Thursday, April 30, 2009

Syarat dan Adab Kunci Kejayaan (2)


Syarat serta adab yang akan disebutkan ini adalah petikan daripada kalam Ibnu 'Ajibah di dalam kitabnya Al-Futuhat Al-Ilahiyah Fi Syarh Al-Mabahith Al-Asliyah. Kitab dalam ilmu Tasawwuf yang sedang saya pelajari dengan guru kami, Al-Syeikh Dr. Muhammad Muhanna (hafizahullahu ta'ala) di anjung Atrak Masjid Al-Azhar. Syarat serta adab yang disebutkan oleh Ibnu 'Ajibah sangat menarik dan menyentuh hati, kalimah yang digunakan sangat halus dan teliti.

Telah berkata murabbi, guru kami Al-Syeikh Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani :
"Kalam auliya' Allah adalah kalam yang mempunyai nur yang Allah ilhamkan ke dalam hati hambaNya yang dikasihi."

Pada dasarnya syarat dan adab yang disebutkan itu adalah bagi seorang al-faqer atau al-sufi (seorang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah S.W.T), namun saya adaptasikan syarat dan adab seorang sufi kepada syarat dan adab seorang tolibul ilmi kerana matlamat kedua-duannya adalah sama iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah (mardhatillah) mengharapkan cahaya hidayah Allah yang dapat menerangi kegelapan hati. Sebagaimana terdapat ungkapan syair arab :

فإذا لم يعنك الله فيما تريده # فليس لمخلوق إليه سبيل
وإن هو لم يرشدك في كل مسلك # ضللت ولو أن السماك دليل

Maksudnya :

Sekiranya Allah tidak memberi inayahNya (bantuan) terhadap apa yang kamu inginkan # Maka tidak akan ada jalan untuk sampai kepada apa yang dihajatinya
Sekiranya Allah tidak memandu kamu pada setiap langkah yang diatur #

Nescaya akan sesat sekalipun kamu jadikan langit sebagai petunjuk

Oleh yang demikian, bagi memperolehi inayah dan irsyad daripada Allah S.W.T tidak dapat tidak bagi seorang penuntut ilmu itu memperlengkapkan dirinya dengan syarat-syarat serta adab-adab ilmu sebagai sebab kelayakan untuk beroleh kejayaan tersebut.

Lapan syarat bagi seorang penuntut ilmu :

1. Niat yang sahih : قصد صحيح

Seorang penuntut ilmu haruslah meletakkan niat yang betul dan sahih iaitu semata-mata kerana Allah taala serta berusaha untuk mewujudkan ruh keikhlasan di dalam amalan sebagaimana kata-kata Al-Syeikh Ibnu 'Atoillah Al-Sakandari dalam kitabnya Al-Hikam :

الأعمال صور قائمة وأرواحها وجود سر الإخلاص فيها

Maksudnya : "Sesuatu amalan itu adalah merupakan gambaran kerangka luar, adapun ruhnya ialah wujudnya rahsia keikhlasan di dalam amalan tersebut."

Oleh itu, seorang penuntut ilmu itu mestilah berusaha untuk mewujudkan rahsia keikhlasan di dalam dirinya, namun apakah tanda seseorang itu ikhlas dalam amalannya? Soalan yang pernah saya ajukan kepada murabbi serta guru tariqat kami (Al-Tariqat Al-Siddiqiyyah Al-Syazuliyah), iaitu Maulana Al-Syeikh Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani (Hafizahullahu Taala) sewaktu bermusafir bersama beliau ke Humaitharah menziarahi maqam Al-Syeikh Abu Hassan Al-Syazuli. Beliau menjawab :

"Tanda seseorang itu ikhlas dalam amalannya ialah sentiasa istiqamah dalam melakukan amalan serta sentiasa merasakan diri serba kekurangan ketika melakukan amalan tersebut."

bersama Maulana Al-Syeikh Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani
dihadapan pintu masuk maqam Abu Hassan Al-Syazuli

2. Keyakinan yang jelas : صدق صريح

Tolibul ilmi hendaklah meyakini bahawa bidang yang diceburinya adalah merupakan sebahagian daripada pilihan dan ketetapan Allah S.W.T yang tidak patut dipersiakan bahkan menyakini akan kelebihan dan ganjaran terhadap penuntut ilmu yang ikhlas sebagaimana hadis S.A.W yang dikeluarkan oleh Imam Al-Tirmizi dalam kitab Jamie'nya daripada Abu Hurairah R.A :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ( مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ )
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ

Maksudnya : "Rasulullah S.A.W telah bersabda : Barangsiapa yang menjejak kakinya ke jalan semata-mata untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan jalan baginya untuk sampai ke syurga."

