Friday, December 18, 2009

Lembaran baru hijrah


Bermula lembaran baru hijrah
Muharram bulan padanya sejarah
Termaktub sebagai bulan haram
Tersirat padanya hikmah mendalam

Menghitung amalan muhasabah diri
Taubat dihadapkan kepada Ilahi
Menjunjung perintah hakikat disedari
Larangan dijauhi pantang disalahi

Melakar harapan doa pasrah
Ke arah menjadi insan bertaqwa
Meneladani sirah falsafah hijrah
Semangat didasari Iman Taqwa

Mendamba barakah hidup berseri
Kurniaan Allah Rabbul Izzati
Perjalanan berliku menuntut bestari
Matlamat ukhrawi idaman sejati


1 Muharram 1431 H
Bait Perlis, Hayyi Sabie,
Madinah Nasr,
Kaherah.

Thursday, December 3, 2009

Berfikir tentang hujan

Berlalu sudah hari raya Aidil Adha, perayaan yang terbesar bagi umat Islam yang disyariatkan dalam Islam dengan dilakukan ibadah korban pada hari raya dan 3 hari selepasnya, dan sepanjang hari-hari tersebut disunatkan untuk melaungkan takbir raya berbanding hari raya Aidil Fitri yang hanya disambut sehari sahaja.


Namun realiti yang berlaku di Malaysia sebaliknya, hari raya aidil Fitri disambut dengan meriahnya bahkan memakan sambutannya sampai sebulan dengan dibuat rumah terbuka, manakala aidil adha disambut hanya sekadar sahaja. Berbeza dengan suasana sambutan hari raya di Mesir, hari raya Aidil Adha disambut dengan meriah sekali berbanding dengan hari raya aidil fitri. Cuti hari raya aidil adha lebih lama berbanding cuti hari raya aidil fitri.


Alhamdulillah tahun ini berkesempatan untuk berhari raya di Mesir walaupun keluarga berharap sangat untuk saya pulang berhari raya di Malaysia kerana sudah 3 tahun tidak bersama, namun apakan daya terpaksa ditangguhkan kerana ingin menyelesaikan beberapa tanggungjawab persatuan dan urusan sebelum pulang ke Malaysia. Sedikit terasa kesedihan di hati tetapi terubat kerana dapat berhari raya bersama-sama dengan maulana syeikh Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani Al-Syafie hafizahullah, guru mursyid kami yang banyak mencurahkan ilmu, memberi didikan dan tarbiyah melalui jalan untuk sampai kepada Allah Ta’ala.


Pagi hari raya yang lalu bumi kaherah dibasahi dengan hujan, hujan rahmat yang menyambut kehadiran Aidil Adha. Jalan raya basah dengan hujan bahkan terdapat banyak lopak takungan air, maklumlah jalan raya di Mesir ini tidak ada longkang untuk menyalurkan air hujan. Saya tidak pasti sebab apa, barangkali hujan hanya akan turun di Mesir dalam tempoh setahun dalam 2 fasa iaitu apabila masuknya musim sejuk dalam bulan 10 atau 11 dan apabila berakhirnya musim sejuk dalam bulan 2 atau 3 itu pun hanya sekejap sahaja. Ini sepanjang pemerhatian saya selama 6 tahun duduk di Mesir dan pemerhatian orang-orang terdahulu dari saya.


Sekadar gambar hiasan


Subhanallah maha Hikmahnya Allah Ta’ala, saya berfikir kalaulah Mesir ini hujan seperti di Malaysia sudah tentulah bandar Kaherah ini akan banjir teruk dan akan bertambahlah lagi kesengsaraan rakyat Mesir yang jurang kemiskinannya sangat besar.


Sewaktu dalam perjalanan saya menaiki motor untuk solat hari raya di Jabal Muqattom, bermula dari rumah Perlis sehinggalah ke Masjid Al-Asyraf, jalan raya dibasahi dengan air serta banyaknya lopak-lopak air. Hati kecil saya mengeluh…habislah jubah saya akan terkena percikan air yang bercampur dengan pepasir. Namun apakan daya semua itu perlu diredahi untuk sampai ke masjid Al-Asyraf maka terpaksalah bawa motor dengan kelajuan yang perlahan. Biasanya perjalanan daripada rumah Perlis untuk ke Masjid Al-Asyraf memakan masa 10-15 minit, namun pada pagi raya tersebut terpaksa memakan masa hampir 20-25 minit.


Dalam perjalanan saya terfikir, setiap kali hari raya aidil adha di Mesir pasti akan turun hujan. Tahun lepas hujan turun dengan lebat sekali pada hari terakhir hari Tasyriq sehingga jalan di hadapan rumah Perlis berubah menjadi sungai yang deras arusnya. Maka saya cuba memikirkan hikmahnya, kerana menjadi kebiasaan orang arab mesir untuk menyembelih binatang korban di hadapan rumah di atas jalan raya maka jalan-jalan di sekitar Kaherah akan dipenuhi dengan darah. Lalu barangkali Allah Ta’ala menurunkan hujan untuk membersihkan jalan-jalan daripada kesan-kesan darah. Memang betul sememangnya tahun lepas selepas hujan tersebut jalan-jalan menjadi bersih.


