Wednesday, February 3, 2010

Doa Penawar daripada Hadis Nabi

Sekadar berkongsi doa-doa yang dipetik daripada hadis-hadis nabi S.A.W sewaktu mengajar kelas tafsir surah Al-Falaq di Dar Al-Hikmah baru-baru ini.

Dr. Wahbah Al-Zuhaili menyebut dalam kitab tafsirnya Tafsir Al-Munir (Jilid 30, ms 478) :

"Kebanyakan para ulama mengharuskan minta pertolongan dengan membaca ayat-ayat ruqyah (pendinding/penawar) kerana baginda nabi S.A.W telah mengadu kepada malaikat Jibril tentang peristiwa baginda di sihir oleh orang yahudi lalu malaikat Jibril membacakan ayat-ayat ruqyah kepada nabi..."

Antara doa-doa penawar :

Doa Malaikat Jibril ke atas Rasulullah S.A.W setelah baginda mengadu kerana disihirkan oleh Labid bin Al-A’shom (yahudi) :

بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

Maksudnya : “Dengan nama Allah aku mendinding kamu daripada setiap sesuatu yang menyakiti kamu yang datang daripada setiap kejahatan jiwa atau mata orang yang hasad (dengki), semoga Allah menyembuhkan kamu dengan nama Allah aku mendinding kamu.”


(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya)

2. Doa ketika menghadapi sakit atau demam :

بِسْمِ اللَّهِ الْكَبِيرِ أَعُوذُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ مِنْ شَرِّ كُلِّ عِرْقٍ نَعَّارٍ وَمِنْ شَرِّ حَرِّ النَّارِ

Maksudnya : “Dengan nama Allah Yang Maha Besar, Aku berrlindung daripada kejahatan setiap peluh yang meruap-ruap dan daripada kejahatan setiap kepanasan api.”

(Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dalam Sunannya)

3. Doa ketika menziarahi orang yang sakit :

أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

Maksudnya : “Aku bermohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Yang Memiliki ‘Arasy yang Agung, agar menyembuhkan kamu (dibaca sebanyak 7 kali).”

(Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunannya)

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ مُذْهِبَ الْبَاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إِلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya : “Ya Allah, tuhan sekalian manusia, penghilang segala kesusahan, sembuhkanlah kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tiada sesiapa yang dapat menyembuhkan (penyakit) melainkan Engkau sahaja yang dapat mengubati dan menghilangkan sakit.”

(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dalam Sahihnya)

4. Doa mohon berlindung daripada gangguan syaitan dan sekutunya :

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

Maksudnya : “Aku mohon berlindung dengan kalimah-kalimah Allah (Al-Quran atau asma’ Allah dan sifatNya) yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang berbisa yang boleh membunuh serta berlindung daripada setiap pandangan mata yang boleh mendatangkan kejahatan.”

(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

والله أعلم

______________________

Rujukan :

  • Tafsir Al-Munir : Dr. Wahbah Al-Zuhaili
  • Sahih Al-Bukhari
  • Sahih Muslim
  • Sunan Abi Daud
  • Sunan Al-Tirmizi
  • Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari
  • Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Sunan Al-Tirmizi

Disusun oleh :

Al-Faqir ilallahi Al-Ghaniy 18 Safar 1431 H

Mohd Juzaili Juhan Al-Azhariy

Khadim Al-‘Ilm wa Al-Sunnah,

Dar Al-Hikmah,

Kg. Guru Fasa 3,

Kangar, Perlis.


Tuesday, February 2, 2010

Coretan Kembara

Jumaat (29 Januari 2010)

Dari Perlis menuju ke Kampar
Singgah jumaat di
Parit Buntar
Nasi ayam hilangkan lapar
Berjalan jauh perlu bersabar

Mambang di awan tempat bermalam
Ziarah keluarga rumah kekanda
Tangan dikucup tautan salam
Datang bersama ayah dan bonda

Pak ndak mak ndak turut bertandang
Datang berkunjung dari
Rawang
Meriah berbual bukan kepalang
Sesudah makan siapkan barang


Sabtu (30 Januari 2010)

Menuju ke Ipoh tempat diundang
Rombongan meriah taut ikatan
Buah tangan dibawa bertandang
Penyeri majlis pelengkap hubungan

Nasi dagang juadah hidangan
Sedap dimakan bekal iringan
Terima kasih ucapan penghargaan
Selesai majlis terus perjalanan

Bangi di tuju penuhi jemputan
Kenduri kahwin sahabat perjuangan
Bertemu di sana rakan taulan
Ukhwah sejati terus berpanjangan

Gambar diambil bersama mempelai
Sebagai kenangan sebelum bersurai
Salam dihulur dosa dilerai
Majlis diseri kehadiran ramai

Dari
Bangi menghala ke Sentul
Teman jemput ziarah keluarganya
Singgah sebentar di
Gombak berkumpul
Teman lama sudah bekerjaya

