Saturday, May 17, 2008

PENGHARGAAN BUAT MURABBI DAN MU’ALLIM

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran diucapkan kepada Rabbil Jalil atas segala limpahan nikmat yang tidak terhitung nilainya dengan menjadikan kita sebagai hamba kepadaNya-Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa-. Selawat serta salam buat rasul tercinta Nabi Muhammad S.A.W; Murabbi Agung, Mu’allim Terulung yang telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kesesatan kepada cahaya kebenaran serta senantiasa mengajarkan umat manusia hidayah Islam dengan berbekalkan panduan Al-Quran dan Al-Sunnah. Salam jua buat Ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi’en, tabi’ tabi’en, serta sekalian pewaris nabi, syuhada’ dan solihin.

لولا مربي ما عرفت ربي" "

Demikianlah pepatah arab yang bermaksud : “Kalaulah bukan kerana guruku, nescaya aku tidak akan mengenali Tuhanku.” Justeru, jelas menunjukkan peri pentingnya guru serta peranannya dalam mendidik dan mengajar insan agar mengenali hakikat dirinya sebagai seorang hamba lalu berhajat kepada tuan iaitu Pemilik sekalian alam ini kerana segala ilmu adalah datangnya dari Allah S.W.T. Ilmu yang insan perolehi dan pelajari hanyalah secangkir sekiranya hendak dibandingkan dengan keluasan ilmu Allah S.W.T yang meliputi semua perkara. Lalu tidaklah sepatutnya manusia angkuh dan sombong dengan ilmunya. وعياذ بالله من ذلك

Pada kesempatan ini, diri ini ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada sekalian guru-guruku yang telah banyak mengajar dan mendidik daku menjadi seorang insan yang berhajat kepada Tuhan terutama kepada kedua-dua ibu bapaku; Habibah bt Hj Ismail bin Sulaiman dan Juhan bin Jusoh bin Ismail yang telah bersusah payah dan sanggup berkorban apa saja sejak diri ini dalam kandungan sehinggalah kini. Jasamu tak mampu dibalasi dengan kemewahan kerana diri ini tidak memiliki sebarang harta namun daku mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat serta beroleh rahmat dan redha Ilahi.

بي اغفرلي ولوالدي وارحمهما كما ربياني صغيرا"

Seinfiniti penghargaan terima kasih diucapkan kepada kepada guru-guru yang telah mengajar daku sewaktu di pra-sekolah. Demikian juga kepada guru-guru Sekolah Rendah kebangsaan Seri Indra, Kangar, guru-guru serta asatizah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau serta seluruh warga pendidik bumi waqafan tercinta; Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang yang telah mengajar dan mendidik daku ilmu akademik serta pengajian Islam serta merestui dan membantu dalam kembara ilmu merentasi benua ini semata-mata untuk mencari mardhatillah. Insan fakir ini memohon kemaafan seandainya ada salah dan silap yang dilakukan terhadap kalian semua.

Seterusnya kepada guru-guruku di perlembahan Nil ini iaitu pensyarah-pensyarah Kuliah Usuluddin di Universiti Al-Azhar cawangan Tanta terutamanya Prof. Dr Abdullah Yusuf Al-Syazali yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan ilmu sehingga memberi kesan ke dalam lubuk hati ini untuk menuntut ilmu kerana Allah S.W.T. Terima kasih kerana mengajarku secangkir ilmu Tafsir, Tauhid dan Tasawuf. Demikian juga kepada, Prof. Ahmad Muhammad Abdul ‘Al Al-Jughawi (Dekan Kuliah Usuluddin), Dr. Aiman Mahdi (Ketua Jabatan Hadis), Dr. Mustafa Basyuni, Dr. Khalid Syakir, yang telah mengajarku akan hadis-hadis nabi S.A.W dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya sehingga diri ini berjaya memperolehi ijazah sarjana muda seterusnya mendorong daku untuk terus mendalami ilmu ke peringkat sarjana dalam bidang hadis. Syukran jazilan juga diucapkan kepada Syeikh Abu Hassan Muhammad Abu Zaid atas tunjuk ajar dan ilmu sepanjang permukiman di bumi Tanta.


Seterusnya kepada pensyarah-pensyarah peringkat sarjana Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar Kaherah yang masih dan akan terus mengajarku, jazakumullahu khairan jaza’ atas tunjuk ajar dan ilmu yang dicurahkan. Antaranya Prof. Dr. Al-Khusyuie Al-Khusyuie, Prof. Dr Marwan Musa Syahin, Prof. Dr. Muhamamd Muhammad Syarif, Prof. Dr. Ahmad Umar Hashim, Prof. Dr. Sayed Dusuki, Prof. Dr. Redha Zakaria. Syukran jazilan juga kepada masyaiekh-masyaiekh di Masjid Al-Azhar yang merupakan anak murid kepada Dr. Ali Jumaah (Mufti Mesir) antaranya Syeikh Sayed Syaltut, Syeikh ‘Imad ‘Afat, Dr. Jamal Faruq, Dr. Usamah Sayed yang sentiasa ikhlas dalam menyampaikan mutiara ilmu dan khazanah turath Islam kepada penuntut ilmu.

Tidak dilupakan juga kepada para sahabat seperjuangan yang banyak memberi tunjuk ajar dan teguran secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih kerana menjadi guruku dan diri ini dapat banyak belajar dari kalian semua. Mohon maaf seandainya terdapat salah dan silap sepanjang perkenalan kita. Buat akhirnya moga Allah senantiasa merahmati dan memberkati segala usaha-usaha kita semua.

"ربنا اتنا في الدنيا حسنة وفي الأخرة حسنة وقنا عذاب النار"

جزاكم الله خيرا كثيرا

Thursday, May 15, 2008

Sempena Nakbah Palestin: Salahuddin perlu diteladani


Zainudin Hashim
Thu | May 15, 08 | 2:40:22 pm MYT


Negara Palestin sering dikaitkan dengan wilayah-wilayah yang masyhur seperti Baitulmaqdis (Jerusalem), Gaza dan Baitullahm yang merupakan tempat terpenting dan melakar sejarah tersendiri kerana pelbagai peristiwa, kisah, agenda tertentu melandanya.

