Monday, April 28, 2008

HUKUM NYANYIAN, MUZIK DAN NASYID-NASYID ISLAM

Petikan daripada : Fatwa Dar Al-Ifta Mesir

Boleh rujuk : http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=5679&LangID=1

Soalan :

Apakah hukum mendengar muzik? Apakah bentuk-bentuk muzik yang halal dan haram? Apakah hukum nyanyian serta apakah garis panduannya? Apakah hukum mendengar nasyid-nasyid Islam sama ada lagu tersebut diiringi dengan paluan gendang ataupun tidak?

Jawapan :

Terdapat hukum nyanyian dan muzik yang mubah [1] untuk didengar dan ada yang hukumnya haram. Hal ini kerana nyanyian adalah merupakan percakapan, sekiranya percakapan itu baik maka baik jadinya dan seandainya percakapan itu buruk maka buruklah jadinya.

Muzik dan nyanyian sama ada berbentuk keagamaan, kenegaraan mahu pun bertujuan menzahirkan kegembiraan semasa perayaan-perayaan dan majlis-majlis tertentu adalah mubah dengan beberapa syarat :

  1. Tidak berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan dalam majlis dan pergaulan.
  2. Nyanyian tersebut bebas daripada unsur-unsur yang melampaui batas dan maksiat.
  3. Majlis tersebut tidak meliputi dengan benda-benda yang diharamkan seperti arak dan lucah.
  4. Nyanyian dan muzik itu tidak menjadi faktor pembangkit kepada nafsu syahwat.
  5. Makna atau maksud yang terkandung dalam nyanyian dan muzik itu mestilah baik serta terhindar daripada perkara-perkara yang haram.

Manakala bentuk muzik dan nyanyian yang haram pula ialah :

  1. Musik dan nyanyian tersebut melalaikan daripada mengingati Allah S.W.T.
  2. Terkandung di dalamnya perkara-perkara yang mungkar [2] dan dilarang oleh hukum syarak [3] seperti menjadi faktor pembangkit kepada nafsu syahwat dan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan, atau terdapat pada suara penyanyi percakapan yang kotor serta dapat mendatangkan fitnah [4] di samping dapat menghancurkan sifat malu dan berakhlaq.


[1] Dari segi bahasa : sesuatu yang diizinkan, manakala dari segi istilah :sesuatu perbuatan yang syarak beri pilihan kepada mukallaf utk melakukanya ataupun tidak- rujuk Usul Al-Fiqh Al-Islami / Dr. Wahbah Zuhaili, jil. 1, m/s 93.

[2] Dari segi bahasa : perkara yang keji dan kotor, lawan kepada makruf , manakala dari segi istilah : sesuatu yang tidak diredhai Allah S.W.T sama ada dari segi percakapan mahu pun perbuatan. - rujuk Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah, juz 39, m/s 89.

[3] Dari segi bahasa : ketetapan dan larangan, manakala dari segi istilah ulama’ usul : Ketetapan dan perintah (khitob) Allah S.W.T yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf sama ada secara iqtido’, takhyir dan wadhoie. opcit : juzuk 18, m/s 39.

[4] Dari segi bahasa : ujian, periksa, manakala dari segi istilah : kadangkala bermaksud kufur atau perbuatan yang keji dan aib atau azab. - opcit : juzuk 32, m/s 11.

Friday, April 25, 2008

KEJAYAAN BUKAN SEKADAR ANGAN-ANGAN


Firman Allah S.W.T

ان الله لا يغير ما بقوم حتي يغيروا ما بأنفسهم

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d : 11)

Sahabat yang dimuliakan Allah S.W.T ,

Berdasarkan ayat Al-Quran di atas jelas menunjukkan bahawa kita selaku Tolibul Ilmi dituntut untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Kejayaan itu tidak akan datang bergolek dihadapan mata sebaliknya kitalah yang perlu mengejarnya. Namun sudah tentulah dalam memperolehi kejayaan tersebut kita akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Inilah asam garam kehidupan sebagaimana firman Allah ٍS.W.T yang bermaksud :

Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya” (Surah Al-Mulk:2)

Kadang kala kita tercari-cari apakah cara yang terbaik untuk memotivasikan diri sendiri bagi mencapai kejayaan? Jawapannya sudah tentulah diri kita sendiri, iaitu kekuatan jiwa (القوة النفسية) dan pemikiran yang positif الفكر الأيجابى)) sebagai pembakar semangat dan perisai maknawi kepada kita apabila berhadapan dengan sebarang bentuk ujian dan cabaran. Maka menjadi kewajipan kepada kita untuk membina dan menggilap kedua-dua kekuatan dalaman tersebut dengan beberapa intipati agar ianya sentiasa segar dan utuh dalam sanubari.

Intipati Pertama : Kesedaran yang sejati الوعي الحقيقي))

Intipati Kedua : Keinginan yang teguh الأرادة القوية))

Intipati Ketiga : Kesungguhan yang jitu الجهد العظيم))

Intipati Keempat : Doa dan Tawakkal الدعاء والتوكل))

Kita haruslah menyedari bahawa kejayaan adalah suatu kebaikan yang dituntut ke atas umat Islam demi kebahagian dunia dan akhirat. Maka kejayaan kita dalam menuntut ilmu adalah kejayaan untuk Islam kerana dapat melepaskan diri kita dari belenggu kejahilan di samping dapat memberi peringatan kepada yang lain. Kejayaan dalam menuntut ilmu juga adalah merupakan hadiah istimewa buat kedua ibu dan bapa kita yang telah banyak berkorban harta dan tenaga. Bukankah seorang anak itu dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapanya? Maka menyedari akan hakikat ini, menjadi suatu kewajipan ke atas Tolibul Ilmi untuk mengambil berat tentang masa agar tidak digunakan pada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Al-Syeikh Ibnu “Atoillah Al-Sakandari menukilkan dalam kitabnya Al-Hikam :

الرجاء ما قارنه العمل والا فهو أمنية

“Suatu pengharapan itu mestilah diiringi dengan usaha, sekiranya tidak ia hanyalah menjadi angan-angan kosong sahaja”

Maka segala perancangan dan usaha mestilah dilakukan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian dan matlamat kejayaan. Kemanisan suatu kejayaan itu hanya akan dapat dirasai selepas melalui kesengsaraan yang hanya bersifat sementara. Oleh yang demikian, ayuh kita mulakan langkah, lipatgandakan usaha, korbankan masa dan tenaga di samping memanjatkan doa dan tawakkal moga diiringan redho dan inayah Rabul Jalil.

واعلم أن النصر مع الصبر ، وأن الفرج مع الكرب ، وأن مع العسر يسرا

SELAMAT MAJU JAYA DALAM IMTIHAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...