Tahun ini hujan turun pada hari raya pertama, terlintas di fikiran saya, Allah Maha Besar barangkali Allah menurunkan hujan dan membasahi jalan dengan air hujan agar mengimbangi darah sembelihan yang mengalir di jalanan agar tidak berbau busuk sangat memandangkan Mesir hari ini turut dilanda dengan penyakit selsema babi. Maha suci Allah…teringat saya akan kata-kata maulana Syeikh Yusri dalam khutbah Jumaatnya beberapa minggu yang lepas ;


“…demikianlah bagi umat islam tidak perlu takut dan risau untuk melakukan ibadah dengan berhimpun untuk solat jemaah, Jumaat dan mengerjakan umrah dan haji, walaupun dunia hari ini dilanda dengan penyakit selesema khinzir, kerana yang menurunkan penyakit itu adalah Allah dan kepada Dialah kita berlindung dan memohon pertolongan…”


Allah Maha Besar, kebesaran dan keagungan Allah ada di sekeliling kita, sama ada kita sedar atau pun tidak, sama ada kita ingin berfikir ataupun tidak untuk mencari hikmah. Usah kita memandang sinis pada perkara kebaikan walaupun ia hanyalah kecil pada pandangan manusia, dan janganlah pula kita memandang remeh atas perkara kejahatan walaupun ia hanyalah ringan pada pandangan manusia. Hakikat segalanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, Maha Besar lagi Maha Agung…


Monday, November 30, 2009

Tugasan pada hari-hari Tasyriq

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illah, Allahu Akbar Allahu Akbar wa lillahil hamd…


Kesempatan ini suka untuk berkongsi tulisan Imam Ibn Rajab Al-Hanbali Rahimahullah (wafat 795 H) bersempena dengan Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq moga kita beroleh manfaat yang banyak.


Berkata Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali dalam kitabnya Latoiful Ma’arif fi ma limawasim Al-‘Am minal Wazhoif pada bab tugasan pada bulan Dzul Hijjah :


Imam Muslim telah mengeluarkan hadis di dalam kitab sahihnya; daripada Nubaisyah Al-Huzali bahasanya Nabi S.A.W telah bersabda :

“Hari-hari (berhimpunnya jemaah haji) di Mina adalah hari-hari untuk makan dan minum dan berzikir.”


Dan di dalam riwayat Imam Ahmad bin Hanbal :

“Barangsiapa yang berpuasa (pada hari tasyriq) maka hendaklah dia berbuka, kerana sesungguhnya hari tersebut adalah hari-hari untuk makan dan minum.”


Hari-hari Mina adalah hari-hari yang ditentukan sebagaimana firman Allah Ta’ala :

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ

Maksudnya : “Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) Dalam beberapa hari Yang tertentu bilangannya…” (Al-Baqarah : 203)


[Pendapat ulama tentang Ayyam Ma’dudat : ]


Hari-hari tersebut ialah 3 hari selepas hari Al-Nahr (10 Dzul Hijjah) dan 3 hari tersebut adalah merupakan hari-hari Tasyriq. Ini merupakan pendapat Ibn Umar dan kebanyakan para ulama.


Dan diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas dan ‘Ato bahawa hari-hari yang ditentukan itu ialah 4 hari iaitu hari Al-Nahr serta 3 hari selepasnya dan ‘Ato menamakanya sebagai hari Tasyriq.


Berkata Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Rajab : “Pendapat pertama tentang hari-hari yang ditentukan adalah lebih Adzhar (lebih kuat).”


Sesungguhnya baginda Nabi S.A.W telah bersabda :

“Hari-hari Mina adalah 3 (hari), barangsiapa yang bersegera (meninggalkan Mina) padahari yang kedua maka tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua maka tidaklah berdosa.”

Hadis ini dikeluarkan oleh Ahli Sunan Al-Arba’ah (Imam Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah). Hadis ini jelas menunjukkan bahawa 3 hari tersebut adalah merupakan hari Tasyriq.


[Tugasan pada hari-hari Tasyriq]


Allah Ta’ala memerintahkan supaya berzikir dan mengingatinya pada hari Ayyam Ma’dudat sebagaimana sabda baginda S.A.W : “Sesungguhnya hari-hari tersebut adalah hari-hari untuk makan, minum dan berzikir.”


Perihal mengingati Allah yang dituntut untuk dilakukan pada hari-hari Tasyriq adalah pelbagai antaranya :


· Berzikir selepas selesai solat fardhu dengan bertakbir. Ianya dituntut sehinggalah akhir hari Tasyriq berdasarkan pandangan Jumhur Ulama terhadap hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Umar, ‘Ali, dan Ibn ‘Abbas.


· Mengingati Allah dengan membaca basmalah dan bertakbir ketika menyembelih binatang korban kerana waktu untuk sembelihan hady (bagi yang mengerjakan haji) dan udhiyah (bagi yang tidak mengerjakan haji) boleh dilakukan sepanjang hari-hari Tasyriq berdasarkan pandangan jumhur ulama. Ini adalah pandangan Imam As-Syafie dan satu riwayat daripada Imam Ahmad berdasarkan hadis marfu’ (yang sanadnya sampai kepada Rasulullah) ;


Maksudnya : “Setiap hari-hari Mina adalah (hari) untuk sembelihan.”