Apatah lagi wujud Masjid al-Aqsa dalam jajahan Baitulmaqdis yang disebut oleh al-Quran berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum ditukar ke arah Masjidilharam.

Kerana pentingnya Masjid al-Aqsa, maka Panglima Salahuddin al-Ayubi rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk membebaskannya daripada cengkaman dan penaklukan tentera Salib yang diketuai 'Raja Richard the Lion Heart' dari England bersama tentera-tentera Eropah lain seperti Jerman, Belanda, Itali dan Sepanyol.

Walaupun beliau (Salahuddin) bukan daripada keturunan bangsa Arab, isu Masjid al-Aqsa tidak dianggapnya isu bangsa malah isu agama kerana ia adalah kiblat pertama orang Islam.

Beliau telah berjaya menarik minat dan memikat hati banyak pihak khususnya di kalangan bangsa Arab untuk menyertainya dalam satu pakatan tentera Islam mengusir keluar tentera-tentera Salib dari bumipada Anbiya' itu.

Siapakah sebenarnya Salahuddin?

Beliau adalah Salahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub, lahir pada 532 Hijrah/1138 Masihi di Tikrit, Iraq daripada rumpun bangsa Kurdis, meninggal pada tahun 589 Hijrah/1193 Masihi di Damsyik.

Pengasas Daulah Ayyubiah dan bergelar Sultan Salahuddin, seorang pahlwan Islam yang paling gagah berani dalam Perang Salib dan berhasil merebut kembali Baitulmaqdis daripada tangan tentera Salib Kristian.

Persoalannya, mengapakah suatu ketika dahulu 'Salahuddin Al-Ayubi' bersama tentera Islam bermati-matian mempertahankan Baitulmaqdis ketika diserang oleh tentera Salibiah Eropah sedangkan beliau sendiri bukan rakyat Arab Palestin, beliau adalah daripada keturunan Kurdis, satu bangsa yang mendiami utara Iraq yang bersempadan dengan Turki.

Beliau berjaya menumpaskan serangan tersebut, malah berjaya menghalau saki baki tentera Kristian itu daripada bumi Palestin.

Apakah yang mendorong beliau bertindak demikian, dan tidak menyerahkan urusan mempertahan kota Baitulmaqdis itu kepada rakyat Palestin untuk mempertahankan tanah air mereka sendiri?

Sebaliknya Salahuddin ketika pada penghujung hayatnya telah berpesan supaya segala pakaian penuh berdebu yang digunakan semasa berperang, agar dimasukkan di dalam liang kubur dan ditanam bersama jenazahnya dengan tujuan supaya menjadi saksi bahawa beliau telah menghabis segala tenaga dan fikiran untuk mengetuai tentera Islam bagi mempertahankan Baitulmaqdis daripada serangan tentera Kristian Eropah.

Sesungguhnya yang mendorong Salahuddin bertindak demikian adalah kerana kesedaran yang tinggi untuk mempertahan kota suci iaitu kota yang telah menemukan Nabi Muhammad s.a.w. dengan para anbiya' yang lain, khususnya dalam peristiwa Israk Mikraj.

Sebagai seorang Islam beliau berkeyakinan bahawa apabila bumi suci Baitulmaqdis itu diganggu oleh golongan kuffar, adalah menjadi kewajipan kepadanya dan juga umat Islam seluruhnya bangun untuk mempertahankan atau membebaskan bumi tersebut dari cengkaman musuh Allah SWT itu, tidak kira sama ada mereka orang Palestin ataupun bukan.

Empat puluh tahun selepas peristiwa itu, Lord Olenby yang mengetuai pasukan Salibiah berjaya memasuki semula kota Baitulmaqdis, dia pergi ke kubur Salahuddin dan menginjakkan kakinya ke atas kubur Salahuddin sambil berkata: "Sekarang aku datang semula ke sini."

Alangkah baculnya ketua tentera Salibiah itu, dia hanya berani berdepan dengan Salahuddin yang telah mati, dengan mesej bahawa pihak Salibiah sentiasa menyimpan dendam terhadap Islam.

Bagi Salahuddin, beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya mempertahankan kota suci terletaknya Masjid al-Aqsa yang mulia, tempat Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan solat dua rakaat dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Tanggal hitam 15 Mei 1948

Pada tarikh ini, genaplah usia 60 tahun Palestin ditakluk, betapa malunya kita sebagai umat Islam hari dengan kelengkapan serba serbi peralatan persenjataan masih tidak terdaya membebaskan bumi Palestin, malah Masjid al-Aqsa juga dikuasai rejim Yahudi.

Kalau dilihat dari sudut logik akal manusia, negara Israel dilingkungi beberapa negara Arab yang kaya dengan senjata minyak seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Syria, Lubnan, Bahrain, Oman, Yaman dan sebagainya sepatutnya pada 1948, orang-orang Arab berjaya menghalang penubuhan negara haram itu, namun ia tidak berlaku.

Sebabnya, para pemimpin Arab hanya banyak menganjurkan persidangan menjaga kepentingan mereka daripada memikirkan keselamatan rakyat bangsa Palestin yang ditindas, dianiayai, dinafikan hak mereka sepanjang 60 tahun, iaitu satu jangka masa yang begitu lama mengatasi usia Malaysia merdeka (51 tahun).

Imam Syahid Hasan al-Banna pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin pernah mengemukakan pandangannya kepada Perdana Menteri Mesir pada masa itu, Noqrashi Basha agar membantu rakyat Palestin dengan menghantar pasukan tentera ke Palestin bagi menghadapi segala kemungkinan agar kuasa asing tidak bertapak di kawasan yang diduduki bangsa Arab, apatah lagi beragama Islam.

Pandangannya itu bukan mahu membangkitkan isu kebangsaan, malah kebimbangannya terhadap pengaruh bukan Islam akan masuk ke dalam negara-negara yang dihuni oleh orang Arab.

Noqrashi menolak pandangannya itu malah bertindak mengharamkan segala aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin. Imam Hasan tidak berputus asa dan mengerahkan unit pasukan jihad gerakan itu supaya pergi ke Palestin bertujuan untuk membantu rakyat negara itu, walau bagaimanapun tentera-tentera yang dihantar itu ada yang mati syahid dan ada yang sempat pulang semula ke Mesir dengan pelbagai kesusahan yang menanti mereka.

