Tuesday, September 1, 2009

Setiap sesuatu ada hikmahNya


Telah berlalu sepuluh Ramadhan yang pertama, begitu cepat masa berlalu bagaikan tidak terasa mengharungi bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan dalam beribadah untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala. Sememangnya Allah Ta’ala sangat dekat dan hampir dengan kita, sebaliknya kita lah kadangkala yang dekat dan kadangkala jauh denganNya. Dekat denganNya bila kita melakukan ketaatan kepadaNya dan jauh denganNya bila kita melakukan maksiat dan mungkar kepadaNya.


“Ya, Allah berikanlah kami kekuatan dalam melakukan ketaatan padaMu, sesunggunya kami hamba yang tiada daya kekuatan melainkan dengan kehendak dan keiizinanMu”


Masih terngiang-ngiang kata-kata guru kami Maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani di telinga dan sanubari saya sewaktu mengaji kitab Tuhfah Al-Ahwazi dan Kitab Bahjah Al-Nufus pada hari-hari awal Ramadhan baru-baru ini di masjid beliau. Kalamnya sangat menyentuh hati saya bila beliau berbicara tentang ilmu tasawwuf, pandangan matanya sungguh memberi kesan pada jiwa saya, beliau seorang yang sangat tawadhu’ dengan ilmunya. Beliau memperkatakan tentang masalah hikmah dan qudrah Allah Ta’ala. Kata-kata yang tidak dapat saya lupakan yang membuatkan saya sentiasa berfikir dan terus berfikir pada setiap sesuatu yang berlaku di sana terdapat hikmah Allah Ta’ala -semoga Allah memberkati Ilmunya di dunia dan akhirat-


Setelah kami membaca beberapa hadis dan syarahnya daripada kitab Tuhfah Al-Ahwazi kami membaca Al-Quran secara tadaarus sehingga sampai pada ayat ke-40 daripada surah maryam :

إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ الْأَرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Kamilah Yang mewarisi bumi dan Segala makhluk Yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.”


Maulana Syeikh Yusri menjelaskan kepada kami kalimah (يرجعون) terdapat dua bacaan qiraat, pertamanya bacaan riwayat Ya’qub; dibaca dengan membariskan fathah pada huruf ya dan membariskan kasrah pada huruf jim iaitu dibaca (يَرْجِعُونَ) dan keduanya bacaan riwayat baki qurra’ yang lain; dibaca dengan membariskan dhommah pada huruf ya dan membariskan fathah pada huruf jim iaitu dibaca (يُرْجَعُونَ). Kedua-dua bacaan ini adalah riwayat yang mutawatir sampai kepada Rasulullah S.A.W.


Seterusnya beliau menjelaskan kepada kami makna bagi kedua-dua bacaan qiraat tersebut. Kata beliau :


Kalimah يُرْجَعُونَ atas wazan mabni lil maf’ul menunjukkan akan qudrah (kekuasaan) Allah Ta’ala untuk mengembalikan manusia kepadaNya setelah mereka hidup di dunia sama ada untuk dimasukkan ke dalam SyurgaNya ataupun NerakaNya, manakala kalimah يَرْجِعُونَ atas wazan mabni lil ma’lum yang menunjukkan bahwa manusia akhirnya akan kembali juga kepada Allah Ta’ala dengan sebab kematian yang akan mereka hadapi di dunia ini.”


Beliau menambah lagi :


Hikmah adalah merupakan sebab atas sesuatu perkara manakala qudrah adalah merupakan hakikat atas sesuatu perkara. Mati adalah merupakan sebab bagi manusia untuk kembali kepada Allah manakala hakikat kematian itu adalah datangnya daripada ketentuan dan kekuasaan Allah. Sebagaimana Allah menghidupkan manusia daripada tiada maka tidaklah sukar bagi Allah untuk mematikannya lalu membangunkannya semula”


Subhanallah, saya terfikir dengan kata-kata maulana syeikh Yusri ini, tafsiran ini jelas menunjukkan akan mukjizat Al-Quran. Satu ayat yang mempunyai serampang dua mata, pertama bagi mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulnya akan mengakui akan hakikat bahawa mereka akan dikembalikan kepada Allah. Manakala keduanya bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah dan Rasulnya, tidakkah mereka mengambil pelajaran bahawa mereka tetap akan bertemu dengan kematian yang tidak dapat dielakkan yang akhirnya kematian ini akan menjadi sebab untuk mereka kembali kepada Allah.