· Mengingati Allah ketika makan dan minum. Sesungguhnya disyariatkan ketika makan dan minum untuk membaca basmalah pada permulaan dan mengucapkan hamdalah ketika pengakhiran kerana terdapat hadis daripada Nabi S.A.W :


Maksudnya : “Sesungguhnya Allah meredhai ke atas hambaNya yang apabila selesai makan dan minum memujiNya (dengan mengucapkan hamdalah)”


· Berzikir dengan bertakbir ketika melontarkan Jamrah (batu-batu) pada hari-hari Tasyriq. Dan ini dikhususkan pada ahli musim (yang mengerjakan haji)


· Berzikir mengingati Allah secara mutlaq. Sesungguhnya disunatkan untuk memperbanyakkan berzikir pada hari-hari Tasyriq. Sesunguhnya Saidina Umar mengucapkan takbir di Mina di dalam kubahnya (khemah), orang ramai mendengarinya lalu turut mengucapkan takbir maka bergemalah Mina dengan takbir. Sesungguhnya Allah berfirman :


فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آَبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآَخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ * وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ*

Maksudnya : “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan Ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan Dengan sebutan Yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia Yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! berilah Kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. *Dan di antara mereka pula ada Yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka."


[Doa sebagai mengingati Allah]


Ramai ulama salaf mensunatkan doa ini (dibaca) pada hari-hari Tasyriq. Berkata ‘Ikramah : “Disunatkan untuk berdoa pada hari-hari Tasyriq :


رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ


Doa ini antara doa yang terbaik dan diriwayatkan bahawasanya doa ini paling banyak yang nabi baca dan apabila nabi berdoa baginda akan turut serta membacakan doa ini kerana doa ini menghimpunkan 2 kebaikan di dunia dan akhirat.


Berkata Al-Hasan : “Kebaikan di dunia ialah ilmu dan ibadah, manakala kebaikan di akhirat ialah syurga.”


Berkata Sufian : “Kebaikan di dunia ialah ilmu dan rezeki yang baik.”


Doa adalah seafdhal-afdhal zikir mengingati Allah. Sesungguhnya Ziyad Al-Jasos meriwayatkan daripada Abi Kinanah Al-Qursyi bahawa dia telah mendengar Abu Musa Al-Asyaari telah berkata di dalam khutbahnya pada hari Al-Nahr (Aidil Adha) : “Selepas hari Al-Nahr (Aidil Adha) terdapat 3 hari yang Allah sebutkan sebagai ayyam ma’dudat (hari yang ditentukan) yang tidak akan ditolak padanya doa, maka angkatlah keinginan kamu kepada Allah (dengan berdoa)”

Tamat kalam Al-Imam Al-Hafiz

Sama-sama kita bermuhasabah, adakah kita sentiasa mengingati Allah pada setiap detik dan ketika, setiap pergerakan dan diam sepanjang hari Al-Nahr dan hari-hari Tasyriq sebagai bukti syukur kita pada Allah Ta’ala. Adakah dengan menyambut hari raya Aidil Adha kali ini dapat meningkatkan lagi amal ibadah kita sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kita kepadaNya. Moga Allah menerima segala pengorbanan yang diserahkan sebagai bukti manifestasi cinta pada Allah dan RasulNya.

اللهم منك وإليك فتقبل


Salam Aidil Adha


Berkata Al-Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali dalam kitabnya Latoiful Ma'arif :

"Hari raya adalah musim kegembiraan dan keseronokan, Kegembiraan dan keseronokan bagi orang mukmin di dunia ialah disebabkan adanya Allah, apabila mereka (orang mukmin) berjaya menyempurnakan ketaatanNya serta memperolehi ganjaran daripada amalan mereka kerana keimanan terhadap janji-janjiNya ke atas mereka maka Allah melimpahkan fadhilatNya dan keampunanNya," sebagaimana firman Allah Ta'ala :

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ
Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata Dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka Dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan Dengan Yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa Yang mereka himpunkan dari Segala benda dan perkara Yang tidak kekal)". (Surah Yunus : 58)

Berkata Al-Hafiz :

ليس العيد لمن لبس الجديد , إنما العيد لمن طاعته تزيد
"Hari raya bukanlah bagi mereka yang hanya memakai pakaian baru, namun sesungguhnya hari raya adalah bagi mereka yang ketaatannya semakin bertambah."

ليس العيد لمن تجمل باللباس والمركوب , إنما العيد لمن غفرت له الذنوب
"Hari raya bukanlah bagi mereka yang hanya berhias-hias dengan pakaian dan kenderaan, namun hari raya adalah bagi mereka yang diampunkan segala dosa-dosanya."




Tuesday, September 1, 2009

Setiap sesuatu ada hikmahNya


Telah berlalu sepuluh Ramadhan yang pertama, begitu cepat masa berlalu bagaikan tidak terasa mengharungi bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan dalam beribadah untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala. Sememangnya Allah Ta’ala sangat dekat dan hampir dengan kita, sebaliknya kita lah kadangkala yang dekat dan kadangkala jauh denganNya. Dekat denganNya bila kita melakukan ketaatan kepadaNya dan jauh denganNya bila kita melakukan maksiat dan mungkar kepadaNya.


