Tuesday, July 10, 2012

Amalan Puasa sebagai Pengubat Jiwa


Alhamdulillah diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk menterjemah risalah yang ditulis oleh Imam al-Ghazali (wafat pada 505 H) yang merupakan petikan daripada karyanya al-Arba'in fi Usuluddin fi al-'Aqaid, wa Asrar al-'Ibadat, wa al-Akhlaq. Kitab ini merupakan kesimpulan dan intipati daripada karyanya al-Ihya' fi 'Ulumuddin menghimpunkan 10 usul dalam aqidah, 10 usul rahsia ibadat, 10 sifat mazmumah yang wajib dihindari serta 10 sifat mahmudah yang wajib menghiasi akhlaq bagi mendapat kejayaan di akhirat nanti. 

Justeru, moga terjemahan ini memberi manfaat kepada para pembaca untuk memahami karya Imam al-Ghazali yang penuh dengan mutiara hikmah. Beliau merupakan mujaddid kurun kelima sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Murtadha al-Zabidi di dalam kitabnya Ithaf al-Sadah al-Muttaqin bi Syarh Ihya' Ulumuddin dan diiktiraf oleh para ulama' selepasnya sehingga ke hari ini.

Berkata Imam al-Ghazali -rahimahullahu ta'ala 'anhu-pada Usul yang ke-3 tentang Amalan Zahir berkaitan Puasa :

Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa Allah s.w.t telah berkata :

))كل حسنة بعشر أمثالها ، إلى سبعمائة ضعف ، والصوم لي وأنا أجزي به((

Maksudnya : “Setiap amalan kebaikan (yang dilakukan) akan dibalas dengan 10 ganjaran sehingga sampai kepada 700 kali ganda, kecuali amalan puasa, kerana sesungguhnya amalan puasa adalah untuk Aku maka Akulah yang akan menganjarinya.”[1]

Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda :

))لكل شيء باب ، و باب العبادة الصيام((

Maksudnya : “Bagi setiap sesuatu mempunyai pintu dan pintu bagi ibadah ialah puasa.”[2]

Sesungguhnya amalan puasa mempunyai keistimewaan yang khusus berbanding amalan lain adalah disebabkan oleh dua perkara :

Pertamanya :
Amalan puasa dapat menahan nafsu yang merupakan amalan rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah Ta’ala sahaja manakala amalan solat, zakat dan lain-lain tidak seperti amalan puasa.

Keduanya :
Amalan puasa dapat mengekang musuh Allah kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh (bagi manusia) dan musuh (syaitan) tidak akan kuat melainkan dengan pengantaraan syahwat. Justeru dengan berlapar sesorang itu dapat mematahkan keseluruhan syahwatnya yang menjadi alat bagi syaitan untuk menggoda manusia. Oleh yang demikian, baginda nabi s.a.w telah bersabda :

))إن الشيطان يجري من ابن آدم مجرى الدم فضيقوا مجاريه بالجوع((

Maksudnya : “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam badan anak adam melalui saluran darahnya, maka sempitkanlah laluan syaitan itu dengan berlapar.”[3]

Dan itulah rahsia sabda Rasulullah s.a.w :
((إذا دخل رمضان فتحت أبواب الجنان ، وغلقت أبواب النيران ، وصفدت الشياطين ،
 ونادى مناد : يا باغي الخير هلم ، ويا باغي الشر أقصر))

Maksudnya: “Apabila telah masuk bulan Ramadhan maka dibukakan segala pintu syurga dan dikunci pintu-pintu neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan, kemudian terdapat suara yang yang menyeru : Wahai orang yang inginkan kebaikan ayuhlah (mengerjakan amalan kebaikan), wahai orang yang inginkan kejahatan berhentilah (melakukan amalan kejahatan).”[4]  

Dan ketahuilah bahawa amalan puasa sekiranya dilihat pada aspek kedudukannya mempunyai 3 peringkat manakala pada aspek rahsia-rahsianya mempunyai 3 peringkat.

Adapun peringkat-peringkat kedudukannya :

Serendah-rendahnya ialah berpuasa hanya sekadar di bulan Ramadhan manakala yang paling tinggi kedudukannya ialah puasa nabi Allah Daud a.s iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari.

Di dalam khabar yang sahih,[5] puasa nabi Allah Daud lebih afdhal berbanding dengan puasa sepanjang tahun dan rahsianya ialah sesiapa yang berpuasa sepanjang tahun telah menjadikan puasa baginya sebagai adat kebiasaan maka dia tidak dapat merasai apabila berpuasa nafsunya dapat dipatahkan dan dalam hatinya tidak berasa dibersihkan dan pada syahwatnya tidak bersama dilemahkan. Hal ini kerana sesungguhnya jiwa hanya akan terkesan apabila dilakukan sesuatu secara berkala ke atasnya dan jiwa tidak akan berkesan sekiranya sesuatu perkara itu menjadi suatu adat kebiasaan.

