Kota Kaherah hari ini menyaksikan cuaca yang sangat panas sehingga mencecah ke suhu 41 darjah celcius pada watu tengah hari. Terasa bahangnya membakar kulit walaupun berada di dalam bilik ditemani kipas yang setia berputar-putar, juga tidak mampu menyejukkan ruang bilik. Sebab itu tidak hairanlah kebanyakan alat penghawa dingin di pasang di rumah-rumah masyarakat arab di sini. Apakan daya menyedari diri ini sebagai penuntut dan tetamu di perlembahan nil ini, maka memadailah berpada dengan apa yang ada. Tekak sentiasa berasa kehausan walaupun sudah berkali-kali meneguk beberapa gelas air.
Sememangnya musim panas ini banyak menguji kesabaran dan ketabahan emosi, jasmani dan rohani. Lebih-lebih lagi apabila menaiki kenderaan awam seperti bas dan Metro (seperti LRT) kerana terpaksa bersesak-sesak disebabkan kepadatan penduduk kaherah yang mencecah 9 juta orang. Ditambah pula dengan pelbagai latarbelakang perangai dan ragam masyarakat yang cepat berang dan marah pada musim panas tetapi cepat pula reda. Barangkali seandainya ingin keluar rumah pada siang hari perlu berfikir panjang sekiranya tiada pengajian dan urusan yang penting. Teringat akan tafsiran yang diberikan kepada nama Mesir ( مصر ) yang terdiri daripada 3 huruf arab iaitu huruf Mim yang bermaksud musibah, huruf Sod bermaksud sabar dan huruf Ra bermaksud redha. Barangkali ada munasabah dan pengajaran yang perlu diambil dari setiap apa yang berlaku.
Malam ini tidak seperti malam-malam sebelum ini, suhunya mencapai tahap 34 darjah celcius. Sekitar jam 10.20 malam kedengaran bunyi rintikan hujan. Hujan pada musim panas? Seperti tidak percaya kerana kebiasaannya hujan di Mesir jarang berlaku melainkan ketika perubahan musim kepada musim sejuk serta ketika berakhirnya musim sejuk. Namun inilah kuasa Allah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu dan mampu merubah segalanya. Hujan yang hanya turun selama 5 minit seterusnya diikuti dengan angin yang membawa butiran-butiran pasir setelah kehangatan malam, sedikit mengubat kerinduan pada hujan. Barangkali menunjukkan bahawa nikmat dunia ini hanyalah sementara dan tidak kekal. Manakala kehangatan di dunia ini hanyalah kecil sekiranya dibandingkan dengan azab akhirat kelak. Semoga kita dapat merasa nikmat syurga yang kekal dengan rahmat dan redha Rabbil Jalil. Allahumma amin…
1 comments:
salam,
aritu masa solt magrib di masjidilharam 4.6.2008, pon hujan lebat turun dgn lebatnya, selama dkt setengah jam...Subhanallah
Post a Comment