Kejatuhan Palestin di tangan Israel disifatkan oleh Imam Hasan sebagai satu kesilapan dan pengkhianatan besar ke atas rakyat Palestin yang beragama Islam.

Selang tidak berapa lama selepas kejatuhan Palestin, pada 12 Februari 1949, Imam Hasan ditembak mati secara misteri tanpa seorang pun yang tahu kejadian itu hingga ahli keluarganya juga tidak dapat mengesan di manakah jenazahnya di kuburkan hingga hari ini.

1948 dikenali sebagai tahun perang Arab�Israel

Perang Arab-Israel 1948, dikenali juga sebagai Perang Kemerdekaan Israel, adalah merupakan perang yang pertama di dalam satu siri peperangan antara negara Israel dan negara jiran Arabnya dalam konflik Arab-Israel.

Bagi orang Yahudi Israel, peperangan ini menandakan kejayaan penubuhan negara Israel, tetapi bagi orang-orang Arab Palestin, ia menandakan permulaan bagi peristiwa-peristiwa yang dirujuk daripada bahasa Arab sebagai 'Al-Nakba' yang bermaksud 'malapetaka', perkataan yang digunakan untuk menggambarkan pengusiran keluar beratus-ratus ribu penduduk Palestin tempatan dari negara Israel yang baru dibentuk, dan kemudiannya pelarangan pihak Israel kembali ke kampung halaman mereka.

Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan memisahkan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab, satu rancangan yang ditolak oleh masyarakat Arab.

Mandat British terhadap Palestin sepatutnya berakhir pada 15 Mei 1948, tetapi kepemimpinan Yahudi, diketuai oleh bakal Perdana Menteri David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 14 Mei.

Kemerdekaan Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.

Pada akhir Mei 1948, 6000 tentera Syria, 4500 Iraq, 6000 Transjordan, 1000 Lubnan dan 5000 Mesir telah melancarkan serangan terhadap negara Israel yang baru lahir.

Namun, mereka ditewaskan oleh Israel yang berjaya menawan hampir setengah wilayah yang diberikan oleh PBB kepada penduduk Arab serta Baitulmaqdis Barat.

Dalam perjanjian gencatan senjata, Semenanjung Gaza diserahkan kepada Mesir, manakala Tebing Barat diserahkan kepada Jordan, dan tanah mandat British terhadap Palestin dahulu yang lain menjadi Israel.

Tragedi Sabra dan Shatila

Umum di kalangan umat Islam mengetahui, bahawa Yahudi adalah satu bangsa yang paling jahat di dunia, justeru Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam salah satu hadisnya yang bermaksud: Tidak akan boleh dua agama berada dalam satu negara (ia merujuk kepada Semenanjung Tanah Arab iaitu antara Islam dan Yahudi).

Pada zaman pemerintahan Sayidina Omar bin al-Khattab, beliau telah mengusir saki baki etnik Yahudi yang masih tinggal di Madinah, ekoran daripada peristiwa pengusiran itu, maka bangsa Yahudi tidak ada sebuah negara khusus, ada di kalangan mereka yang bertempiaran lari ke Eropah, Asia, Amerika dan benua Afrika yang dikenali sebagai Fallasyah.

Mereka menyimpan rasa dendam kesumat khususnya terhadap bangsa Arab dan agama Islam, justeru mereka akan perlakukan apa sahaja terhadap orang Arab tidak kira orang-orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak walaupun ia dianggap melanggar hak asasi manusia, sehingga hari ini kekejaman mereka tidak diseret ke mahkamah antarabangsa.

Penyembelihan Sabra (Shatila/Chatila) berlaku pada September 1982, di Beirut, Lubnan, dalam kawasan di bawah kawalan Israel, oleh Nasrani Lubnan sebagai bukti kekejaman mengatasi undang-undang.

Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyifatkannya sebagai 'penghapusan kaum (genocide)' - satu istilah yang mempunyai kesan perhakiman antarabangsa. Kebanyakan perdebatan bertumpu kepada tanggungjawab Israel.

Tuduhan terhadap Israel

Berita penyembelihan tersebut tersebar melalui media seluruh dunia. Berikutan kontroversi itu, pihak Israel membentuk Suruhanjaya Penyiasatan yang diketuai oleh bekas Hakim Agung Kahan.

Laporan tersebut termasuk bukti daripada kakitangan tentera Israel, termasuk juga tokoh politik, dan pegawai Phalange.

Dalam laporan ini, diterbitkan pada musim bunga 1983, Suruhanjaya menyatakan bahawa tidak terdapat bukti unit Israel terbabit dalam penyembelihan secara langsung, tetapi ia adalah sepenuhnya dilakukan oleh Elie Hobeika dan orang-orangnya.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Kahan merakamkan bahawa kakitangan tentera Israel telah menyedari mengenai penyembelihan yang berlaku beberapa kali tanpa melakukan sebarang tindakan serius untuk menghentikannya, dan juga laporan mengenai penyembelihan sedang berlaku dilaporkan kepada menteri Kabinet Israel.

Ia mencadangkan bahawa Menteri Pertahanan Israel pada waktu itu, Ariel Sharon berhenti atau dipecat dan juga mengutuk serta mencela beberapa pegawai perisikan dan tentera.

Yang lain tidak bersetuju dengan laporan tersebut.

Pembunuhan beramai-ramai itu bukan merupakan tindakan membalas dendam terhadap pembunuhan Bachir Gemayel yang dilakukan secara spontan tetapi merupakan satu operasi yang telah dirancang terlebih dahulu bertujuan memberi kesan terhadap perpindahan beramai-ramai rakyat Palestin daripada Beirut serta bahagian-bahagian lain di Lubnan.

Penglibatan Israel dalam pembunuhan terhadap rakyat Palestin telah mewujudkan satu corak perjuangan politik yang mengusutkan melalui tindakan keganasan massa terhadap orang awam, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua.

Terbentuk Hamas bagi pembebasan al-Aqsa

Hamas adalah singkatan Harakat al-Muqawama al-Islamiyya, Gerakan Penentang Islam merupakan satu pertubuhan Islam Palestin yang ketika ini (sejak pilihan raya Januari 2006) parti berkuasa Pihak Berkuasa Palestin. Berikutan pilihan raya itu, pemimpinnya, Ismail Haniyeh telah dilantik menjadi Perdana Menteri Palestin.