Gembira lihat teman berkeluarga
Anak isteri meriahkan suasana
Nasi ayam dihidangkan juga
Santapan malam tidur lena

Tengah malam pulang ke
Bangi
Seksyen tujuh tempat menginap
Tersangat letih sejak pagi
Gembira ukhuwah tidak lenyap

Ahad (31 Januari 2010)

Teman mengajak ke Cyberjaya
Nikmati hidangan makanan arab
Pabila sampai malang nasibnya
Kerusi restoran masih meniarap

Rahim's Bistro restoran sebelah
Mengubat kecewa hajat di hati
Nasi briyani menghilang lelah
Waktu pulang semakin pasti

Salam berpisah sesama teman
Terasa pantas edaran zaman
Maaf dipinta doa dipanjatkan
Hidup berkat atas pegangan

Masuk highway dari
Shah Alam
Singgah
Georgetown ziarah taulan
Jelutong tempat tumpang bermalam
Kerana bas tamat perkhidmatan

Sesudah subuh menaiki feri
Sejuk rasanya ombak bergolak
Butterwoth dituju bas di cari
Tiket ke
Kangar lambat bertolak

Beli tiket untuk ke
Alor Setar
Kejar masa mengelak menunggu
walau terpaksa menahan lapar
supaya jadual tidak terganggu

Dari
Alor Setar balik Perlis
Menaiki bas kali terakhir
Sudah lama tidak menulis
Coretan diungkap selepas fikir


17 Safar 1431 H

Dar Al-Hikmah,
Kg. Guru Kangar,
Perlis.


Friday, January 15, 2010

Gerhana dan solat kusuf


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ الشَّمْسَ خَسَفَتْ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ مُنَادِيًا بُ الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ فَتَقَدَّمَ فَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ


Maknanya : Daripada Saidatina ‘Aisyah R.A telah berkata : “Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah S.A.W, lalu baginda mengutuskan utusan dengan menyeru; As-Sholata Jami’atan (Dirikan solat secara jemaah), maka (para sahabat) berhimpun (di masjid nabi), kemudian (baginda) datang lalu mengangkat takbir dan solat sebanyak 4 kali ruku’ dalam dua rakaat, dan sujud sebanyak 4 kali sujud.”[1]


Pengertian Al-Kusuf (Gerhana) :


Terdapat beberapa pandangan para ulama terhadap makna Al-Kusuf :


Pertama : Al-Kusuf ( (الكسفadalah khusus untuk gerhana matahari, manakala Al-Khusuf (الخسف) pula khusus untuk gerhana bulan. Pandangan ini berdasarkan zahir ayat Al-Quran dalam surah Al-Qiyamah ayat 7 & 8 :


Maksudnya : “Maka (Jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayaNya,”


Kedua : Sebaliknya daripada pandangan pertama iaitu Al-Kusuf untuk gerhana bulan dan Al-Khusuf untuk gerhana matahari.


Al-Imam ‘Ali ibn Daud ibn Al-‘Athor Al-Syafie (wafat pada 724 H) mengatakan pandangan kedua ini adalah dhoif berdasarkan perselisihan dari segi bahasa kerana terdapat perselisihan lafaz pada hadis-hadis yang sahih. Kesemua lafaz-lafaz ini (al-kusuf dan al-khusuf) digunakan pada makna yang sama.


Ketiga : Al-Kusuf (gerhana) berlaku pada permulaannya manakala Al-Khusuf berlaku pada penghujung tempoh gerhana apabila cahaya hilang kesemuanya.


Keempat : Al-Kusuf apabila cahaya hilang kesemuanya manakala Al-Khusuf apabila berlaku perubahan warna cahaya.


Hukum berdasarkan hadis :


Al-Imam ‘Ali ibn Daud ibn Al-‘Athor Al-Syafie (wafat pada 724 H) menyebut dalam kitabnya Al-‘Uddah fi Syarh Al-‘Umdah fi Ahadith Al-Ahkam beberapa hukum-hakam yang boleh dikeluarkan daripada pemahaman hadis tersebut;


Pertama :


Galakan untuk berlumba-lumba mengerjakan solat al-khusuf apabila berlakunya gerhana matahari dan berusaha untuk menyeru orang ramai berhimpun untuk menunaikan solat gerhana.


Kedua :


Imam atau pemerintah (pihak yang berkuasa) hendaklah mengambil berat tentang solat gerhana bahkan menggalakkan orang ramai menunaikannya.


Ketiga :


Bersegera untuk berhimpun untuk menunaikan solat gerhana tanpa bertangguh-tangguh atau melewat-lewatkan.


Keempat :


Hukum mengerjakan solat gerhana ialah sunat muakkad, bahkan menjadi ijmak ke atas hukumnya berdasarkan perbuatan nabi yang bersegera menghimpunkan para sahabat dan menzahirkan solat gerhana ini.


