kefahaman dan kesedaran agar kita menjadi hambaNya yang bertaqwa. Amin...




[1] Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
[2] Hadith dikeluarkan oleh Ibnu al-Mubarak dalam kitab al-Zuhd dengan sanad yang dhaif.
[3] Hadith Muttafaqun ‘Alaih kecuali pada lafaz “maka sempitkanlah laluan syaitan itu dengan berlapar”
[4] Dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan berkata ; hadith gharib, dan al-Hakim mensahihkannya kerana mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim.
[5] Muttafaq ‘Alaih
[6] Muttafaq ‘Alaih
[7] Hadith dikeluarkan oleh Imam al-Nasa'i sepertinya dan al-Tirmizi sanadnya adalah sahih.

Rujukan :

Imam al-Ghazali (t.t), Kitab al-Arba'in fi Usuluddin fi al-'Aqaid, wa Asrar al-'Ibadat, wa al-Akhlaq, pentahqiq Abdullah Abdul Hamid 'Urwani, Dimasyq : Dar al-Qalam.

Terjemahan dan suntingan al-Faqir ilallah : 

Abu Marwan Majdi al-Azhari 
Bait al-Nur,
Gombak.

3 comments:

khadamgerakanislam.blogspot.com said...

salam.. ustaz, kaifahal... ustaz terjemah untuk buat buku ke?? bila nak keluaq buku.. :)

Doddo said...

Amiiiiin...

Haiqal Hazwan said...

Assalamualaikum.

Minta izin untuk disedut sedikit kandungan untuk diserapkan ke dalam teks syarahan agama adik saya ya.

Jzzk :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...