Namun, pada 14 Jun 2007, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah membubarkan parlimen dan memecat kerajaan Palestin bersatu yang diketuai oleh Hamas akibat pertempuran antara Hamas dan Fatah di Gaza. Abbas telah melantik Salam Fayyad sebagai pengganti Ismail Haniyeh.

Hamas diasaskan oleh Syeikh Ahmed Yassin dari bahagian Gaza al-Ikhwanul al-Muslimun.

Sejak penubuhannya, Hamas telah melancarkan serangan terhadap penduduk Israel, negara yang menakluki wilayah Palestin.

Piagam Hamas menyeru supaya negara Israel dimusnahkan dan digantikan dengan sebuah negara Islam. Hamas sering menunjukkan sentimen anti-Israel dan berjuang untuk mengusir pihak Israel keluar dari Palestin melalui Jihad.

Dalam pilihan raya umum 2006, Hamas berjaya memenangi jumlah kerusi yang terbanyak dalam parlimen dan telah membentuk kerajaan baru.

Hal ini membuktikan populariti Hamas berbanding dengan Fatah yang dianggap tidak berkesan dan tidak berakhlak oleh penduduk Palestin. Hamas juga melaksanakan beberapa program kebajikan di wilayah Palestin, termasuk menabung sekolah, rumah yatim piatu dan klinik kesihatan.

Pertempuran antara kumpulan militan Fatah dan Hamas sejak pilihan raya Januari 2006 telah banyak berlaku, dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur dan kegawatan ekonomi.

Hamas dianggap sebagai pihak pengganas oleh Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Australia, Israel, Jepun dan Kesatuan Eropah.

Selepas kemenangan Hamas dalam pilihan raya 2006, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah menyekat bantuan ekonomi kepada Palestin, demi memulaukan Hamas. Pada 8 Februari 2007, Hamas telah bersetuju mangagihkan kuasa antara pihak Hamas dan Fatah dengan harapan menghentikan sekatan itu.

Namun, Israel dan Amerika Syarikat masih tidak berpuas hati dengan penglibatan Hamas dalam kerajaan.

Pertempuran antara Hamas dan Fatah diteruskan sehingga Jun 2007, apabila Mahmoud Abbas membubarkan parlimen untuk melantik kerajaannya sendiri. Tindakan ini ditentang habis-habisan oleh Hamas.

Pada hari yang sama itu, militan Hamas berjaya menguasai seluruh Jalur Gaza dan menghancurkan pengaruh dan kuasa Fatah di kawasan tersebut.

Syeikh Ahmad Yasin, Dr Abdul Aziz Rantisi dibom hingga mati

Bagi mengurangkan pengaruh jihad di kalangan rakyat Palestin, maka rejim Yahudi telah mengupah tali barutnya di kalangan rakyat dan bangsa Arab Palestin sendiri supaya memantau kegiatan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad Yasin, bukan sahaja pengasas Hamas, malah beliau dianggap sebagai pemimpin kerohanian yang membangkitkan semangat jihad menghadapi golongan Yahudi.

Risikan demi risikan melibatkan jangka waktu tertentu, hingga pada tarikh 20 Mac 2004, setelah selesai solat Subuh, Syeikh Ahmad keluar dari masjid dan satu serangan peluru berpandu dilancarkan dari bumi Israel menepati tubuh badan al-marhum Syeikh Ahmad yang menyebabkan beliau syahid di situ juga.

Pada 17 April 2004, giliran pemimpin Hamas, Dr Abdul Aziz Rantisi pula menemui syahid, apabila beliau dibedil oleh serangan helikopter yang menyebabkan beliau mati syahid, kepimpinan Hamas diterajui oleh Khaled Masy'al yang berada dalam buangan di Damsyiq, Syria hingga ke hari ini.

Nakbah 60 tahun Palestin perlu sambut perjuangan ulama

Sejarah Palestin telah mencatatkan beberapa individu di kalangan pahlawan dan ulama Islam yang tidak kurang penting untuk disambut sebagai membangkitkan cetusan jihad menentang musuh Allah yang tidak akan berkesudahan hingga berlakunya kiamat.

Nama-nama seperti Sultan Salahuddin al-Ayubi, Imam Syahid Hasan al-Banna, Syeikah Ahmad Yasin, Dr Abdul Aziz Rantisi perlu diajarkan kepada para remaja bagi mengembalikan kemuliaan Islam di dalam negara masing-masing bagi mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna. - lanh

Sumber:

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=14483&Itemid=28

Wednesday, May 14, 2008

AL-IMAM AL-BUKHARI : Siri 1

AMIRUL MUKMININ DALAM HADIS[1]


Disusun oleh : Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabbih; Ibnu Juhan Al-Tantawi


1. Nasab dan Kelahirannya :

Beliau dikenali sebagai Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Ju’fi.

Al-Mughirah telah masuk Islam ditangan Al-Yaman Al-Ju’fi yang merupakan pemimpin di Bukhara. Sebelum ini Al-Mughirah adalah beragama majusi. Ayah Imam Al-Bukhari juga terkenal dalam menuntut ilmu.

Berkata Imam Al-Bukhari : “Ayahku telah mendengar (belajar) daripada Malik bin Anas dan sempat melihat Hamaad bin Zaid dan Sofih bin Al-Mubarak secara berhadapan” [2]

Al-Bukhari adalah nisbah kepada Bukhara.[3] Ramai di kalangan ulama’ yang mahir dalam pelbagai bidang berasal dari Bukhara. Terdapat beberapa penulis yang menulis tentang sejarahnya antaranya Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Sulaiman Al-Ghanjar juga merupakan seorang Al-Hafiz[4] di sana.

Al-Ju’fi pula dinisbahkan kepada nasabnya kerana moyangnya (Al-Mughirah) telah masuk Islam di tangan Al-Yaman Al-Ju’fi, lalu dinisbahkan kepadanya kerana Al-Yaman Al-Ju’fi adalah merupakan walinya.