“Ya, Allah berikanlah kami kekuatan dalam melakukan ketaatan padaMu, sesunggunya kami hamba yang tiada daya kekuatan melainkan dengan kehendak dan keiizinanMu”


Masih terngiang-ngiang kata-kata guru kami Maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani di telinga dan sanubari saya sewaktu mengaji kitab Tuhfah Al-Ahwazi dan Kitab Bahjah Al-Nufus pada hari-hari awal Ramadhan baru-baru ini di masjid beliau. Kalamnya sangat menyentuh hati saya bila beliau berbicara tentang ilmu tasawwuf, pandangan matanya sungguh memberi kesan pada jiwa saya, beliau seorang yang sangat tawadhu’ dengan ilmunya. Beliau memperkatakan tentang masalah hikmah dan qudrah Allah Ta’ala. Kata-kata yang tidak dapat saya lupakan yang membuatkan saya sentiasa berfikir dan terus berfikir pada setiap sesuatu yang berlaku di sana terdapat hikmah Allah Ta’ala -semoga Allah memberkati Ilmunya di dunia dan akhirat-


Setelah kami membaca beberapa hadis dan syarahnya daripada kitab Tuhfah Al-Ahwazi kami membaca Al-Quran secara tadaarus sehingga sampai pada ayat ke-40 daripada surah maryam :

إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ الْأَرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Kamilah Yang mewarisi bumi dan Segala makhluk Yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.”


Maulana Syeikh Yusri menjelaskan kepada kami kalimah (يرجعون) terdapat dua bacaan qiraat, pertamanya bacaan riwayat Ya’qub; dibaca dengan membariskan fathah pada huruf ya dan membariskan kasrah pada huruf jim iaitu dibaca (يَرْجِعُونَ) dan keduanya bacaan riwayat baki qurra’ yang lain; dibaca dengan membariskan dhommah pada huruf ya dan membariskan fathah pada huruf jim iaitu dibaca (يُرْجَعُونَ). Kedua-dua bacaan ini adalah riwayat yang mutawatir sampai kepada Rasulullah S.A.W.


Seterusnya beliau menjelaskan kepada kami makna bagi kedua-dua bacaan qiraat tersebut. Kata beliau :


Kalimah يُرْجَعُونَ atas wazan mabni lil maf’ul menunjukkan akan qudrah (kekuasaan) Allah Ta’ala untuk mengembalikan manusia kepadaNya setelah mereka hidup di dunia sama ada untuk dimasukkan ke dalam SyurgaNya ataupun NerakaNya, manakala kalimah يَرْجِعُونَ atas wazan mabni lil ma’lum yang menunjukkan bahwa manusia akhirnya akan kembali juga kepada Allah Ta’ala dengan sebab kematian yang akan mereka hadapi di dunia ini.”


Beliau menambah lagi :


Hikmah adalah merupakan sebab atas sesuatu perkara manakala qudrah adalah merupakan hakikat atas sesuatu perkara. Mati adalah merupakan sebab bagi manusia untuk kembali kepada Allah manakala hakikat kematian itu adalah datangnya daripada ketentuan dan kekuasaan Allah. Sebagaimana Allah menghidupkan manusia daripada tiada maka tidaklah sukar bagi Allah untuk mematikannya lalu membangunkannya semula”


Subhanallah, saya terfikir dengan kata-kata maulana syeikh Yusri ini, tafsiran ini jelas menunjukkan akan mukjizat Al-Quran. Satu ayat yang mempunyai serampang dua mata, pertama bagi mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulnya akan mengakui akan hakikat bahawa mereka akan dikembalikan kepada Allah. Manakala keduanya bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah dan Rasulnya, tidakkah mereka mengambil pelajaran bahawa mereka tetap akan bertemu dengan kematian yang tidak dapat dielakkan yang akhirnya kematian ini akan menjadi sebab untuk mereka kembali kepada Allah.


Dalam kelas pengajian kitab Bahjah Al-Nufus iaitu kitab syarah kepada muktasar sahih Al-Bukhari, Maulana Syeikh Yusri turut menyebut sekali dengan tentang masalah Hikmah dan Qudrah Allah Ta’ala apabila menghuraikan kalam Ibnu Abi Jamrah Al-Andalusi terhadap hadis yang ke-18 iaitu hadis bab (البول والاستنجاء والشرب) :


Maulana Syeikh mengatakan :


Setiap perintah dan larangan daripada syarak mempunyai hikmah daripada Allah sama ada kita mengetahuinya ataupun tidak mengetahui, sama ada kita boleh berfikir atau pun tidak boleh berfikir tentangnya. Maka hikmah yang kita tidak ketahui atau dijangkaui oleh akal ini dipanggil sebagai Ta’abbud (akur dan patuh tanpa mempertikaikannya) sebagai contoh perintah untuk solat subuh dua rakaat, solat zuhur, asar dan isyak 4 rakaat dan maghrib 3 rakaat. Maka ibadah tadi haruslah dikerjakan tanpa boleh ditangguhkan untuk mencari hikmah, sebab atau faedahnya.”