Pandangan ini boleh difahami dengan dekat melalui analogi bahawa para doktor perubatan melarang sesorang memakan ubat sepanjang masa. Bahkan mereka (doktor) berkata : “Sekiranya seseorang itu selalu melazimi makan ubat (waktu sakit dan sihat), maka ubat itu tidak akan bermanfaat baginya pada waktu dia sakit nanti kerana campuran ubat itu sudah menjadi kebiasaanya menyebabkan dia tidak terkesan dengannya.”

Ketahuilah bahawa cara perubatan jiwa adalah hampir sama dengan cara perubatan badan dan inilah rahsia sabda baginda nabi s.a.w kepada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a. ketika mana beliau bertanyakan Rasulullah tentang berpuasa. Rasulullah bersabda :

((صم يوما وأفطر يوما . قال قلت : فإني أطيق أفضل من ذلك .
 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا أفضل من ذلك))

Maksudnya : “Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As berkata; Aku mahukan puasa yang lebih afdhal daripadanya. Rasulullah membalas; “Tidak ada puasa yang lebih afdhal daripadanya.”[6]

Oleh yang demikian, ketika diberitahu kepada Rasulullah s.a.w bahawa sesungguhnya si fulan itu berpuasa sepanjang tahun, lalu Rasulullah berkata :
فقال : لا صام ، ولا أفطر
Maksudnya : “Dia tidak (dikira) berpuasa dan tidak berbuka.”[7]

Sebagaimana Saiyyidah ‘Aishah pernah berkata kepada seorang lelaki yang membaca Al-Quran dengan cepat, katanya ; “Sesungguhnya dia tidak membaca al-Quran dan tidak pula berdiam.”

Adapun peringkat pertengahan dalam berpuasa ialah berpuasa sebanyak satu pertiga daripada satu tahun sama ada berpuasa isnin dan khamis dan ditambah bersamanya puasa bulan Ramadhan maka sesungguhnya kamu akan berpuasa dalam setahun selama 4 bulan 4 hari dan ini melebihi daripada satu pertiga. Walau bagaimanapun seseorang itu perlu meninggalkan berpuasa (sunat Isnin dan Khamis) pada salah satu hari daripada hari-hari tasyriq kemudian menggantikannya dengan tiga hari lain kerana kemungkinan dia perlu meninggalkan berpuasa (sunat Isnin Khamis) sekiranya puasa tersebut jatuh pada dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha), maka dia hanya perlu untuk menambahkan satu hari lagi berpuasa sunat bagi mencukupkan jumlah berpuasa sebanyak 4 bulan 4 hari. Sekiranya kamu meneliti secara mendalam perkiraan ini kamu akan mengetahui tentangnya.

Oleh itu, tidak seharusnya seseorang itu mengurangi kadar amalan puasanya daripada kadar yang telah disebutkan di atas kerana sesungguhnya puasa itu  dapat meringankan nafsu dan ganjaran pahala daripada amalan puasa sangat banyak.

Adapun rahsia-rahsia amalan puasa mempunyai 3 peringkat :

Peringkat yang paling rendah :

Seseorang itu hanya berpada dengan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa iaitu makan dan minum namun tidak menahan anggota daripada perkara-perkara yang makruh. Ini adalah merupakan tingkatan puasa orang awam.

Peringkat yang kedua :

Sesorang itu menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu makan dan minum serta menahan anggota badan daripada perkara-perkara yang makruh seperti menjaga lidahnya daripada mengumpat, menjaga matanya daripada melihat perkara-perkara yang meragukan dan demikian dilakukan kepada seluruh anggota badannya.

Peringkat ketiga :

Seseorang itu menahan dirinya daripada perkara-perkara yang membatalkan puasanya, menahan anggota badannya daripada perkara-perkara yang makruh serta memelihara hatinya daripada memikirkan perkara-perkara yang melalaikan serta was-was sebaliknya menumpukan hatinya kepada mengingati Allah s.w.t. Dan inilah tingkatan puasa golongan yang lebih khusus daripada orang-orang yang khusus berpuasa iaitu tingkatan darjat kesempurnaan dalam berpuasa.