Imam Al-Bukhari dilahirkan pada hari Jumaat iaitu selepas solat Jumaat pada 13 Syawal tahun 194 hijrah. Beliau pernah hilang penglihatannya sewaktu kanak-kanak. Ibunya pernah bermimpi melihat nabi Ibrahim A.S yang berkata kepadanya : “Sesungguh Allah telah mengembalikan penglihatan anak kamu disebabkan banyaknya tangisan dan doa kamu.” [5]

2. Menuntut Ilmu :

Beliau mula menuntut ilmu sejak kecil lagi dengan menghafal hadis dan telah habis menghafal Al-Quran ketika usianya tidak sampai 10 tahun. Ketika beliau berusia 16 tahun, beliau telah menegur beberapa kesilapan yang ada pada ulama’ hadis di tempatnya. Beliau juga telah menghafal kitab Ibnu Al-Mubarak dan Waqi’ dan mengetahui feqh Ashab Al-Ra’yi (mazhab Hanafi). Kemudiannya beliau telah keluar bersama-sama dengan ibunya serta saudaranya Ahmad menuju ke Mekah. Setelah selesai mengerjakan haji, saudaranya dan ibunya telah kembali ke Bukhara manakala beliau tinggal di Mekah untuk mempelajari hadis.

3. Antara syeikhnya :

Imam Al-Bukhari banyak berguru dengan para ulama’. Antara gurunya berdasarkan tempat ialah :

1. Bukhara : beliau berguru dengan Abdullah bin Muhammad bin Abdullah bin Ja’far bin Al-Yaman Al-Ju’fi Al-Musnadi, Muhammad bin Salam Al-Bikandi dan ramai lagi.

2. Balkh : Makki bin Ibrahim

3. Marwa : ‘Abdan bin Uthman, ‘Ali bin Al-Husain, Sadaqah bin Al-Fadhl.

4. Raiy : Ibrahim bin Musa

5. Naisabur : Yahya bin Yahya

6. Baghdad : Muhammad bin Isa Al-Tiba’, Suraij bin Nu’man, ‘Affan, Muhammad bin Sabiq.

7. Basrah : Abi ‘Asim Al-Nabil, Al-Ansari, Muhammad bin ‘Ar‘arah.

8. Makkah : Abu Abdul Rahman Al-Maqri, Khalad bin Yahya, Al-Humaidi.

9. Madinah : Abdul Aziz Al-Ausi, Ayub bin Sulaiman bin Bilal, Ismail bin Abi Uwais.

10. Mesir : Saied bin Abi Maryam, Ahmad bin Ishkab, Abdul Aziz bin Yusof.

11. Syam : Abul Yaman, Muhammad bin Yusof Al-Farabri.

Beliau pernah berkata : “Aku telah menulis hadis daripada seribu lapan puluh orang guru yang kesemuanya ialah ahli dalam bidang hadis dan mereka yang berpegang kepada prinsip iman adalah perkataan dan perbuatan serta iman boleh bertambah dan berkurang.” [6]

4. Anak muridnya :

Antaranya ; Abu ‘Isa Al-Tirmidzi, Abu Hatim, Ibrahim bin Ishak Al-Harbi, Abu Bakr bin Abi Dunya, Abu Bakr Ahmad bin ‘Amru bin Abi ‘Asim, Soleh bin Muhammad Jazrah, Muhammad bin Abdillah Al-Khudori, Ibrahim bin Ma’qal Al-Nasafi, Abdullah bin Najiyah, Abu Bakr Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah, ‘Amru bin Muhammad bin Bujair, Abu Kuraib Muhammad bin Jum’ah, Yahya bin Muhammad bin Shoied, Muhammad bin Yusof Al-Farabri (perawi kitab Sahih Al-Bukhari), Abu Bakr bin Abi Daud, Abdullah bin Muhammad Al-Ashqar, Muhammad bin Sulaiman bin Faris, Muhammad bin ‘Anbar Al-Nasafi dan ramai lagi.

Imam Al-Muslim turut meriwayatkan daripada Imam Al-Bukhari hadis-hadis selain yang terdapat dalam kitab sahihnya.[7]

5. Kedudukannya dari segi keilmuan :

Imam Al-Bukhari terkenal pada zamannya dari segi hafalan, keilmuan dan kepintaran. Telah berlaku banyak peristiwa yang menunjukkan kepada kehebatan hafalannya. Antaranya yang masyhur ialah ujian hafalan yang dikenakan ke atas beliau ketika memasuki Baghdad.

Berkata Abu Ahmad bin ‘Adi Al-Hafiz : “Aku telah mendengar daripada beberapa orang masyaiekh Baghdad mengatakan tentang Muhammad bin Ismail Al-Bukhari telah datang ke Baghdad. Berita ini telah didengari oleh ulama’ hadis lalu mereka berkumpul dan mahu mengenakan ujian ke atas hafalannya. Mereka sengaja membuat pertukaran antara matan dan sanad bagi 100 hadis iaitu dengan menjadikan matan sesuatu sanad hadis ditukar lalu disandarkan kepada sanad hadis yang lain serta menjadikan sanad sesuatu matan ditukar kepada matan hadis yang lain. Mereka menyediakan seramai 10 orang pemuda dengan setiap seorang memiliki 10 buah hadis dan diminta untuk mengajukannya kepada Al-Bukhari. Lalu mereka telah menetapkan waktu untuk majlis ujian tersebut, maka ramai orang di kalangan penduduk Baghdad dan Khurasan telah hadir untuk menyaksikan majlis tersebut.” [8]

Ringkasnya Imam Al-Bukhari telah membetulkan kesemua hadis-hadis yang sengaja ditukar-tukar dengan mengembalikan sanad-sanad hadis kepada matannya yang asal dan juga mengembalikan matan-matan hadis kepada sanadnya yang asal tanpa tertinggal sedikitpun. Justeru, para ulama’ telah mengakui akan kehebatan hafalannya dan memberi pengiktirafan kepada beliau.

Beliau pernah berkata : “Aku telah menghafal sebanyak seratus ribu hadis sahih dan turut menghafal dua ratus ribu hadis yang tidak sahih.” [9]


[1] Gelaran bagi martabat ulama’ hadis yang paling tinggi dari segi riwayah dan dirayah. Menjadikan mereka seorang Imam yang diikuti dan tempat rujukan dalam ilmu hadis. Terlalu sedikit dikalangan mereka yang mampu sampai ke martabat ini antaranya ; Imam Al-Zuhri, Syukbah bin Al-Hajjaj, Sufian Al-Thauri, Imam Malik, Ishak bin Rahuyah, Imam Al-Bukhari, Al-Daruqutni, Al-Hafiz Ibnu Hajar-Lihat Mausu’ah ‘Ulum Al-Hadis, m/s 161-163 dan Ghayah Al-Idhah Fi ‘Ulum Al-Istilah, Dr. Al-Khusyu’ie Al-Khusyu’ie Muhammad, m/s 36.