Imam Ibnu Abi Jamrah turut mensyarah hadis ini dengan kalamnya :


“Hadis ini menunjukkan kepada maksud seorang mukallaf itu hendaklah mengetahui akan hikmah Allah Ta’ala atas sesuatu perkara dan mengikut akan hikmah tersebut. Sebab itu baginda nabi S.A.W bersabda ketika hendak bersai’e antara Safa dan Marwa : Kami memulakan dengan apa yang telah Allah mulakan”


Seterusnya Ibnu Abi Jamrah mengatakan :


Walaupun huruf wau tidak mendatangkan maksud susunan di dalam kalam bahasa arab namun Sahib Al-Nur (Rasulullah) mengetahui bahawa Al-Hakim (Allah) tidak memulakan sesuatu melainkan adanya hikmah, maka baginda mengikut akan hikmah Al-Hakim.”


Dalam menghuraikan hadis yang ke-20 iaitu hadis bab (النعاس في الصلاة) daripada kitab Bahjah An-Nufus, Berkata Imam Ibnu Abi Jamrah :


Hadis ini menunjukkan kepada perlunya untuk mengikut serta mematuhi akan hikmah kerana hikmah membuktikan bahwa rasa mengantuk atau tidur hanya akan hilang dengan seseorang itu dalam keadaan tenang sehinggalah sampai waktunya yang ditentukan oleh Allah Ta’ala.


Maulana Syeikh mengulas akan kalam Imam Ibnu Abi Jamrah katanya :


“Hikmah adalah merupakan sebab manakala qudrah adalah merupakan hakikat. Tidur adalah merupakan sebab untuk seseorang itu berehat dan mendapat kekuatan manakala hakikat yang mendatangkan rasa mengantuk dan tidur adalah Allah Ta’ala dan hakikat yang memberikan kekuatan semula pada manusia setelah tidurnya juga adalah Allah Ta’ala. Maka tidur menunjukkan kepada kita akan kekuasaan Allah Ta’ala ke atas makhluknya terutama manusia walaupun memiliki akal dan kekuatan apabila datangnya rasa mengantuk maka dia akan tetap akur dan patuh. Tidur juga menunjukkan bahawa manusia adalah lemah dan penuh dengan hajat dan keperluan.


Maulana Syeikh yang juga merupakan seorang doktor pakar bedah turut menyatakan pada kami bahawa sains perubatan masih belum dapat merungkaikan dengan tepat bagaimana sistem dalaman organ manusia boleh terus berfungsi semasa manusia tidur. Bagaimana ia boleh dikawal? Siapa yang mengawalnya? Maka sesungguhnya kesemua ini tidak lain dan tidak bukan adalah dibawah kekuasaan Allah Ta’ala. Subhanallah, sewaktu kita tidur kita tunduk dan akur dengan ketetapan dan ketentuan Allah namun bagaimana perihal ketika waktu sedar kita? Adakah kita tunduk dan akur dengan ketetapan dan ketentuan Allah yang Maha Hikmah lagi Perkasa?


Maulana Syeikh turut menasihati kami agar tidak terlalu banyak menghabiskan masa untuk tidur. Tidur yang secekupnya bukanlah semestinya terikat dengan jumlah 6-8 jam sebalik tidur yang secukupnya adalah tidur yang sedikit tetapi memberi kesan. Maka hendaklah kita menyandarkan harapan dan pergantungan kepada Allah Ta’ala untuk mendapat tidur yang secukupnya. Kadang kala kita terlalu mengikut akan nafsu untuk tidur dengan berlebihan lalu dibuai dengan mimpi-mimpi indah yang sedikit sebanyak akan membuatkan hati menjadi keras.


Semoga Ramadhan kali ini dapat menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah Ta’ala dengan hikmah yang dihidangkan kepada kita melalui nas Al-Quran dan Hadis nabi S.A.W, meningkatkan lagi amalan kita untuk mendekatkan diri kepadaNya kerana siapalah kita tanpa Allah Yang Maha Agung, seterusnya dapat memberi kesan dalam jiwa dan rohani kita untuk menggapai keredhoanNya.



Saturday, August 22, 2009

Ramadhan Bulan Tauladan



Shaaban berakhir melabuh tirai
Ramadhan datang kunjung tiba
Ibadah diganda dosa dilerai
Rebut tawaran terus berlumba


Bermula pertama hari Ramadhan
Pabila terbenam suria Syaaban
Azan maghrib sebagai sempadan
Tandanya masuk bulan Al-Quran

Solat Tarawih sesudah Isyak
Ditunai bersama secara jemaah

Lelaki perempuan anak diajak

Ruku' dan sujud mengharap sa'adah


Malam dihiasi amal ibadah
Solat, zikir membasahi lidah
Sahur diambil mengikut sunnah
Menanti subuh dihampari sejadah

Azan subuh menyeru umat
Bermula tempoh untuk berpuasa

Solat dikerja hati selamat

Sabar menahan segenap rasa


Siang hari medan ujian
mengawal nafsu dari godaan
Waktu terluang bacalah Al-Quran
Moga Allah memberi kekuatan

Azan Maghrib bergema sudah
Waktu berbuka orang berpuasa
Gembira rasa anugerah Allah
Puji dan syukur pada Yang Esa

Solat Tarawih, puasa, tilawah
Tarbiyah Ilahi pembangun jiwa
Iman bertambah menyusuri qudwah
Menuju Allah memburu taqwa