Hukum solat gerhana bulan juga adalah sama seperti hukum solat gerhana matahari di sisi Jumhur ulama’ (mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali), Adapun Imam Malik teragak-agak untuk menyatakan hukumnya sunat muakkad kerana tidak terdapat mana-mana pandangannya yang dihubungkan selepas hukum solat gerhana matahari.


Kelima :


Solat gerhana tidak perlu untuk diazan dan diiqamahkan. Ini adalah pandang ittifaq (sepakat) daripada para ulama. Dan hadis ini menunjukkan dalil menyeru orang ramai untuk bersolat dengan laungan As-Sholata Jami’atan dan hadis ini juga menjadi dalil bagi golongan yang mengharuskan untuk azan dan iqamah untuk mengerjakan solat gerhana.


Keenam :


Adalah menjadi sunnah menunaikan solat gerhana secara jamaah. Ini adalah pandangan Imam Malik, As-Syafie dan Imam Ahmad serta jumhur ulama.

Adapun Al-‘Iraqiyyun (ulama Iraq) berpandangan solat gerhana dilakukan secara bersendirian.


Kata Imam Al ‘Athor Al-Syafie;


“Maka hadis ini jelas menjadi hujah untuk menyanggah pandangan Al-‘Iraqiyyun.”


Ketujuh :


Adalah menjadi Sunnah menunaikan solat gerhana sebanyak 2 rakaat, pada setiap rakaat ada dua kali qiyam, dua kali ruku’ dan dua kali sujud. Ini adalah pandangan dalam mazhab Imam Al-Syafie, Imam Malik, Imam Al-Laith, Imam Ahmad bin Hanbal, Abi Thaur dan jumhur ulama Hijjaz dan lain-lain.


Al-Kufiyyun (Ulama Kufah) berpandangan solat gerhana dilakukan sebanyak 2 rakaat seumpama seperti solat nawafil (sunat) yang lain.


Kata Imam Al ‘Athor Al-Syafie;


“Hadis ini dan hadis riwayat Jabir, Ibnu ‘Abbas, Ibnu ‘Amru Al-‘As menjadi hujah menyanggah pandangan ulama Kufah. Dan terdapat juga pandangan sahih yang lain mengatakan solat gerhana dilakukan sebanyak 3 rakaat, dan ada juga dilakukan sebanyak 4 kali ruku’ dalam satu rakaat.


Namun Ibn ‘Abd Al-Bar berkata : Hadis-hadis yang menjadi sandaran pandangan jumhur ulama adalah hadis yang tarafnya paling sahih dalam perbahasan solat gerhana. Adapun baki riwayat lain yang bercanggah dengan pandangan jumhur adalah hadis mu’allalah[2] dan dhoif.[3] ”


Kelapan :


Harus untuk meletakkan lafaz rakaat walaupun hanya pada pergerakan ruku’


Kesembilan :


Harus untuk Imam mendatangi kemudian setelah makmum berhimpun.


Kesepuluh :


Hendaklah Imam mengangkat ihram dan takbir setelah dia berada di tempat solatnya.


Kesebelas :


Diharuskan Imam mengutuskan seseorang untuk menyeru orang ramai untuk menunaikan solat gerhana, dan demikian juga hukumnya bagi solat-solat yang disyariatkan dilakukan secara jemaah.


Kedua belas :


Perbuatan nabi S.A.W ketika berlakunya perubahan keadaan dan masa disampaikan kepada umatnya agar mengikutnya dan beramal dengan sunnah baginda S.A.W.


والله أعلم

___________________


[1] Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dalam sahihnya; Kitab Al-Kusuf, hadis no (1016), Imam Muslim dalam sahihnya; Kitab Solat Al-Kusuf, hadis no. (901)

[2] Hadis yang terdapat ‘illah (sebab yang tersembunyi lagi sukar untuk dijumpai yang boleh menjejaskan kesahihan hadis sedangkan pada zahirnya kelihatan selamat daripadanya.)

[3] Dhoif sama ada disebab tidak cukup salah satu atau lebih syarat-syarat hadis yang boleh dijadikan hujah. Ulama hadith meletakkan 5 syarat untuk menjadikan sesuatu hadis itu boleh dijadikan sebagai hujah (Hadis Sahih dan Hassan) iaitu pertama: sanad bersambung, dua dan tiga: diriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhobit (kukuh ingatan), empat dan lima; selamat daripada adanya ‘illah dan syaz (riwayat perawi yang thiqah yang menyalahi pengriwayatan perawi yang lebih thiqah daripadanya.)


-------------------------

Rujukan :

-Kitab Al-'Uddah fi Syarh Al-'Umdah fi Ahadith Ahkam
-Kitab Sahih Al-Bukhari
-Kitab Sahih Muslim

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...