[2] Lihat Sair Al-A’lam Al-Nubala’, Imam Al-Dzahabi, jilid 12, m/s 392.

[3] Sebuah tempat yang dahulunya merupakan sebahagian daripada empayar Parsi dan kini terletak di negara Uzbekistan.

[4] Berkata Al-Hafiz Al-Mizzi : “Al-Hafiz ialah gelaran bagi ulama hadis yang mengetahui sejumlah rijal-rijal hadis (perawi-perawi hadis) beserta latar belakang mereka, perihal mereka (sama ada thiqah atau dhaif) serta tempat asal-usul mereka pada setiap tabaqat (peringkat ; sahabat, tabien dan tabi’ tabien) bagi mengetahui hukum ke atas silsilah sanad. Ini adalah serendah-rendah martabat Al-Hafiz.”- Lihat Ghayah Al-Idhah Fi ‘Ulum Al-Istilah, m/s 35.

[5]Lihat Sair Al-A’lam Al-Nubala’, jilid 13, m/s 393.

[6] Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutnya dalam kitab Hadyu Al-Sari Muqadimah Fath Al-Bari m/s 745.

[7] Lihat Manhaj Al-Imam Al-Bukhari fi Tashih wa Ta’liliha, Abu Bakr Kafi, m/s 46.

[8] Lihat Hadyu Al-Sari Muqaddimah Fath Al-Bari m/s 755.

[9] Lihat Ilmu Al-Jarh Wal Ta’dil, Dr. Abdul Muhdi Abdul Qadir, m/s 220.

Tuesday, May 6, 2008

SESUATU AMALAN ADALAH BERDASARKAN NIAT : SIRI 1

Memahami hadis-hadis Nabi S.A.W

melalui kitab Fath Al-Bari ; Syarah Sahih Al-Bukhari


قال الأمام البخارى رحمه الله :


حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ قَالَ : حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ : حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيُّ قَالَ : أَخْبَرَنِي مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ أَنَّهُ سَمِعَ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ يَقُولُ : سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : ( إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ )

Maksud hadis :

Berkata Imam Al-Bukhari; bahawa Al-Humaidi iaitu Abdullah bin Al-Zubair telah berkata kepada kami; bahawa Sufian telah berkata kepada kami; bahawa Yahya bin Saied telah berkata; bahawa Muhammad bin Ibrahim Al-Taimi telah berkata kepadaku; bahawa beliau telah mendengar ‘Alqamah bin Waqqas Al-Laithi berkata; bahawa aku telah mendengar ketika Umar bin Al-Khatab di atas mimbar telah berkata; aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda : (Sesungguhnya sesuatu perkerjaan itu mestilah dimulakan dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap seseorang itu apa yang diniatkan. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya atau kerana wanita yang ingin dikahwini, maka hijrahnya itu hanyalah untuk apa yang diingininya sahaja)

Takhrij hadis [1] :

  1. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam Sahihnya, pada Kitab (1) Permulaan Wahyu (بدء الوحي), Bab-1; bagaimana permulaan wahyu kepada Rasulullah s.a.w, pada hadis yang pertama. Hadis ini juga terdapat di 5 tempat yang lain di dalam Sahihnya iaitu hadis yang ke-54, 2529, 3898, 5070, 6689, 6953.
  2. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim (hadis no. 1907), Abu Daud (no. 2201), Al-Tirmidzi (no. 1646), Al-Nasaie, Ibnu Majah (no. 4227), Imam Ahmad, Aldaru Qutni, Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi.

Penelitian pada sanad hadis :

  • (Al-Humaidi) beliau ialah Abu Bakr Abdullah bin Al-Zubair bin ‘Isa. Al-Humaidi adalah dinisbahkan kepada Humaid bin Usamah iaitu satu puak daripada bani Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qusai. Nasab Abdullah bin Al-Zubair bertemu dengan nasab isteri nabi s.a.w; Khadijah pada Asad dan bertemu nasab dengan nabi pada Qusai.

Beliau (Abdullah bin Al-Zubair) merupakan seorang Imam yang hebat, teman kepada Imam Al-Syafie dalam menuntut ilmu daripada guru meraka iaitu Sufian bin ‘Uyainah. Beliau mempelajari fiqh daripada Imam Al-Syafie dan musafir bersama-samanya menuju ke Mesir. Beliau kemudiannya kembali ke Mekah setelah kewafatan Imam Al-Syafie lalu menetap di Mekah sehinggalah menemui ajalnya pada tahun 225 H.

Oleh yang demikian, seolah-olah Imam Al-Bukhari mahu mengikuti sabda nabi s.a.w : قدموا قريشا ) (yang bermaksud; “hendaklah kamu mendahulukan orang Quraisy”[2]. Maka sebab itulah Imam Al-Bukhari memulakan kitabnya dengan riwayat Al-Humaidi kerana beliau adalah antara orang Quraisy yang paling faqih. Selain itu, terdapat sebab lain iaitu Imam Bukhari juga merupakan seorang Makki sama seperti gurunya Al-Humaidi. Justeru beliau mahu memulakan kitabnya dengan meletakkan terjemah pada Bab yang pertama; permulaan wahyu kerana penurunan wahyu adalah bermula di Mekah. Kemudian meletakkan hadis pada bab yang kedua dengan riwayat Imam Malik kerana beliau adalah Syeikh bagi penduduk Madinah di samping Madinah adalah tempat kedua selepas daripada Mekah dari segi penurunan wahyu dan kemuliaan. Imam Malik bin Anas dan Sufian bin ‘Uyainah merupakan teman. Imam Al-Syafie telah berkata ; “Seandainya bukan kerana jasa mereka berdua nescaya akan hilangnya ilmu daripada bumi Hijaz”

  • (Sufian) Beliau ialah anak kepada ‘Uyainah bin Abi ‘Imran Al-Hilali, kuniyah beliau ialah Abu Muhammad Al-Makki. Beliau berasal dan dilahirkan di Al-Kufah. Beliau dan Imam Malik banyak berguru dengan guru-guru yang sama. Beliau ada menyebutkan bahawa pernah berguru dengan para tabien seramai 20 orang. Selepas kewafatan Imam Malik, beliau hidup selama 20 tahun.