3. Memiliki Adab yang diredhai : آداب مرضية

Menjadi kewajipan bagi penuntut ilmu untuk menghiasai diri dengan adab yang diredhai oleh Allah dan RasulNya sama ada terhadap ilmu mahu pun terhadap guru, rakan-rakan serta orang lain serta diri sendiri. Telah berkata guru kami Al-Syeikh Dr. Muhammad Muhanna sewaktu mensyarahkan kitab Al-Futuhat Al-Ilahiyah karangan Ibnu 'Ajibah ini :

"Adab merupakan kunci, barangsiapa yang tidak memiliki adab maka tidak dapat untuk memasuki melalui pintu untuk sampai kepada Allah S.W.T"

Kadang kala ramai di kalangan penuntut ilmu tidak mengambil berat tentang persoalan adab seolah-olah ianya adalah perkara kecil. Bukankah baginda nabi Muhammad S.A.W diutuskan bagi menyempurnakan akhlak?

عن أبى هريرة رضى الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ( انما بعثت لاتمم مكارم الاخلاق
أخرجه البيهقي في السنن الكبري
Maksudnya : "Daripada Abi Hurairah R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda : Sesungguhnya aku diutuskan (oleh Allah S.W.T) bagi menyempurnakan akhlak."

4. Memiliki perihal yang baik : أحوال زكية

Di samping itu, seorang penuntut ilmu itu hendaklah menghiasi dirinya dengan perihal yang baik bertepatan dengan syariat Islam agar tidak menzalimi diri sendiri serta orang lain. Maka penuntut ilmu haruslah berusaha untuk memperbaiki perihalnya daripada baik kepada yang lebih baik melalui jalan mujahadah kerana kita tidak terlepas daripada godaan syaitan dan nafsu. Kadang kala Iman kita bertambah dengan perkara ketaatan dan kadang kala akan berkurangan dengan perkara maksiat yang dilakukan.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Tahrim ayat 6 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
Maksudnya : "Wahai orang yang beriman!Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala)..."

Insyallah bersambung akan datang...

Tuesday, April 28, 2009

Syarat dan Adab Kunci Kejayan

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله وكفي والصلاة والسلام علي السول المجتبي وعلي آله وصحبه ومن اهتدي , أما بعد
Alhamdulilah, segala puji bagi Allah S.W.T tuhan yang menciptakan alam sejagat serta segala isinya, yang menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian, yang mengutuskan para anbiya' dan rasul bagi memimpin manusia ke jalan yang benar, yang membangkitkan rasul utusan terakhir-nabi Muhammad S.A.W-sebagai rahmat buat sekalian alam.

Setinggi kesyukuran diucapkan ke hadrat Ilahi kerana menjadikan kita sebagai umat nabi Muhammad S.A.W yang dibekalkan dengan panduan Al-Quran dan As-Sunnah dalam melayari bahtera kehidupan dunia yang singkat tempohnya yang diibaratkan dalam hadis nabi S.A.W antara asar hingga maghrib, atau diisyaratkan kepada kita antara waktu azan hingga solat.

Kelahiran disambut dengan azan
Kematian diiringi solat jenazah
Petanda isyarat singkatnya zaman
Rebut kebajikan saham ibadah

Justeru, Islam menuntut kepada umatnya agar menjadikan kehidupan dunia sebagai jambatan untuk sampai kepada kehidupan akhirat yang kekal abadi. Islam menuntut kepada umat untuk mencapai kejayaan di dunia agar beroleh kebahagiaan di akhirat. Islam mengajar umatnya untuk menjadikan setiap amalan dan pergerakan kita sama ada berjalan, berlari, duduk, makan minum, bekerja untuk mencari nafkah kehidupan serta menuntut ilmu sebagai ibadah. Setiap pergerakan yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T serta dipandu dengan garis panduan Syara' maka dinilaikan sebagai ibadah.