Dalam kelas pengajian kitab Bahjah Al-Nufus iaitu kitab syarah kepada muktasar sahih Al-Bukhari, Maulana Syeikh Yusri turut menyebut sekali dengan tentang masalah Hikmah dan Qudrah Allah Ta’ala apabila menghuraikan kalam Ibnu Abi Jamrah Al-Andalusi terhadap hadis yang ke-18 iaitu hadis bab (البول والاستنجاء والشرب) :


Maulana Syeikh mengatakan :


Setiap perintah dan larangan daripada syarak mempunyai hikmah daripada Allah sama ada kita mengetahuinya ataupun tidak mengetahui, sama ada kita boleh berfikir atau pun tidak boleh berfikir tentangnya. Maka hikmah yang kita tidak ketahui atau dijangkaui oleh akal ini dipanggil sebagai Ta’abbud (akur dan patuh tanpa mempertikaikannya) sebagai contoh perintah untuk solat subuh dua rakaat, solat zuhur, asar dan isyak 4 rakaat dan maghrib 3 rakaat. Maka ibadah tadi haruslah dikerjakan tanpa boleh ditangguhkan untuk mencari hikmah, sebab atau faedahnya.”


Imam Ibnu Abi Jamrah turut mensyarah hadis ini dengan kalamnya :


“Hadis ini menunjukkan kepada maksud seorang mukallaf itu hendaklah mengetahui akan hikmah Allah Ta’ala atas sesuatu perkara dan mengikut akan hikmah tersebut. Sebab itu baginda nabi S.A.W bersabda ketika hendak bersai’e antara Safa dan Marwa : Kami memulakan dengan apa yang telah Allah mulakan”


Seterusnya Ibnu Abi Jamrah mengatakan :


Walaupun huruf wau tidak mendatangkan maksud susunan di dalam kalam bahasa arab namun Sahib Al-Nur (Rasulullah) mengetahui bahawa Al-Hakim (Allah) tidak memulakan sesuatu melainkan adanya hikmah, maka baginda mengikut akan hikmah Al-Hakim.”


Dalam menghuraikan hadis yang ke-20 iaitu hadis bab (النعاس في الصلاة) daripada kitab Bahjah An-Nufus, Berkata Imam Ibnu Abi Jamrah :


Hadis ini menunjukkan kepada perlunya untuk mengikut serta mematuhi akan hikmah kerana hikmah membuktikan bahwa rasa mengantuk atau tidur hanya akan hilang dengan seseorang itu dalam keadaan tenang sehinggalah sampai waktunya yang ditentukan oleh Allah Ta’ala.


Maulana Syeikh mengulas akan kalam Imam Ibnu Abi Jamrah katanya :


“Hikmah adalah merupakan sebab manakala qudrah adalah merupakan hakikat. Tidur adalah merupakan sebab untuk seseorang itu berehat dan mendapat kekuatan manakala hakikat yang mendatangkan rasa mengantuk dan tidur adalah Allah Ta’ala dan hakikat yang memberikan kekuatan semula pada manusia setelah tidurnya juga adalah Allah Ta’ala. Maka tidur menunjukkan kepada kita akan kekuasaan Allah Ta’ala ke atas makhluknya terutama manusia walaupun memiliki akal dan kekuatan apabila datangnya rasa mengantuk maka dia akan tetap akur dan patuh. Tidur juga menunjukkan bahawa manusia adalah lemah dan penuh dengan hajat dan keperluan.


Maulana Syeikh yang juga merupakan seorang doktor pakar bedah turut menyatakan pada kami bahawa sains perubatan masih belum dapat merungkaikan dengan tepat bagaimana sistem dalaman organ manusia boleh terus berfungsi semasa manusia tidur. Bagaimana ia boleh dikawal? Siapa yang mengawalnya? Maka sesungguhnya kesemua ini tidak lain dan tidak bukan adalah dibawah kekuasaan Allah Ta’ala. Subhanallah, sewaktu kita tidur kita tunduk dan akur dengan ketetapan dan ketentuan Allah namun bagaimana perihal ketika waktu sedar kita? Adakah kita tunduk dan akur dengan ketetapan dan ketentuan Allah yang Maha Hikmah lagi Perkasa?


Maulana Syeikh turut menasihati kami agar tidak terlalu banyak menghabiskan masa untuk tidur. Tidur yang secekupnya bukanlah semestinya terikat dengan jumlah 6-8 jam sebalik tidur yang secukupnya adalah tidur yang sedikit tetapi memberi kesan. Maka hendaklah kita menyandarkan harapan dan pergantungan kepada Allah Ta’ala untuk mendapat tidur yang secukupnya. Kadang kala kita terlalu mengikut akan nafsu untuk tidur dengan berlebihan lalu dibuai dengan mimpi-mimpi indah yang sedikit sebanyak akan membuatkan hati menjadi keras.


Semoga Ramadhan kali ini dapat menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah Ta’ala dengan hikmah yang dihidangkan kepada kita melalui nas Al-Quran dan Hadis nabi S.A.W, meningkatkan lagi amalan kita untuk mendekatkan diri kepadaNya kerana siapalah kita tanpa Allah Yang Maha Agung, seterusnya dapat memberi kesan dalam jiwa dan rohani kita untuk menggapai keredhoanNya.



2 comments:

Mas said...

Ramadhan kareem...ustz, dh balik Mesia ke?

Ibnu Juhan said...

Allahu Akram...ana masih di Kaherah, Mesir lagi ada peperiksaan yang perlu di ambil bermula 6 sept sampai 17 sept. Insyallah ada rezeki bulan 11 balik msia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...