Kemudian, perbahasan tentang amalan puasa mempunyai penutupnya agar lebih lengkap iaitu hendaklah seseorang yang berpuasa itu berbuka dengan makanan yang halal dan bukannya dengan makanan yang syubhat. Selain itu, janganlah terlalu banyak makan dan berlebihan pada makanan yang halal semata-mata ingin menggantikan semula bahagian yang terlepas pada siang hari dengan menghimpunkan hidangan bagi dua kali makan pada satu hindangan lalu dimakan kesemuanya. Hal ini hanya akan memberatkan perutnya, menguatkan syahwatnya, membatalkan rahsia berpuasa dan faedahnya, membawa kepada sikap malas untuk menunaikan tahajjud bahkan barangkali dia tidak dapat bangun sebelum waktu subuh. Kesemua ini merupakan kerugian yang amat besar bahkan tidak sepadan dan selari dengan faedah amalan puasa.-Tamat-

Kesimpulannya, marilah kita renungi nasihat Imam al-Ghazali dalam kita menjalani ibadah puasa terutama dengan kedatangan bulan Ramadhan yang hampir tiba. Semoga ibadah puasa yang dilakukan adalah berdasarkan ilmu, kefahaman dan kesedaran agar kita menjadi hambaNya yang bertaqwa. Amin...




[1] Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
[2] Hadith dikeluarkan oleh Ibnu al-Mubarak dalam kitab al-Zuhd dengan sanad yang dhaif.
[3] Hadith Muttafaqun ‘Alaih kecuali pada lafaz “maka sempitkanlah laluan syaitan itu dengan berlapar”
[4] Dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan berkata ; hadith gharib, dan al-Hakim mensahihkannya kerana mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim.
[5] Muttafaq ‘Alaih
[6] Muttafaq ‘Alaih
[7] Hadith dikeluarkan oleh Imam al-Nasa'i sepertinya dan al-Tirmizi sanadnya adalah sahih.

Rujukan :

Imam al-Ghazali (t.t), Kitab al-Arba'in fi Usuluddin fi al-'Aqaid, wa Asrar al-'Ibadat, wa al-Akhlaq, pentahqiq Abdullah Abdul Hamid 'Urwani, Dimasyq : Dar al-Qalam.

Terjemahan dan suntingan al-Faqir ilallah : 

Abu Marwan Majdi al-Azhari 
Bait al-Nur,
Gombak.

Monday, July 9, 2012

Risalah tentang Golongan Anti Hadith


Diterbitkan Oleh: JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR Aras 7 & 8, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan Tel: 03-55143738 Fax: 03-55197584 e-mail: mufti_sel@selangor.gov.my web: mufti.selangor.gov.my  


LATAR BELAKANG 

1. Isu Anti Hadis bermula pada tahun 1986 yang dipelopori oleh Kassim Ahmad yang mendokong idea Dr. Rashad Khalifa. Mereka bukan di kalangan ahli ilmuan Islam tetapi sengaja membahaskan di kalangan Islam dengan berpandukan akal dan kaedah saintifik. 

2. Akibat terpengaruh dengan buku-buku Dr. Rashad Khalifa, beliau memperkenalkan idea berkenaan kepada umat Islam ini dengan menulis beberapa artikel di dalam ruangan “Berani Kerana Benar” akhbar Watan. 

3. Peningkatan beliau terlihat dengan penganjuran majlis diskusi mengenai “Teori hadis” di Pejabat ALIRAN, Pulau Pinang dan rumah beliau di No. 8, Jalan Ayah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang yang dihadiri para kenalan dan ahli Parti Sosial Rakyat Malaysia (PSRM). 

4. Pada Mei 1986, Kassim Ahmad telah menulis sebuah buku bertajuk “Hadis satu penilaian semula” terbitan Media Intelek Sdn. Bhd. yang mana antara kandungannya ialah menolak hadis secara total sebagai sumber hukum Islam.

5. Pada Oktober 1992, Kassim Ahmad sekali menulis buku “Hadis Jawapan Kepada Pengkritik” terbitan Media Sdn. Bhd. dengan mesej yang sama iaitu menolak hadis. 

6. Usaha golongan ini menolak hadis sebagai sumber hukum dibuat dalam pelbagai bentuk seperti penulisan (Risalah lqra’), artikel dalam media cetak, diskusi, forum, ceramah dan sebagainya. 


CIRI-CIRI KESALAHAN 

1. Penyelewengan dari sudut akidah:

 a. Menolak hadis secara total sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam.
 b. Menolak dua kalimah syahadah. 
 c. Menolak kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar. 
 d. Memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran.
 e. Mempertikaikan kesahihan ayat-ayat al-Quran. 
 f. Mendakwa kiamat akan berlaku pada 1710H/2280M. 
 g. Menolak berlakunya seksaan kubur selepas mati. 
 h. Menafikan kedudukan Nabi Adam A.S. sebagai manusia pertama ciptaan Allah S.W.T.
 i. Menolak kemaksuman para Nabi. 

