Sunday, June 29, 2008

Sarjana Muslim hasil ensiklopedia papar maklumat profil negara, permasalahan

Sumber :

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/
20080627230553/Article/indexworld_html

MAKKAH: Takwim Dunia Islam 2008 yang memperincikan hampir semua maklumat mengenai Islam akhirnya berjaya dihasilkan dan bakal memberi jawapan kepada pelbagai permasalahan, selain memperbetulkan tanggapan negatif mengenai Islam.

Takwim setebal 900 halaman dan disifatkan paling lengkap, mengandungi hampir semua perkara mengenai umat Islam bermula daripada kepercayaan dan perjalanan kehidupan harian, ekonomi, pendidikan serta pandangan mengenai Islam di seluruh dunia.

Usaha menghasilkannya diketuai pengarang, Saqib Jawaid dan ketua pengarang, Jawaid Anwar Al-Hasan bersama 13 anggota sidang pengarangnya yang berpejabat di Makkah dan Jeddah.

Presiden Motamar Al-Alam Al Islami dan Timbalan Pengerusi Pusat Dialog Kebangsaan Raja Abdul Aziz, Dr Abdullah Omar Naseef dalam kata aluannya menyifatkan usaha menghasilkan takwim itu adalah jawapan kepada cabaran yang dihadapi umat Islam di seluruh dunia masa kini.

"Kita jarang mendapat peluang untuk memberi pendedahan secara terperinci dan komprehensif kepada masyarakat dunia mengenai agama dan umat Islam. Takwim ini diharap memberi penjelasan kepada mereka mengenai apa itu Islam," katanya.

Beliau berkata, takwim itu dibahagikan kepada 14 bahagian dengan bahagian pertama membabitkan separuh daripada keseluruhan halaman, mengandungi profil 60 negara Islam dengan maklumat terperinci.

Takwim turut menyediakan analisis dan data statistik yang amat berguna kepada pengkaji dan penyelidik. Dua rencana berjudul 'Demography of Muslim Countries' oleh Prof Mehtab Karim dan 'Economic Overview of OIC countries' oleh Dr Akhtar Ali memberi maklumat lengkap kepada sesiapa yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai masyarakat Islam.

Satu lagi bahagian mengenai bagaimana Islam berhadapan dengan pelbagai aspek agama menyiarkan rencana oleh penulis terkenal membincangkan hak asasi, hak wanita dan perbankan Islam.

"Profil 15 institusi pengajian tinggi Islam termasuk Universiti Al-Azhar di Mesir, Univeristi Islam Aligarh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Persatuan Islam Amerika Utara turut dicatatkan. � Agensi

Takwim Dunia Islam 2008 juga membincangkan mengenai isu semasa umat Islam, antaranya kumpulan minoriti di Myanmar, selatan Filipina, selatan Thailand dan Gujerat, India. Tiga rencana mengenai penjara Teluk Guantanamo, Abu Ghraib Pangkalan Udara Bagram, mengingatkan pembaca mengenai diskriminasi yang terpaksa dihadapi sebilangan umat Islam.

"Takwim Dunia Islam 2008 dikompilasikan dengan keikhlasan bagi memberi gambaran sebenar mengenai keindahan agama suci ini, diharap membetulkan pelbagai salah faham dan memberi gambaran sebenar mengenai Islam," kata Dr Abdullah. � Agensi

Saturday, June 28, 2008

Solat boleh rawat mati pucuk


Sumber :

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/
Mutakhir/20080626181055/Article/index_html

KUALA LUMPUR: Hasil kajian tiga pensyarah Jabatan Kejuruteraan BioPerubatan Universiti Malaya (UM) mendapati solat yang diamalkan secara teratur boleh merawat masalah penyakit mati pucuk dan beberapa penyakit lain.

Prof Madya Dr Fatimah Ibrahim berkata kajian terhadap 10 pesakit mati pucuk yang mengamalkan solat sebagai terapi dan mengikut postur yang sempurna selama sebulan, membuahkan hasil apabila mereka berjaya mencapai ereksi seperti lelaki normal.

“Lelaki yang normal sepatutnya akan mendapat ereksi sekurang-kurangnya tiga kali sewaktu tidur dan perubahan isipadunya mestilah melebihi 200 peratus. Jika kurang daripada jumlah itu dia dianggap mati pucuk,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar sempena Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Biomedical itu adalah dua lagi penyelidik iaitu Prof Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Naib Canselor Prof Mohd Amin Jalaludin.