Menuntut ilmu adalah sebahagian daripada ibadah sama ada ilmu agama seperti ilmu tauhid, feqh, akhlaq (Tasawwuf) mahu pun ilmu tajribah seperti sains, matematik, perubatan dan sebagainya kerana matlamat menuntut ilmu adalah untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T. Menuntut ilmu agama adalah bertujuan untuk menghindari diri daripada kejahilan lalu beramal dengan ilmu yang dipelajari serta menyampaikannya kepada yang lain. Menuntut ilmu tajribah adalah bertujuan untuk membangunkan ummah dan Islam dengan ilmu yang dipelajari.

Islam menuntut kepada Tolibul Ilmi agar sentiasa cemerlang. Justeru, apakah kayu ukur serta penilaian kejayaan seorang Tolibul Ilmi? Adakah dengan mendapat keputusan Imtiyaz, Jayyid Jiddan atau Jayyid dalam peperiksaan sudah dianggap berjaya? Peperiksaan hanyalah sebagai wasilah untuk menilai sejauh mana penguasaan terhadap ilmu yang dipelajari. Seandainya seseorang itu hanya belajar untuk peperiksaan maka segala usaha, tenaga dan masa hanya ditumpukan pada musim peperiksaan sahaja. Selepas itu adalah waktu untuk berehat dan bersenang lenang sambil menunggu keputusan peperiksaan. Adakah ini sikap seorang penuntut ilmu untuk mengejar kejayaan dunia semata-mata?

Kejayaan yang hakiki bagi seorang penuntut ilmu ialah apabila ilmu yang dipelajari dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan melihat kebesaranNya. Semakin banyak ilmu yang dipelajari semakin terasa hampir dengan Allah dan Rasul kerana ilmu itu adalah cahaya sebagaimana kata-kata Malik bin Anas R.A :

عَنْ مَالِكِ بْنِ أَنَسٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ:"إِنَّ الْعِلْمَ لَيْسَ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ، إِنَّمَا الْعِلْمُ نُورٌ يَقْذِفُهُ اللَّهُ فِي الْقَلْبِ

Maksudnya : "Sesungguhnya ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat(mampu menghafal dan menukilkan fakta-fakta), sebaliknya ilmu itu adalah cahaya yang Allah campakkan ke dalam hati."

Oleh yang demikian, bagaimanakah cara untuk beroleh kejayaan yang sedemikian? Apakah resepi yang terbaik untuk mendapat cahaya ilahi? Untuk menghasilkan masakan yang enak dan sedap dimakan memerlukan kepada bahan-bahan dan ramuan-ramuan tertentu dengan kadar dan sukatan tertentu kemudian diadun dengan teknik-teknik tertentu oleh seorang tukang masak, maka demikian juga untuk mendapat keenakan dalam menuntut ilmu memerlukan kepada bahan dan ramuan tertentu yang harus dipenuhi dan digaul sebati oleh seorang penuntut ilmu. Ramuan dan bahan tersebut ialah syarat-syarat dan adab-adab ilmu yang perlu dipenuhi oleh seorang penuntut ilmu.

Insyallah bersambung ke siri akan datang...


Monday, April 27, 2009

Draf Cadangan Penyelesaian Isu Saudara Mohd Ridzuan Abdullah Dan Keluarga


Sumber : http://www.pmram.org/


1. PENDAHULUAN

Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah

1. Status agama tiga orang anak beliau iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh

(11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun).

2. Hak penjagaan anak.

3. Status perkahwinan selepas pengislaman.


2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM

2.1 Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.

Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1].

Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى عليه )) رواه البيهقي والدارقطني والروياني .

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].

Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

2.2 Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.

Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.

Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:

a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].

b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy ( الثوري ) .[4]

c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.


3. HAK PENJAGAAN ANAK

3.1 Pendapat Ulamak

Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.

Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.

Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:

حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه[5]

Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut). Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).

Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:

1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)

2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalah tamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].

3.2 Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku

1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.

2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.


4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI

4.1 Pendapat Para Ulama

Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya). Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].

Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].

Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.

4.2 Hak Pemberian Nafkah[11]

  1. Nafkah kepada anak
    1. Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.
  2. Nafkah kepada isteri
    1. Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.

Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Disediakan oleh;

Fellow MANHAL PMRAM 2009

Hasil kajian:

1. Saudara Syed Abdul Qadir Al-Jofree

2. Saudara Abd Rahman Mohd Tharin

3. Saudara Mohd Nazrul Abd Nasir

4. Saudara Hairul Nizam Mat Husain


[1] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.

[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.

[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.

[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.

Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.

Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.

[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah

[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.

[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985

[8] Bada'ie Sana'ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.

[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.

[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.

[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 - 409, jilid 7.