Kitaran hidup muslim sejati
Sebulan diharungi tidak terasa

Keampunan dipohon amalan diberkati

Sandaran harapan pada Yang Kuasa



1 Ramadhan 1430 H
Bait Perlis, Madinah El-Nasr,
Haiyyu Sabie', Kaherah.


Friday, August 21, 2009

Pesanan berharga dari Ulama Al-Azhar

Alhamdulillah semalam sempat saya mengikuti majlis muhadarah yang disampaikan oleh beberapa orang masyaeikh Al-Azhar yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiyah atau lebih dikenali sebagai ARMA (Asrama Rumah Melayu Abbasiyah) di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir. Walaupun sibuk dalam melakukan persiapan terakhir untuk menghadapi peperiksaan peringkat sarjana di Al-Azhar yang tak kurang hanya tinggal dua minggu sahaja. Kalau tidak mengikuti majlis tersebut terasa sangat rugi kerana dikhabarkan Fadhilah Imam Mufti Mesir Prof Dr. Ali Jum’ah juga akan turut hadir pada majlis tersebut ditambah pula guru kami Dr. Jamal Faruq Al-Hasani telah berpesan secara khusus kepada saya dan beberapa orang teman lain (Ust Hairul Nizam dan Ust Nazrul) untuk hadir pada majlis tersebut. Maka sebagai anak murid perlu dengar dan taat.


DMAK @ ARMA


Selesai solat asar di musolla ARMA terus saya memasuki dewan untuk mengambil tempat duduk kerana melihat hadirin yang datang semakin ramai bimbang takut tak dapat tempat duduk dan kalau boleh mahu mencari tempat di bahagian depan sekali agar dapat menatap wajah ulama dan masyaeikh Al-Azhar dengan lebih dekat dan jelas. Bukankah menuntut ilmu termasuk di dalam perkara ibadah? Dalam perkara ibadah disunatkan untuk berlumba-berlumba, jadi tidak salah untuk berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat duduk di bahagian depan agar lebih dekat dan hampir dengan masayaeikh yang akan melontarkan mutiara kata yang berharga.


Tatkala memasuki dewan kelihatan dewan sudah penuh dengan hadirin ikhwah dan akhawat dari pandangan belakang dewan sedikit terasa kekecewaan namun Alhamdulillah puji dan syukur kepada Allah kerana disebalik pandangan zahir tempat duduk yang sudah penuh dibahagian depan sebenar hakikatnya masih terdapat dua tempat duduk yang masih kosong. Kebetulan ada AJK program yang memperlawa untuk penuhkan 2 kerusi di bahagian hadapan sekali. Tanpa melengahkan masa terus saya dan Ust Hairul Nizam mengambil tempat tersebut. Sememangnya pandangan mata zahir kadang kala tidak tepat dan benar.


Terdengar khabar yang Fadhilah Imam Mufti Mesir tidak dapat hadir untuk memberikan muhadarah (ucapannya) sebaliknya diganti dengan naibnya Syeikh Muhammad Husam. Barangkali beliau sibuk dengan urusan yang lebih penting memandangkan hari ini beliau akan terlibat dalam proses melihat anak bulan Ramadhan seterusnya akan mengumumkannya pada majlis pengumuman yang dibuat di Dewan Muktamar Al-Azhar, Madinah Nasr, Kaherah. Sedikit terasa kecewa namun apabila melihat kehadiran masyaeikh yang lain terutama guru-guru talaqqi kami seperti Dr. Toha Dusuki, Dr Jamal Faruq, Syeikh Usamah Al-Sayid yang turut hadir walaupun beliau sibuk dalam menyiapkan Risalah PhDnya yang perlu disiapkan sebelum bulan Oktober ini maka terubat kembali rasa kecewa. Selain itu turut hadir ialah Dr Bakr Zaki ‘Awadh, Dr. Abd Salam Al-Atiq dan Syeikh Asyraf Hamid.


Muhadharah daripada masyaeikh dimulakan dengan ucapan Syeikh Muhammad Husam yang mewakili ucapan Fadhilah Imam Mufti Mesir. Beliau menyampaikan salam daripada Fadhilah Imam Mufti Mesir kepada hadirin dan memohon maaf kerana beliau tidak dapat hadir pada majlis tersebut. Syeikh Muhammad Husam memperkatakan tentang Al-Quran Karim sebagai kitab panduan hidayah yang diturunkan pada bulan Ramadhan dan menyeru kepada hadirin untuk memperbanyakkan membacanya berserta tadabbur memahami isi kandungan serta makna ayat yang dibaca. Beliau juga turut mengaitkan antara rahsia penurunan Al-Quran dengan waktu malam. Beliau membacakan ayat-ayat daripada Surah Al-Muzammil :


Maksudnya :


(1. Wahai orang Yang berselimut! 2. Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidakuntuk berehat), 3. Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, 4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran Dengan "Tartil". 5. (Sayugialah Engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing Dengan Ibadat Yang berat kepada hawa nafsu, kerana) Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran Yang mengandungi perintah-perintah) Yang berat (kepada orang-orang Yang tidak bersedia menyempurnakannya). 6. Sebenarnya sembahyang dan Ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. 7. (Kami galakkan Engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya Engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan Yang panjang kira bicaranya; 8. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya Dengan sebulat-bulat tumpuan.)