Dr Fatimah berkata selain solat lima waktu, pesakit juga diminta bersolat sunat selama setengah jam, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan selepas itu mereka dibekalkan peralatan yang dapat mengukur isipadu ereksi. Alat itu dipasang sebelum tidur.



Friday, June 27, 2008

Imtihan oh imtihan...



Sungguh pantas masa berlalu, seakan-akan rasa ketinggalan untuk mengejar masa walaupun hari ini kehidupan penuh dengan kecanggihan dan teknologi. Pejam celik, celik pejam sudah berlalu 3 kertas peperiksaan bagi tahun pertama Ijazah Sarjana. Masih berbaki 7 kertas lagi bagi menghabiskan peperiksaan bertulis kali pertama yang bakal berakhir pada 17 Julai. Suatu perjalanan yang masih jauh dan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan bagi menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Al-Azhar.

Perjalanan yang masih jauh kerana tempoh pengajian Al-Azhar bagi peringkat Sarjana yang lama kerana pelajar peringkat ini perlu melalui tahap tamhidi (permulaan) selama 2 tahun iaitu diwajibkan mengikuti muhadharah (kelas) dan lulus dalam peperiksaan setiap tahun sekurang-kurangnya dengan pangkat Jayyid bagi melayakkan untuk melalui tahap seterusnya iaitu penulisan tesis. Kebiasaannya tempoh untuk menghabiskan penulisan tesis sehinggalah tesis tersebut dinilai dan dibahaskan adalah melebihi 2 tahun. Maka sekiranya ditambah tempoh bagi kedua tahap tersebut memakan masa hampir 4 tahun bahkan lebih lagi seakan-akan sama tempohnya untuk menghabiskan Ijazah Sarjana Muda di Al-Azhar.

Perjalanan yang penuh dengan cabaran dan ujian pula kerana sistem pengajiannya yang sangat sukar dan ketat berbanding dengan universiti-universiti lain. Sistemnya dahulu mewajibkan para pelajar lulus bagi semua subjek pada peperiksaan pada bulan Jun, seandainya gagal satu subjek saja maka diiktibarkan gagal semua subjek dan perlu menduduki semula peperiksaan kali kedua pada bulan September. Kebiasaan subjek yang perlu diambil adalah antara 6 hingga 10 subjek mengikut kursus jabatan yang diambil dan subjek tersebut telah ditetapkan oleh pihak universiti.

Baru-baru ini dikhabarkan pihak universiti ada membuat perubahan pada sistem dengan meringankan syarat-syarat sebelum ini, iaitu subjek yang gagal semasa peperiksaan kali pertama sahaja yang perlu diulang peperiksaannya kali kedua pada bulan September. Namun sehingga sekarang masih belum lagi diketahui sejauh mana perlaksanaannya pada tahun ini. Harus tunggu dan lihat kerana inilah Al-Azhar yang tidak dapat dijangkakan serta tiada yang mustahil iaitu mustahil untuk berubah mahupun mustahil untuk tidak berubah.

Selain itu cabaran jadual peperiksaan yang hanya selang sehari sahaja turut memberi tekanan tambahan pula tatkala pelajar peringkat sarjana sedang sibuk berada dalam tempoh peperiksaan para pelajar peringkat sarjana muda pula dalam suasana cuti. Apa tidaknya, bilangan pelajar Malaysia yang menyambung pengajian ke peringkat sarjana hanya sedikit boleh dibilang dengan jari. Namun itu semua bukan alasan untuk patah semangat untuk meneruskan pengajian kerana ingin memperolehi mutiara-mutiara ilmu dari para Ulama' Mesir yang hebat dari segi keilmuannya dan tawadhu' dari segi akhlaknya.

Masih ku teringat akan pesanan seorang ustaz sewaktu permukiman di bumi waqafan, tanah air Malaysia yang berpesan, "Seandainya enta mahu tafaqquh (mendalami) ilmu agama maka Mesirlah tempatnya, namun seandainya hanya mahu tasarru' (cepat) dalam menuntut ilmu Mesir bukan tempatnya." Ruanglingkup ilmu-ilmu Islam sangat luas dan sememangnya tidak dapat diperolehi dengan sekelip mata atau hanya beberapa tahun. Sedangkan para ulama' dahulu menghabiskan separuh usia mereka hanya dalam menuntut ilmu. Sememangnya dalam suasana peperiksaan 24 jam sehari adalah suatu tempoh yang tidak cukup untuk mengulangkaji pelajaran. Namun apakan daya inilah sunnatullah (ketetapan Allah) terhadap alam ini. Justeru, peperiksaan adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan dengan manusia terutama sebagai penuntut ilmu kerana ia adalah sebagai kayu ukur terhadap pencapaian diri namun hanya sekadar wasilah dan bukannya segala-galanya.