  • (Yahya bin Saied) Nama datuknya Qais bin ‘Amru seorang daripada sahabat nabi s.a.w. Yahya adalah tergolong dalam martabat Sighar al-Tabien.

  • (Muhammad bin Ibrahim Al-Taimi) anak kepada Al-Harith bin Khalid Al-Taimi. Beliau tergolong dalam martabat Awsat Al-Tabien.

  • (‘Alqamah bin Waqqas Al-Laithi) adalah tergolong dalam martabat Kibar Al-Tabien. Justeru, di dalam rantaian sanad ini terdapat 3 orang perawi di kalangan para Tabien.

Di dalam rantaian sanad ini, terkumpul padanya bentuk-bentuk pelbagai dalam pengriwayatan hadis oleh ulama’ hadis iaitu lafaz Al-Tahdis[3], Al-Ikhbar[4], dan Al-Sama’ [5].




[1] Dari segi istilah : Menyandarkan hadis kepada siapa yang telah meriwayatkannya dari kalangan Imam-Imam Hadis seperti Imam Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi, dll; iaitu dengan mengembalikan hadis-hadis tersebut kepada sumber-sumber pembukuannya yang asal (kutub Al-Sunnah) serta menerangkan darjat serta hukum hadis tersebut. –rujuk Mausu’ah Ulum Al-Hadis, m/s 219.

[2] Diriwayatkan oleh Imam Al-Syafie dalam musnadnya dan Al-Baihaqi dalam kitabnya Syu’ab Al-Iman dan Ma’rifah Al-Sunan wal Athar.

[3] Menggunakan lafaz حدثنا atau حدثني

[4] Menggunakan lafaz أخبرنا atau أخبرني

[5] Menggunakan lafaz سمعت

Friday, May 2, 2008

KEFAHAMAN BERHIJAB DALAM ISLAM

Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nur, ayat 30 dan 31 :


Pengertiannya :

“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan. (30)

Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.(31)”

Terdapat hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Daripada Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda : “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah”.

PENGERTIAN ISTILAH

  1. Al-Khimar

· Sesuatu yang dipakai oleh wanita bagi menutup kepala sebagaimana dalam firman allah dalam surah Al-Nur ayat 31:


  1. Al-Niqab

· Sesuatu yang dipakai oleh wanita untuk menutup wajahnya dan dinamakan juga sebagai al-Burqa’ atau al-Nashif.

· Ianya sudah diketahui sejak zaman yahudi dahulu lagi sebagaimana terdapat di dalam safar Takwin (Ishah:24)

  1. Al-Hijab

· Dari segi bahasa bermaksud penutup atau pelindung sebagaimana di dalam firman Allah dalam surahAl-Ahzab ayat 53:


· Dari segi Syara’ bermaksud; apa-apa yang dapat menghalang berlakunya fitnah di antara lelaki dan perempuan. Ianya terlaksana dengan menutup ‘aurat, menunduk pandangan serta menegah daripada berkhalwat, melembut-lembutkan perkataan dan bersentuhan.

Oleh itu, al-Hijab itu adalah lebih umum daripada al-Khimar dan al-Niqab manakala al-Khimar dan al-Niqab dapat merealisasikan hikmah tuntutan syara’ bagi mengelakkan berlakunya fitnah antara lelaki dan wanita.[1]

PENDAHULUAN

Perbahasan mengenai hukum memakai niqab bagi wanita adalah termasuk dalam perbahasan yang diperselisihkan oleh ulama’ sama ada hukumnya mubah (dibolehkan) mendedahkan muka ataupun wajib untuk menutupnya demikian juga hukum kedua belah tapak tangan. Para ulama dari kalangan fuqaha’, mufassirin dan muhaddithin telah berselisih pendapat sejak dahulu lagi dan masih berterusan sehinggalah ke hari ini.

Sebab berlakunya perselisihan ini adalah kembali kepada pegangan mereka yang disandarkan kepada dalil yang berkaitan dalam hal ini serta sejauh mana kefahaman mereka terhadap dalil tersebut. Hal ini kerana tidak terdapat pun nas yang qat’ie untuk menguatkannya sebagai dalil dalam permasalahan ini.

Para ulama’ telah berselisih pandangan dalam mentafsirkan ayat 31 dalam surah al-Nur .

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a, bahawa beliau berkata : "( الا ما ظهر منها ) bermaksud ; pakaian dan jilbab atau dengan kata lain pakaian luar yang tidak mungkin dapat disembunyikan."

Manakala diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a bahawa beliau mentafsirkannya dengan celak atau cincin. Dan kadangkala menggambarkan perhiasan zahir itu ialah tempatnya iaitu muka dan tapak tangan.

Begitu juga yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik dan ‘Aisyah r.a.

PANDANGAN PARA ULAMA

Dr. Yusof Al-Qardhawi adalah termasuk daripada kalangan ulama’ yang mentarjihkan pendapat bahawa muka dan kedua belah tapak tangan adalah bukan aurat bagi wanita dan adalah tidak menjadi satu kewajipan bagi seseorang muslimah itu menutupnya. Dan beliau berpandangan dalil-dalil bagi pendapat ini adalah lebih kuat berbanding dengan yang lain. [2]

Dan ramai lagi dikalangan ulama’ yang sependapat dengan Dr. Yusof Al-Qardhawi antaranya Syeikh Nasiruddin Al-Albani di dalam tulisannya “Hijab bagi wanita Muslimah berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah”, jumhur ulama’ Al-Azhar di Mesir, para ulama Al-Zaituniah di Tunis, para ulama’ Al-Qurawiyyin di Maghribi, dan kebanyakan ulama’ Pakistan, India, Turki dan lain-lain.

