Monday, July 9, 2012

Risalah tentang Golongan Anti Hadith


Diterbitkan Oleh: JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR Aras 7 & 8, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan Tel: 03-55143738 Fax: 03-55197584 e-mail: mufti_sel@selangor.gov.my web: mufti.selangor.gov.my  


LATAR BELAKANG 

1. Isu Anti Hadis bermula pada tahun 1986 yang dipelopori oleh Kassim Ahmad yang mendokong idea Dr. Rashad Khalifa. Mereka bukan di kalangan ahli ilmuan Islam tetapi sengaja membahaskan di kalangan Islam dengan berpandukan akal dan kaedah saintifik. 

2. Akibat terpengaruh dengan buku-buku Dr. Rashad Khalifa, beliau memperkenalkan idea berkenaan kepada umat Islam ini dengan menulis beberapa artikel di dalam ruangan “Berani Kerana Benar” akhbar Watan. 

3. Peningkatan beliau terlihat dengan penganjuran majlis diskusi mengenai “Teori hadis” di Pejabat ALIRAN, Pulau Pinang dan rumah beliau di No. 8, Jalan Ayah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang yang dihadiri para kenalan dan ahli Parti Sosial Rakyat Malaysia (PSRM). 

4. Pada Mei 1986, Kassim Ahmad telah menulis sebuah buku bertajuk “Hadis satu penilaian semula” terbitan Media Intelek Sdn. Bhd. yang mana antara kandungannya ialah menolak hadis secara total sebagai sumber hukum Islam.

5. Pada Oktober 1992, Kassim Ahmad sekali menulis buku “Hadis Jawapan Kepada Pengkritik” terbitan Media Sdn. Bhd. dengan mesej yang sama iaitu menolak hadis. 

6. Usaha golongan ini menolak hadis sebagai sumber hukum dibuat dalam pelbagai bentuk seperti penulisan (Risalah lqra’), artikel dalam media cetak, diskusi, forum, ceramah dan sebagainya. 


CIRI-CIRI KESALAHAN 

1. Penyelewengan dari sudut akidah:

 a. Menolak hadis secara total sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam.
 b. Menolak dua kalimah syahadah. 
 c. Menolak kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar. 
 d. Memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran.
 e. Mempertikaikan kesahihan ayat-ayat al-Quran. 
 f. Mendakwa kiamat akan berlaku pada 1710H/2280M. 
 g. Menolak berlakunya seksaan kubur selepas mati. 
 h. Menafikan kedudukan Nabi Adam A.S. sebagai manusia pertama ciptaan Allah S.W.T.
 i. Menolak kemaksuman para Nabi. 

2. Percanggahan dari sudut syariah: 

a. Menolak pensyariatan sembahyang. 
b. Menolak ketetapan hukum fiqh Islam tentang aurat wanita. 

3. Percanggahan dari sudut akhlak: 

a. Menghina peribadi dan kedudukan Rasulullah S.A.W. 
b. Mencerca dan memfitnah para Ulama’. 
c. Mencabar dan mempertikaikan kewibawaan pihak berkuasa agama.
d. Tidak mengikut displin ilmu-ilmu Islam. 


KEPUTUSAN 

1. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor telah membuat keputusan bahawa buku-buku iaitu: 
(a) “Hadis Satu Penilaian Semula”. 
(b) “Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, yang ditulis oleh Kassim Ahmad. 
(c) “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu”. 
(d) “Hadith di dalam al-Quran”, yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman. 
(e) Buku “Bacaan” yang ditulis oleh Othman Ali. 
(f) Buku “The Computer Speaks - God’s Message To The World” yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa. 
(g) Risalah “Iqra" terbitan Jemaah al-Quran Malaysia. 

Adalah mengandungi, antara lain ajaran dan fahaman yang menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran.

Oleh yang demikian, buku-buku dan risalah itu adalah mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan ‘aqidah, syariah dan akhlak Islam.

2. OLEH YANG DEMIKIAN; 
(a) Mana-mana orang atau kumpulan orang yang berpegang pada ajaran-ajaran dan fahaman -fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah yang dinyatakan dalam perkara (1) adalah murtad; 
(b) Percetakan, penerbitan, pemilikan, penyiaran, penyebaran atau pengedaran mana-mana buku atau risalah yang dinyatakan dalam perkara (1) termasuk; (i) Apa-apa bentuk, versi atau variasinya; (ii) Apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa; (iii) Apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku atau risalah itu; Pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media, adalah haram; 
(c) Pengajaran, pembelajaran, pengalaman dan penyebaran ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang terkandung dalam mana-mana buku atau risalah yang dinyatakan dalam perkara (1) adalah haram; 
(d) Adalah haram bagi orang Islam menjadi anggota atau memimpin atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan mana-mana kumpulan yang berpegang pada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam mana-mana buku atau risalah yang dinyatakan dalam perkara (1). 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...