Sedar atau tidak sebenarnya setiap hari kita berhadapan dengan ujian iaitu ujian kita berhadapan dengan Allah sama ada secara qalbi, lisan mahupun amalan. Adakah kita menjawab serta melengkapkan soalan yang diminta kepada kita atau sebaliknya mengabaikannya? Setiap hari umat Islam diberikan soalan untuk solat 5 waktu, melakukan kebaikan serta meninggalkan kejahatan. Setiap tahun semua umat Islam menduduki peperiksaan selama 30 hari untuk menjawab soalan puasa. Sejauhmana kita menjawab soalan-soalan tersebut. Setiap umat Islam mengetahui akan menduduki peperiksaan sewaktu di alam barzakh serta di Padang Mahsyar nanti? Sejauhmana persediaan kita untuk menghadapinya. Benarlah manusia ini adalah penuntut rahmat dan redha Allah S.W.T maka sebab itu kita tidak terlepas daripada ujian dan peperiksaanNya yang jauh lebih penting dari segala-galanya.



Tuesday, June 17, 2008

Penyelidik temui 3 bumi besar, dua sistem suria

Sumber :

www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Dunia/20080616231938/Article

PENEMUAN BARU: Lakaran menunjukkan tiga 'bumi besar'
mengelilingi mataharinya (warna oren).


Planet menyerupai bumi lebih padu, kelilingi matahari 4 hari

WASHINGTON: Penyelidik Eropah mengumumkan semalam bahawa mereka menemui tiga 'bumi besar' (super-earth) mengelilingi sebuah bintang yang berdekatan. Selain itu, dua lagi sistem suria ditemui mempunyai planet yang kecil.

Penemuan itu diumumkan pada satu persidangan di Perancis membayangkan planet seperti bumi mungkin agak biasa di dalam sistem suria.

"Apakah setiap bintang memiliki sistem planetnya sendiri. Jika ya, beberapa banyak planet ia miliki?" tanya Michel Mayor dari Observatori Geneva di Switzerlad.

"Kita mungkin tidak mempunyai jawapannya sekarang, tetapi kita sedang mencatat kemajuan yang besar untuk menjawabnya," kata Mayor dalam satu kenyataan.

Tiga bumi besar berkenaan mengelilingi matahari yang lebih kecil daripada matahari dalam sistem suria kita. Sistem suria berkenaan terletak 42 tahun cahaya dari bumi.

Satu tahun cahaya ialah jarak yang dicapai cahaya dalam setahun pada kelajuan 300,000 kilometer sesaat atau kira-kira 9,500 bilion kilometer.

Planet menyerupai bumi itu ialah masing-masing 4.2 kali, 6.7 kali dan 9.4 kali lebih berat daripada bumi.

Planet berkenaan mengelilingi matahari mereka pada kelajuan yang lebih pesat, iaitu satu daripadanya mengelilingi mataharinya dalam empat hari berbanding 365 hari bagi bumi. Dua lagi masing-masing mengelilingi mataharinya dalam 10 hari dan 20 hari.

Mayor dan rakan kerjanya menemui planet berkenaan menggunakan teleskop High Accuracy Radial velocity Planet Searcher atau HARPS, di Observatori La Silla di Chile.

Lebih daripada 270 'exoplanet' sudah ditemui setakat ini dengan kebanyakannya planet besar yang menyerupai Musytari atau Zuhal. Planet yang lebih kecil menyerupai bumi amat jarang ditemui.

"Penemuan planet ini hanyalah satu permulaan.

"Analisis terhadap bintang menggunakan HARPS menunjukkan sepertiga daripada sistem suria mempunyai planet menyerupai bumi atau Neptun," katanya. � Reuters

________________

Ulasan :


Subhanallah... Maha Suci bagi Allah dari segenap kekurangan, Alhamdulillah...segala puji bagi Allah atas limpahan nikmat, Lailaha illa Allah...tiada tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, Allahu Akbar...Allah Maha Besar...