Justeru terdapat juga di kalangan ulama di Mesir yang menolak pendapat ini, dengan berpandangan wajib bagi muslimah itu menutup mukanya. Antara ulama yang menyokong pandangan ini adalah ulama Al-Saudiyyah seperti Syeikh Abdul Azizi bin Baaz dan beberapa ulama dari negara-negara Teluk, sebahagian ulama Pakistan dan India seperti Ustaz Abul A’la Al-Maududi di dalam kitabnya “Al-Hijab”, dan ulama dari Syria iaitu Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi di dalam risalahnya “Kepada Setiap Wanita Hendaklah Kamu Beriman Kepada Allah”

Oleh itu, ulama’ hanya berselisih pandangan terhadap hukum memakai niqab sama ada wajib, istishab (sunat), atau mubah. Adapun pendapat yang dipilih oleh Dr. Yusof al-Qardhawi ialah mubah kerana ia adalah hak bagi seseorang muslimah itu untuk memakainya. Dan tidaklah pula harus seseorang itu menghalangnya untuk memakai niqab kerana ia adalah hak peribadinya.[3]

PANDANGAN JUMHUR FUQAHA

Jumhur fuqaha berpandangan; Tidak wajib bagi seseorang muslimah itu memakai niqab dan harus (dibolehkan) baginya mendedahkan muka dan tapak tangannya dihadapan lelaki ajnabi yang bukan mahramnya. Ini adalah pandangan jumhur fuqaha sejak zaman sahabat lagi.[4]

Imam Al-Nawawi menyebut di dalam kitabnya (Al-Majmu’) dalam menjelaskan mazhab ulama dalam masalah aurat; “Sesungguhnya aurat bagi perempuan yang merdeka adalah seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangannya. Ini adalah pandangan Imam Al-Syafie, Malik, Abu Hanifah, Al-Auzaie, Abu Tsaur, dan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal.”[5]

Al-Hafiz Al-Sayuti juga ada menyebut di dalam kitab tafsirnya (Al-Durrul Manthur Fi Al-Tafsir bil Ma’thur) tentang sejumlah pandangan para sahabat dan tabien yang mentafsirkan ayat 31 surah Al-Nur itu; dengan mengecualikan muka dan tapak tangan. Antaranya riwayat daripada Anas bin Malik, Ibnu Abbas, Aisyah, ‘Ikrimah, Said bin Jubair,’Atho, dan Qatadah.

Berkata Dr. Yusof Al-Qardhawi;

“Pandangan saya terhadap tafsiran Ibnu Abbas dan tafsiran yang sepakat dengannya adalah merupakan tafsiran yang rajih kerana terdapatnya pengecualian di dalam ayat : ( الا ما ظهر منها ) Selepas daripada larangan mempamerkan perhiasan yang menunjukkan kepada jenis rukhsah serta kemudahan yang diberikan syara'. Oleh itu Imam Al-Tobari, Al-Qurtubi, Al-Razi, Al-Baidowi dan selainnya mentarjihkan pandangan jumhur.

Imam Al-Qurtubi mentarjihkannya dengan mengatakan bahawa adalah menjadi kebiasaan menzahirkan muka dan tapak tangan dari segi adat dan ibadat sebagaimana di dalam solat dan haji. Maka adalah tepat pengecualian tadi dikembalikan kepada muka dan tapak tangan.[6]

KESIMPULAN

Dr. Yusof Al-Qardhawi turut menambah pandangannya dengan mengatakan beberapa peringatan:

  1. Keharusan mendedahkan muka bagi muslimah tidaklah bermakna mengharuskannya berlampauan dalam bersolek. Dan keharusan mendedahkan kedua tapak tangannya tidaklah bermakna mengharuskannya memanjangkan kukunya dan mewarnakannya. Adapun yang diharuskan adalah perhiasan yang ringan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan selainnya iaitu celak di mata dan cincin di jari.

  1. Adapun pandangan yang tidak mewajibkan niqab tidaklah bermakna tidak mengharuskannya. Sekiranya seseorang muslimah itu hendak memakai niqab maka tidaklah mengapa bahkan disunatkan keatasnya sebagaimana mengikut pandangan orang yang cenderung untuk ihtiyath(berhati-hati) kerana kecantikannya dan takut akan mendatangkan fitnah. Bahkan ada ulama yang mewajibkannya.

  1. Sesungguhnya tidaklah menjadi kelaziman; apabila hukum harus mendedahkan muka mengharuskan sesorang lelaki ajnabi itu untuk melihat kepadanya. Sebahagian ulama ada yang mengharuskan untuk mendedahkannya dan tidak mengharuskan untuk melihatnya melainkan pandangan yang pertama. Dan ada juga ulama yang mengharuskan melihat apa-apa yang harus didedahkan tetapi tanpa syahwat. Sekiranya berlaku dengan syahwat maka hukum melihatnya adalah haram. [7]

Rujukan :

  1. Al-Quran Al-Karim
  2. Al-Mu’jam Al-Arabi Al-Asasi,
  3. Qamus Al-Tullab, Husain Unang, Dar Al-Fikr, Kuala Lumpur 1994.
  4. Tafsir Al-Jamie li Ahkam Al-Quran, Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad Al-Ansari Al-Qurtubi, Dar Al-Hadis, Kaherah, 1994.
  5. Fatawa Mu’asirah, Dr Yusof Al-Qaradawi, Dar Al-Qalam, Kaherah, 2001 M/1421 H
  6. Al-Majmu’ Syarah Muhadzab, Imam Al-Nawawi
  7. Ahsan Al-Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam, Syeikh ‘Atiyah Saqar




[1] Rujuk Ahsan Al-Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam, Syeikh ‘Atiyyah Saqar, jil 1, ms 491

[2] Rujuk Fatawa Mu’asarah, Dr Yusof Al-Qardhawi, jil 2, ms 309

[3] Rujuk Fatawa Mu’asarah, Dr Yusof Al-Qardhawi, jil 2, ms 311.

[4] Rujuk Fatawa Mu’asarah, Dr Yusof Al-Qardhawi, jil 2, ms 313.

[5] Rujuk Al-Majmu’, Imam Al-Nawawi, 3/169.

[6] Rujuk Fatawa Mu’asarah, Dr Yusof Al-Qardhawi, jil 2, ms 319.

[7] Rujuk Fatawa Mu’asarah, Dr Yusof Al-Qardhawi, jil 2, ms 336.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...