Beliau menjelaskan membaca Al-Quran pada waktu malam dapat memberi kesan yang mendalam pada hati dan jiwa orang yang membacanya yang tidak akan dapat dirasai pada waktu siang kerana Allah melimpahkan rahmat dan keberkatanNya pada waktu malam lebih-lebih lagi pada waktu baki satu pertiga malam. Beliau menyebut dalam Al-Quran Allah Taala menyebut perkataan Al-Lail (malam) pada 92 tempat manakala Al-Nahar hanya sebanyak 57 tempat (Kalau tak salah apa yang ana dengar, kalau silap dapat dibetulkan) yang menunjukkan malam adalah waktu yang sesuai dan terbaik untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala sebagaimana umat Islam memulakan perkiraan hari bilamana matahari sudah terbenam maka telah masuk hari baru, sebab itulah hari pertama bulan Ramadhan di sambut dengan Solat Tarawih pada malamnya yang kemudian barulah berpuasa pada siangnya. Pada waktu malam jugalah berlakunya peristiwa kebesaran dan mukjizat sebagaimana peristiwa penurunan Al-Quran berlaku pada malam lailatul Qadr, peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku pada waktu malam dalam bulan rejab. Beliau juga menghuraikan kemajuan dan kebangkitan Umat Islam hanya akan dapat dicapai apabila umat Islam membangunkan Al-Quran dan merealisasikan tuntutan yang terdapat dalam Al-Quran sebagaimana sejarah umat Islam terdahulu telah membuktikannya. Dan Kejatuhan umat Islam adalah disebabkan mereka mengabai serta tidak menghiraukan panduan kitab hidayah yang merupakan wahyu Ilahi.


Muhadharah kedua disampaikan oleh Syeikh Usamah Al-Sayid Al-Azhari guru kami yang sangat dikagumi, usianya masih muda tetapi Ilmunya menggunung tinggi, ucapannya sungguh berkesan, ingatannya sangat kuat sehinggakan digelar sebagai Al-Mausuie (ensiklopedia), dihormati oleh masyaeikh yang lebih berusia daripadanya sehinggakan guru kami Dr. Jamal Faruq memanggilnya sebagai Syaikhuna (Guru kami) sedangkan Syeikh Usamah sebenarnya adalah anak murid kepada Dr. Jamal Faruq. Tidak hairanlah kenapa Syeikh Usamah sering menjadi pengganti kepada Fadhilah Imam Mufti untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sultan Hassan atau mewakilinya ke dalam majlis-majlis Ilmu.


Syeikh Usamah memulakan muhadharahnya dengan menjelaskan perihal atau keadaan umat-umat terdahulu dengan nabi-nabi mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Hubungan umat-umat terdahulu dengan ajaran nabi-nabi mereka tidak berpanjangan lamanya kerana ajaran nabi-nabi mereka kadangkala terhenti dan terputus apabila wafatnya nabi-nabi mereka. Hal ini berbeza dengan umat nabi Muhammad yang dimuliakan dengan kemuliaan nabi Muhammad S.A.W. Allah Taala menjanjikan ke atas umat nabi Muhammad dengan terpeliharanya Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan panduan bagi umat Islam serta menyelamatkan umat Islam daripada binasa kesyirikan walaupun setelah kewafatan nabi Muhammad S.A.W.


Buktinya jelas pada hari ini setelah 1400 tahun lebih sejak kewafatan baginda nabi Muhammad S.A.W Islam terus berkembang ke seluruh pelusuk dunia melalui jasa dan pengorbanan generasi sahabat yang mendapat didikan dan asuhan daripada baginda, generasi yang lahir daripada keluaran madrasah baginda seterusnya menyampaikannya kepada generasi para tabien sehinggalah berantaian penyampaian ilmu serta kefahaman Islam daripada satu generasi ke satu generasi yang lain seterusnya diwujudkan madaris ilmiyah (institusi pengajian ilmu Islam) bagi meneruskan kesinambungan penyampaian ilmu-ilmu Islam kepada umat Islam.


Justeru dibangunkan beberapa madaris ilmiyah di beberapa wilayah umat Islam seperti madrasah yang terdapat di Jamie’ Zaitunah di Maghribi, Jamie’ Al-Qarawiyin di Fas, Jamie’ Umawi di Dimasyq, dan Jamie Al-Azhar di Mesir. Kesemua madaris ilmiyah yang dibangunkan ini menjadi tempat dan pusat perkembangan ilmu-ilmu Islam sehinggakan ilmu-ilmu yang disampaikan dan kitab-kitab yang digunakan dalam pengajiannya diiktiraf oleh keseluruhan para ulama atau dengan kata lain (tallaqat bil qabul) akan kesahihan manhajnya sebagaimana kefahaman generasi para salafusoleh yang mengambil ilmu-ilmu Islam sehingga sampai sanadnya kepada baginda nabi Muhammad S.A.W.


Maka di Mesir, dengan izin Allah Taala Al-Azhar telah diwujudkan sebagai pusat perkembangan Ilmu Islam yang tertua di dunia Islam dan para ulama’ silam dan mutakhir mengiktiraf Al-Azhar sebagai pusat perkembangan Ilmu Islam yang membawa manhaj yang mu’tadil dan wasatiyah (seimbang dan sederhana) sebagaimana manhaj yang dibawa oleh baginda nabi S.A.W yang diajarkan kepada para sahabat dan salafusoleh. Sejarah juga telah menyaksikan bagaimana Al-Azhar telah melahirkan ramai para ulama’ yang menjadi mata rantai dakwah baginda nabi Muhammad S.A.W untuk menyampaikan risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia.