Penemuan in hanya sebahagian kecil daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T tuhan yang Maha Pencipta dan Berkuasa atas setiap sesuatu. Manamungkin alam semesta ini boleh wujud dengan sendiri atau secara kebetulan sebagaimana dakwaan golongan athies yang tidak mempercayai akan kewujudan tuhan. Lihatlah dengan segala keunikan dan keutuhan kejadian alam ini yang sentiasa akur dan patuh dengan ketetapan tuhan Yang Satu. Manamungkin boleh wujudnya berbilang-bilang tuhan dalam mentadbir akan alam ini sebagaimana dakwaan golongan politeisme. Seandainya ada tuhan-tuhan lain selain daripada Allah Yang Maha Esa nescaya akan berlaku kerosakan atau dalam erti kata lain sudah tentu alam ini tidak akan wujud.

Contoh yang lebih dekat dapat dilihat pada diri kita sebagai manusia yang terdiri daripada roh dan jasad yang melalui beberapa peringkat proses kejadian. Siapakah yang menciptakan semua ini? Siapakah yang mengawal segala pergerakan jantung dan peredaran darah di dalam badan kita? Siapa lagi kalau bukan Allah Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana. Semua makhluk akur dan patuh akan segala ketetapan yang ditetapkan Allah S.W.T tanpa sebarang bantahan. Siang bertukar malam, malam bertukar siang, musim saling silih berganti, bulan pula mengelilingi bumi pada paksinya demikian juga sekalian planet yang mengelilingi matahari. Namun kenapa makhluk yang bernama manusia atau insan seringkali bantah dan engkar akan segala ketetapan yang Allah tentukan ke atasnya? Hanya sekadar dijadikan dengan sebaik-baik kejadian dan diberikan akal fikiran, lantas angkuh dan sombong tidak mahu bertuhan, atau sengaja menduakan Allah, serta tidak mahu mengikut syariatNya yang disampaikan oleh rasul utusan yang terakhir nabi Muhammad S.A.W.

Penemuan ini jelas menunjukkan tiada yang mustahil bagi Allah Tuhan yang Maha Pencipta untuk menjadikan sesuatu daripada sekecil zarah sehinggalah sebesar alam semesta ini daripada tiada kepada ada mahupun sebaliknya. Sedangkan manusia hanyalah insan yang lemah, sekalipun kita mampu mencipta pelbagai ciptaan teknologi namun hanyalah dalam ruanglingkup menukarkan sesuatu kepada sesuatu melalui penggunaan sumber-sumber yang juga Allah jadikan. Di samping itu, penemuan baru ini juga menunjukkan akan kedangkalan ilmu manusia yang didahului dengan sifat jahil dan akan sentiasa berlaku pembaharuan dan penambahan kerana manusia terikat dengan masa. Sedangkan ilmu Allah sangat luas dan tidak terbatas dan terikat dengan masa.

Moga kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang taat dan patuh akan segala ketetapanNya dalam beragama kerana sesungguhnya agama yang diredhai Allah hanyalah agama Islam. Moga nikmat Iman dan Islam sentiasa dipelihara sehingga akhir hayat kita.

Thursday, June 12, 2008

Ada apa dengan pasport?


Alhamdulillah, syukur kerana tidak perlu menunggu lama kehadiran bas 359 di hentian bas restoran Burj, Hayyu Sabie'. Ketika baru saja menjejak kaki di sana kelihatan sinaran kenderaan hijau yang tidak asing bagi mahasiswa dan mahasiswi di perlembahan nil. Reka bentuknya tersendiri membuatkan dari jauh lagi bas tersebut dapat dikenali tanpa perlu menantikan paparan nombor yang tertera di cermin hadapan. Bas ini kebiasaannya akan dipenuhi dengan mahasiswa mahasiswi Malaysia kerana menuju ke Safarah Malizia iaitu Kedutaan Malaysia di Kaherah yang terletak di Mohandessen, lebih kurang 1 jam 15 minit masa perjalanan daripada hayyu sabie' sekiranya jalan tidak sibuk dan sesak.