2. Percanggahan dari sudut syariah: 

a. Menolak pensyariatan sembahyang. 
b. Menolak ketetapan hukum fiqh Islam tentang aurat wanita. 

3. Percanggahan dari sudut akhlak: 

a. Menghina peribadi dan kedudukan Rasulullah S.A.W. 
b. Mencerca dan memfitnah para Ulama’. 
c. Mencabar dan mempertikaikan kewibawaan pihak berkuasa agama.
d. Tidak mengikut displin ilmu-ilmu Islam. 


KEPUTUSAN 

1. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor telah membuat keputusan bahawa buku-buku iaitu: 
(a) “Hadis Satu Penilaian Semula”. 
(b) “Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, yang ditulis oleh Kassim Ahmad. 
(c) “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu”. 
(d) “Hadith di dalam al-Quran”, yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman. 
(e) Buku “Bacaan” yang ditulis oleh Othman Ali. 
(f) Buku “The Computer Speaks - God’s Message To The World” yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa. 
(g) Risalah “Iqra" terbitan Jemaah al-Quran Malaysia. 

Adalah mengandungi, antara lain ajaran dan fahaman yang menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran.

Oleh yang demikian, buku-buku dan risalah itu adalah mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan ‘aqidah, syariah dan akhlak Islam.

2. OLEH YANG DEMIKIAN; 
(a) Mana-mana orang atau kumpulan orang yang berpegang pada ajaran-ajaran dan fahaman -fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah yang dinyatakan dalam perkara (1) adalah murtad; 
(b) Percetakan, penerbitan, pemilikan, penyiaran, penyebaran atau pengedaran mana-mana buku atau risalah yang dinyatakan dalam perkara (1) termasuk; (i) Apa-apa bentuk, versi atau variasinya; (ii) Apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa; (iii) Apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku atau risalah itu; Pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media, adalah haram; 
(c) Pengajaran, pembelajaran, pengalaman dan penyebaran ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang terkandung dalam mana-mana buku atau risalah yang dinyatakan dalam perkara (1) adalah haram; 
(d) Adalah haram bagi orang Islam menjadi anggota atau memimpin atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan mana-mana kumpulan yang berpegang pada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam mana-mana buku atau risalah yang dinyatakan dalam perkara (1). 




Wednesday, July 4, 2012

Perutusan Maulana Dr Usamah al-Sayyed al-Azhari pada Forum Menasihati Presiden Mesir yang baru

Renunglah kata-kata guru kami, Maulana Dr Usamah al-Sayyed al-Azhari pada Forum al-Qawl al-Sadid fi Nushi al-Ra'is al-Jadid (Pesanan yang benar dalam menasihati Presiden yang baru), beliau menyampaikan beberapa perutusan penting antaranya :



1. Menghimpunkan (semula) penyatuan dan perdamaian dalam negara.

2. Kewajipan Presiden untuk meletakkan tangannya(kekuasaannya) pada kunci-kunci keperibadian seorang insan yang merupakan rakyat mesir.

3. Kewajipan Presiden agar tidak membenarkan kepada sesiapa disekelilingnya  untuk bercakap bagi pihaknya.

4. Janganlah berjanji dengan sesuatu yang kamu tidak mampu tunaikannya dan berjanjilah dengan sesuatu yang mampu kamu laksanakannya.

5. Berterus teranglah dengan rakyat kamu dan penuhkanlah hati kamu dengan kecintaan kepada mereka.

6. Ambil berat terhadap tokoh-tokoh ilmuan mesir yang telah berhijrah (keluar Mesir) kerana mereka telah hilang persekitaran dan suasana kelimuan (sebenar di Mesir.)

7. Ambil perhatian terhadap pendidikan, kemudian pendidikan, kemudian pendidikan,kemudian pendidikan,kemudian pendidikan,kemudian pendidikan,kemudian pendidikan. Hal ini kerana tiada harapan bagi sebuah negara untuk membangun dan mencapai ketamadunan melainkan dengan pendidikan.

8. Lipatkanlah lembaran-lembaran lampau dan perselisihan politik tanpa berlakunya percanggahan dalam hukuman.

9. Apabila pihak pembangkang mempunyai satu juzuk kebenaran, maka hendaklah kamu menerimanya dan bersegera untuk melaksanakannya, dan janganlah kamu membalas pandangan mereka dengan layanan buruk yang menjadikannya penghalang untuk kamu mendengar nasihat mereka.-Tamat-

Sumber : Maktab Risalah al-Azhar

Renunglah dengan hati yang terbuka, pasti mendapat banyak mutiara hikmah dalam ucapan ini. Mohon teguran sekiranya terdapat kesalahan dalam terjemahan ini.


Abu Marwan al-Azhari
Bait al-Nur,
Gombak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...