Syeikh Usamah turut berpesan kepada hadirin khususnya kepada mahasiswa Malaysia yang belajar di Universiti Al-Azhar tentang amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul apabila pulang ke Malaysia kelak. Antara kalamnya yang cukup menyentuh hati seingat saya :


“Ketahuilah, sesungguhnya kamu semua akan pulang ke Malaysia nanti dan akan ditanya tentang pelbagai soalan, dan akan diajukan dengan pelbagai keraguan masalah dan syubhat, maka hendaklah kamu semua menyiapkan bekalan dan kelengkapan dengan menimba ilmu dengan sebanyaknya daripada masyaeikh Al-Azhar secara talaqqi musyafahah (duduk secara berdepan) untuk mendapat kefahaman yang jelas sebagaimana para masyaeikh Al-Azhar mengambil ilmu daripada guru-guru mereka dengan cara yang sama sehinggalah sampai sanadnya kepada Rasulullah”


Syeikh Usamah turut memberi peringatan kepada mahasiswa Malaysia agar berpegang dengan manhaj Al-Azhar yang diiktiraf sela

mat dan sejahtera oleh para majoriti ‘ulama dan umat Islam dan berhati-hati dengan manhaj yang menyimpang daripada kebenaran, kata beliau :


“Seandainya kamu diajak kepada berpegang kepada Al-Quran dan Al-Sunnah, maka hendaklah kamu pastikan manhaj mereka, tanyakan apa pandangan mereka terhadap Al-Azhar danulamanya, seandainya mereka bersetuju dengan Al-Azhar dan ‘ulamanya maka mereka adalah golongan yang benar, dan seandainya mereka menolak Al-Azhar dan ulamanya maka ketahuilah bahawa mereka bukan berada pada manhaj yang benar.”


Setelah selesai Syeikh Usamah menyampaikan muhadharahnya, maka majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada beberapa orang masyeikh Al-Azhar yang turut hadir. Dr Bakr Zaki ‘Awadh dalam ucapannya menekankan tentang pentingnya dibangunkan tentera-tentera pengaman sebagaimana dibangunkan tentera-tentera peperangan dalam sebuah negara umat islam. Maksud tentera-tentera pengaman ialah para ulama yang akan menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Sebagaimana sebuah negara umat Islam mengambil berat tentang perihal ketenteraan dengan dikeluarkan belanja yang banyak untuk persenjataan dan kelengkapan perang maka demikian juga sebuah negara umat Islam juga perlu mengambil berat tentang perihal untuk membangunkan institusi ulama.


Seterusnya diikuti dengan ucapan Dr. Jamal Faruq, Pensyarah Aqidah Islam di Kuliyah Dirasat Islamiyah Kaherah yang mengulas akan ayat 18 daripada Surah Ali-Imran.


Maksudnya :


(18. Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia;Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.)


Dr Jamal Faruq Al-Hasani

Seterusnya diikuti dengan ucapan Dr. Toha Dusuki Ketua Jabatan Aqidah dan Falsafah, Kuliah Usuluddin Kaherah yang menyebut tentang setiap ibadah mempunyai kiblat atau arah yang ditentukan Allah Ta’ala. Kata beliau ;


“Ibadah Solat kiblatnya ialah Ka’bah, ibadah doa kiblatnya ialah daripada tadahan tangan berdoa sehinggalah ke atas langit, ibadah tawaf kiblatnya ialah dengan mengelilingi ka’bah maka menuntut ilmu adalah ibadah dan kiblatnya tidak lain dan tidak bukan adalah Al-Azhar..”


Dr Toha Dusuki Habisyi di maktabah rumahnya


Ucapan terakhir disampaikan oleh Dr. Abd Salam Al-Atiq, ‘ulama muda yang tawadhu’. Beliau mengatakan tidak layak untuk menyampaikan ucapan dihadapan masyaeikh Al-Azhar yang merupakan gurunya. Namun atas permintaan majlis beliau menyampaikan juga beberapa pesanan. Beliau mengingatkan kepada mahasiswa Malaysia agar membezakan antara bidang dakwah dan bidang fatwa, Bidang dakwah adalah merupakan matlamat dan tujuan daripada menuntut ilmu dengan menyampaikan amanah ilmu sama ada melalui percakapan mahu pun tingkah laku iaitu dengan akhlaq yang baik kepada masyarakat. Manakala bidang fatwa pula memerlukan kepada kepakaran dan kemantapan ilmu yang jitu.


Kesemua masyaiekh di dalam ucapan mereka memuji akan sikap mahasiswa Malaysia di Mesir yang sangat menghormati dan menyanjung para Ulama’ dan menjaga akan adab-adab dengan ilmu dan ‘ulama. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Syeikh Asyraf Hamid seterusnya tetamu berangkat untuk ke jamuan. Alhamdulillah saya turut mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mencium tangan masyaeikh Al-Azhar sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas ucapan dan pesanan berharga yang disampaikan kepada kami. Alangkah indahnya hidup bersama-sama dengan ulama’…


جزاهم الله عنا خير الجزاء ونفعنا بعلومهم في الدارين , امين
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...