Hari ini tidak ramai penumpang dari Malaysia yang menaiki bas ini, kerana kelihatan masih banyak bangku kosong. Barangkali kebanyakan mahasiswa peringkat sarjana muda masih dalam tempoh imtihan. Justeru sinonimnya bangunan kedutaan Malaysia juga akan lengang dengan mahasiswa-mahasiswi. Maka akan cepat dan mudahlah urusanku kerana pada saat-saat ini perlu menjaga masa dengan sebaiknya memandang tarikh peperiksaan peringkat sarjana hanya tinggal 10 hari lagi. Namun disebabkan ingin mengambil pasport baru yang sudah siap, maka masa, tenaga dan wang perlu dikorbankan untuk ke sana.

Terfikir sejenak; Apa ada dengan pasport? kenapa perlu sangat menjaga pasport? mengapa manusia sangat mengambil berat tentangnya? Maka berlegar-legar beberapa jawapan di benak fikiranku; pasport adalah merupakan dokumen yang mengandungi butiran peribadi yang dikeluarkan daripada sebuah kerajaan terhadap warganegaranya untuk dibawa apabila ke luar negera. Ini bermakna pasport bertindak sebagai pengenalan diri serta pengantara untuk mendapat keizinan masuk ke negara-negara asing. Pasport perlu dijaga kerana bagi memastikan kelangsungan pengenalan diri ketika keluar dan masuk negara agar tidak dilabelkan sebagai pendatang haram. Manusia begitu ambil berat terhadapnya kerana pasport merupakan sebahagian daripada sistem imigresen yang diterima dan diiktiraf di seluruh dunia.

Seterusnya datang persoalan yang menusuk qalbuku; Bagaimana pula dengan pasport untuk menuju ke alam akhirat selepas dibinasakan dunia ini? suatu alam yang dijanjikan Allah di dalam kitabNya Al-Quran serta sunnah nabiNya... Tiada pilihan melainkan 2 tempat sahaja sama ada ingin menuju ke destinasi syurga yang dilimpahi dengan nikmat dan kelazatan atau ke destinasi neraka yang dipenuhi dengan azab dan kesengsaraan. Sudah pasti sebagai insan yang waras kita akan memilih destinasi yang indah dan menyeronokkan.

Oleh yang demikian pasport untuk menuju ke syurga ialah Ucapan Dua kalimah Syahadah ; ucapan persaksian terhadap keesaan Allah S.W.T iaitu tiada yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah rasul utusanNya dengan penuh keikhlasan dan keimanan. Namun adakah cukup sekadar itu untuk melayakkan kita masuk ke dalam syurga? Sebagaimana adakah memadai kita memiliki pasport antabangsa lalu menyimpannya serta hanya duduk dalam negara sendiri membolehkan kita sampai ke destinasi yang hendak dituju? Justeru sudah pasti kita perlu mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli tiket pengangkutan serta menyediakan bekal dan kelengkapan untuk ke sana. Maka demikian juga untuk perjalanan menuju ke alam akhirat yang memerlukan kepada iringan amalan rukun-rukun Islam yang lima serta pengukuhan rukun-rukun Iman yang enam tanpa berbelah bagi kerana sebelum sampai di sana tempat persinggahan kita adalah alam barzakh yang juga menyediakan 2 pakej pilihan sama ada nikmat atau pun azab...

Kesimpulannya, hargai dan peliharalah pasport diri kita sebagai seorang muslim yang tunduk dan patuh dengan segala sistem dan perundangan Allah S.W.T, serta menjadi umat nabi Muhammad S.A.W yang mengikut akan segala ajaran yang disampaikannya agar diizinkan untuk mendapat syafaatnya.

اللهم انا نسألك رضاك والجنة ونعوذبك من سخاطك والنار ... اللهم امين

Daku melepaskan pandanganku keluar tingkap bas, kelihatan hampir tiba di hentian bas untuk menuju ke bangunan kedutaan Malaysia. Lalu bingkas bangun menuju ke pintu hadapan untuk bersedia turun. Alhamdulillah segala urusanku selesai dengan cepat dan dapat mengambil pasport baru.

Ada apa dengan pasport?

Monday, June 9, 2008

Hujan pada musim panas


Kota Kaherah hari ini menyaksikan cuaca yang sangat panas sehingga mencecah ke suhu 41 darjah celcius pada watu tengah hari. Terasa bahangnya membakar kulit walaupun berada di dalam bilik ditemani kipas yang setia berputar-putar, juga tidak mampu menyejukkan ruang bilik. Sebab itu tidak hairanlah kebanyakan alat penghawa dingin di pasang di rumah-rumah masyarakat arab di sini. Apakan daya menyedari diri ini sebagai penuntut dan tetamu di perlembahan nil ini, maka memadailah berpada dengan apa yang ada. Tekak sentiasa berasa kehausan walaupun sudah berkali-kali meneguk beberapa gelas air.