Saturday, April 25, 2009

Tanta dalam kenangan

السلام عليكم ورحمة الله

Sudah lama tidak mengaktifkan diri dalam arena penulisan blog ini. Barangkali kesibukan dengan tugas-tugas persatuan yang bertambah di samping jadual pengajian yang sangat padat serta sedikit sifat malas yang ada membuat diri menyepi dalam penulisan blog ini.

Alhamdulillah...baru-baru ini berkesempatan untuk pergi ke Tanta, bumi yang penuh dengan kenangan dan nostalgia selama empat tahun; tempat menimba ilmu dan pengetahuan daripada doktor-doktor dan masyaeikh Al-Azhar, tempat yang mengajar erti kesatuan, tempat berkhidmat kepada rakan-rakan sepejuangan yang merupakan bakal ulama' dan pelbagai lagi yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Tempat jatuh lagi dikenang,
Inikan pula gedung bertuah,
Tersemat kukuh tak pernah lekang,
Mengenali diri menunai amanah.


Bangunan Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar Tanta.

Sudah lama ingin ke Tanta, namun kesibukan tugas dan masa di samping takdir Allah mengatasi hasrat di hati ini. Kali terakhir menjejakkan kaki ke sana ialah pada bulan April 2008. Dan dengan takdir Allah jugalah sekali lagi dapat menjejakkan kaki ke sana pada hari khamis lepas atas jemputan daripada pihak Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) untuk menyampaikan ceramah motivasi buat mahasiswa/wi sempena musim peperiksaan semakin hampir. Diri ini bukanlah yang terbaik dan bukannya seorang pakar motivasi, namun atas dasar berkongsi pengalaman dan berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran maka sukar untuk menolak jemputan tersebut.

Tempat duduk tetamu serta backdrop di dewan Bait Izzah lama
suatu ketika dahulu tahun 2006


Sebelum program bermula sempat berkunjung ke dewan Bait Izzah lama melihat tempat yang penuh dengan nostalgia dan kenangan ukhuwah, ilmu dan persatuan; tempat berlangsungnya program-proram ilmiah dan ruhiyah. tempat berhimpunnya mahasiswa Malaysia di bumi Tanta sebagai ribat kesatuan. Inilah yang dituntut oleh Islam kerana kesatuan adalah merupakan sunnah terbesar yang Rasulullah S.A.W ajarkan kepada kita. Teringat ruang dapur tempat gotong-royong masak kawah bila berlangsungnya program-program DPMT. Teringat ruang kedai DPMT sewaktu memegang tanggungjawab sebagai Bendahari. Terkenang ruang dewan tempat duduk bersimpuh bersesak mendengar ceramah dan pengajian, serta tempat bermalam bila ada qiamullail.

beratur di depan dapur Bait Izzah lama suatu ketika dahulu
tahun 2006

Semua itu sudah menjadi kenangan, kerana dewan Bait Izzah telah berpindah ke tempat lain yang berdekatannya. Dewan Bait Izzah berwajah baru namun kekal dengan matlamat yang murni sebagai wasilah pemangkin kesatuan mahasiswa Malaysia di bumi Tanta. Dewan yang memiliki ruh kesatuan walaupun jasadnya berbeza. Apalah ada pada jasad sekiranya tidak mempunyai ruh.

Program yang bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 10.30 malam sudah cukup mengubati kerinduan pada bumi Tanta di samping dapat menatap wajah-wajah baru bakal pewaris amanah Rasul S.A.W walaupun tak berkesempatan untuk menziarahi masyaiekh , maqam-maqam auliya' serta tempat-tempat nostalgia di sana. Kesempatan yang ada selepas program hanya digunakan untuk berbual-bual tanya khabar kepada beberapa tantawiyun sambil menjamah makanan yang disediakan sehinggakan tak sedar jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tgh malam dan jam mesir pada musim panas sudah pun bertukar dengan diawalkan sejam.

Berkali-kali Pengerusi DPMT, Ustaz Mohd Faizul Endut mempelawa untuk bermalam di rumahnya (Bait Izzah lama), namun apakan daya perlu pulang terus ke kaherah kerana keesokannya selepas subuh ada pengajian dengan Maulana Syeikh Yusri. Alhamdulillah selamat sampai kembali di kaherah sekitar jam 3.00 pagi waktu lama (4.00 pagi waktu baru).

Jazakumullahu khairan kathira...

Berita mengenai ceramah motivasi :
http://www.edpmt.org/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...