Saturday, July 19, 2008

Raja Abdullah gesa penganut elak ekstrim

DAPAT SANJUNGAN: Perdana Menteri Sepanyol
Jose Luis Rodriguez Zapatero memberi tepukan kepada
Raja Abdullah selepas ucapannya di Madrid, kelmarin.

Dialog bagi selesaikan pelbagai perbezaan pandangan

MADRID: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah semalam menggesa pengikut agama utama dunia menjauhi sikap ekstrim dan mengamalkan semangat perdamaian, sambil menambah, sejarah pertelingkahan dunia tidak berpunca daripada agama sebaliknya akibat salah penafsiran terhadap agama itu sendiri.

Ketika merasmikan pembukaan persidangan antara agama peringkat antarabangsa di sini, Raja Abdullah turut memberi penekanan kepada perlunya dialog membina diadakan bagi menyelesaikan pelbagai perbezaan pandangan.

"Kita mesti memberitahu dunia bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa kepada pertelingkahan. Tragedi yang pernah dialami sepanjang sejarah bukan disebabkan kesilapan agama tetapi akibat sikap ekstrim yang diamalkan sekumpulan penganut semua agama dan semua sistem politik."

"Saya datang dari tanah dua masjid suci membawa pesanan daripada umat Islam dan mengisytiharkan Islam adalah agama kesederhanaan dan toleransi, satu pesanan yang turut menggesa dialog antara penganut pelbagai kepercayaan yang akan membuka lembaran baru menangani konflik sejagat," katanya.

Raja Abdullah berkata manusia menjadi punca kemusnahan dunia, juga mempunyai keupayaan untuk mewujudkan keamanan, manakala penganut pelbagai agama boleh hidup bersama, saling menghormati dan menyelesaikan masalah melalui dialog, bukan keganasan.

"Manusia juga mampu menghapuskan kebencian dengan kasih sayang, ganti sikap enggan bertolak ansur dengan toleransi dan membolehkan manusia menikmati faedah daripada sikap saling menghormati," katanya. � Agensi

Sumber :

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/
20080717233136/Article/indexworld_html

------------------------------------------------------------------

Ulasan :

Firman Allah S.W.T :

Maksudnya : "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah Al-Nahl : 125)

Oleh yang demikian, semoga persidangan ini dapat menghasilkan natijah yang terbaik untuk maslahah Islam dan umat sejagat serta sebagai medan dakwah buat sekalian manusia untuk melihat Islam dari perspektif yang benar, jelas dan tepat seterusnya menerima islam sebagai satu-satunya cara hidup yang dapat menyelesaikan segala permasalahan yang melanda dunia.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...