Sememangnya musim panas ini banyak menguji kesabaran dan ketabahan emosi, jasmani dan rohani. Lebih-lebih lagi apabila menaiki kenderaan awam seperti bas dan Metro (seperti LRT) kerana terpaksa bersesak-sesak disebabkan kepadatan penduduk kaherah yang mencecah 9 juta orang. Ditambah pula dengan pelbagai latarbelakang perangai dan ragam masyarakat yang cepat berang dan marah pada musim panas tetapi cepat pula reda. Barangkali seandainya ingin keluar rumah pada siang hari perlu berfikir panjang sekiranya tiada pengajian dan urusan yang penting. Teringat akan tafsiran yang diberikan kepada nama Mesir ( مصر ) yang terdiri daripada 3 huruf arab iaitu huruf Mim yang bermaksud musibah, huruf Sod bermaksud sabar dan huruf Ra bermaksud redha. Barangkali ada munasabah dan pengajaran yang perlu diambil dari setiap apa yang berlaku.


Waktu siang yang panjang daripada malam turut memberi kesan kepada cara hidup masyarakat di sini yang rata-rata banyak beristirehat pada siang hari manakala aktif pada sebelah malamnya. Teringat akan kata-kata seorang syeikh di sebuah masjid ketika beliau memberi tazkirah secara berseloroh berkata; “Seandainya tentera Israel datang menyerang Mesir selepas waktu subuh nescaya mereka dapat menawan Mesir dengan begitu mudah.” Azan subuh berkumandang sekitar jam 4.05 pagi manakala azan maghrib berkumandang pada jam 7.50 malam dan waktu isyak sekitar jam 9.30 malam.


Malam ini tidak seperti malam-malam sebelum ini, suhunya mencapai tahap 34 darjah celcius. Sekitar jam 10.20 malam kedengaran bunyi rintikan hujan. Hujan pada musim panas? Seperti tidak percaya kerana kebiasaannya hujan di Mesir jarang berlaku melainkan ketika perubahan musim kepada musim sejuk serta ketika berakhirnya musim sejuk. Namun inilah kuasa Allah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu dan mampu merubah segalanya. Hujan yang hanya turun selama 5 minit seterusnya diikuti dengan angin yang membawa butiran-butiran pasir setelah kehangatan malam, sedikit mengubat kerinduan pada hujan. Barangkali menunjukkan bahawa nikmat dunia ini hanyalah sementara dan tidak kekal. Manakala kehangatan di dunia ini hanyalah kecil sekiranya dibandingkan dengan azab akhirat kelak. Semoga kita dapat merasa nikmat syurga yang kekal dengan rahmat dan redha Rabbil Jalil. Allahumma amin…


Tuesday, June 3, 2008

Al-IMAM AL-BUKHARI : Siri 2

6. Pujian para ulama’ keatasnya :

Ramai di kalangan ulama’ Islam dan huffaz hadis yang memujinya dan mengiktiraf ilmu dan kelebihan yang ada pada Imam Al-Bukhari terutama ilmunya dalam bidang Al-Rijal [1]dan ‘Ilal Al-Hadis. [2]

Berkata Ishak bin Rahuyah : “Hendaklah kamu menulis hadis daripada pemuda tersebut (iaitu Al-Bukhari) kerana sekiranya dia berada pada zaman Al-Hasan (iaitu Al-Hasan Al-Basri) nescaya mereka turut berhajat kepadanya (Al-Bukhari) kerana pengetahuannya tentang hadis dan feqh hadis.”

Berkata Imam Ahmad : “Tidak ada insan yang dilahirkan di Khurasan seumpama seperti Muhammad bin Ismail.”

Para ulama’ di Mekah ada mengatakan : “Muhammad bin Ismail adalah imam kami dan faqeh kami serta seorang faqeh di Khurasan.”

Berkata Muhammad bin Abi Hatim : “Aku telah mendengar Mahmud bin Al-Nadhar iaitu Aba Sahl Al-Syafie berkata ; Aku telah masuk ke Al-Basrah, Al-Syam, Al-Hijaz, Al-Kufah, justeru aku melihat para ulama di sana ketika menyebut tentang Muhammad bin Ismail telah melebih serta memuliakannya berbanding diri mereka sendiri.”

7. Ibadahnya, waraknya serta kebaikannya :

Sebagaimana terhimpun pada Imam al-Bukhari kehebatan dalam ilmu feqh dan hadis, turut terhimpun padanya kehebatan dari segi ibadah. Beliau banyak membaca Al-Quran dan bersolat terutamanya pada Ramadhan, iaitu beliau akan khatamkan Al-Quran sekali pada siang harinya dan akan bangun selepas solat tarawih untuk membaca Al-Quran dan akan khatamkan bacaannya sekali selama tiga malam. [3]

Beliau juga seorang yang warak dalam perbualan dan percakapannya. Beliau berkata : “Aku berharap akan bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak dihitungkan bahawa aku telah mengumpat seseorang.” [4]

Beliau juga merupakan seorang yang mustajab doanya. Ketika berlakunya mehnah ke atasnya, beliau telah berdoa selepas wiridnya : “Wahai Tuhanku, sesungguhnya telah sempit bagi ku akan dunia ini dengan apa yang telah berlaku maka ambillah daku untuk kembali kepadamu.” Setelah berlalu sebulan beliau telah meninggal dunia. [5]

Beliau pernah berkata : “ Tidaklah sepatutnya bagi seorang muslim itu apabila berdoa lalu tidak diperkenankan doanya. Lalu isteri saudaranya telah berkata kepadanya; Adakah telah jelas berlaku kepada kamu atau kamu memang sudah mencubanya? Jawab Al-Bukhari; Ya, aku telah berdoa kepada Allah sebanyak 2 kali lalu Allah telah perkenankannya. Setelah itu aku tidak gemar untuk berdoa kerana bimbang akan mengurangkan amalan kebaikanku atau permintaan tersebut akan disegerakan di dunia. Katanya lagi; Seseorang muslim itu tidak perlu untuk berdusta dan bakhil.” [6]

8. Keperibadiaan dan Akhlaqnya:

Beliau merupakan seorang yang pemurah dan banyak menginfak hartanya kepada golongan faqir dan miskin terutamanya kepada anak muridnya serta rakan-rakannya.

Berkata Abdullah bin Muhammad Al-Soyarafi : “Ketika aku bersama dengan Abi Abdillah (Imam Al-Bukhari) di rumahnya, telah datang seorang jariahnya (hamba perempuan) kepadanya dan ingin masuk ke rumahnya lalu telah menempuh botol dakwat dihadapannya. Berkata Al-Bukhari kepadanya; Bagaimana kamu berjalan? Jawab jariahnya; Bagaimana aku hendak berjalan sekiranya tidak ada laluan utk berjalan di dalam rumah ini. Lalu berkata Al-Bukhari kepadanya sambil menghulurkan tangan; Pergilah, sesungguhnya aku telah memerdekakan kamu.” Ditanya Al-Bukhari; Adakah jariah itu telah membuatkan kamu marah? Jawab Al-Bukhari; Sekiranya jariah itu marah kepadaku sesungguhnya aku telah redha dengan apa yang telah aku lakukan.” [7]



[1] Ilmu yang dapat mengetahui perihal perawi dari segi tarikh lahir dan wafatnya, juga mengenali guru-gurunya serta tarikh seseorang perawi itu mendengar hadis daripada gurunya, juga mengenali anak muridnya, tempat asal mereka, tempat tinggal mereka, pengembaraan menuntut ilmu serta komentar ulama’ ke atasnya dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan hadis mengikut perspektif kaedah-kaedah ilmu Jarh wa Ta’dil. -Lihat Mausu’ah ‘Ulum Hadis, m/s 545.

[2] Ilmu yang mempunyai kaedah-kaedah yang dapat mendedahkan sebab-sebab yang tersembunyi serta mencacatkan kesahihah hadis serta hukum-hukumnya. – lihat Lamhat Mujazah fi Usul ‘Ilal Al-Hadis, Dr. Nuruddin , m/s 15.

[3] Opcit, m/s 749.

[4] Opcit, m/s 748.

[5] Lihat Sair Al-A’lam Al-Nubala, jilid 12, m/s 443.

[6]Lihat Sair Al-A’lam, jilid 12, m/s 402 dan Hadyu Al-Sari, m/s 748.

[7]Lihat Sair Al-A’lam, jilid 12, m/s 425 dan Hadyu Al-Sari, m/s 747.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...