Friday, April 25, 2008

KEJAYAAN BUKAN SEKADAR ANGAN-ANGAN


Firman Allah S.W.T

ان الله لا يغير ما بقوم حتي يغيروا ما بأنفسهم

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d : 11)

Sahabat yang dimuliakan Allah S.W.T ,

Berdasarkan ayat Al-Quran di atas jelas menunjukkan bahawa kita selaku Tolibul Ilmi dituntut untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Kejayaan itu tidak akan datang bergolek dihadapan mata sebaliknya kitalah yang perlu mengejarnya. Namun sudah tentulah dalam memperolehi kejayaan tersebut kita akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Inilah asam garam kehidupan sebagaimana firman Allah ٍS.W.T yang bermaksud :

Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya” (Surah Al-Mulk:2)

Kadang kala kita tercari-cari apakah cara yang terbaik untuk memotivasikan diri sendiri bagi mencapai kejayaan? Jawapannya sudah tentulah diri kita sendiri, iaitu kekuatan jiwa (القوة النفسية) dan pemikiran yang positif الفكر الأيجابى)) sebagai pembakar semangat dan perisai maknawi kepada kita apabila berhadapan dengan sebarang bentuk ujian dan cabaran. Maka menjadi kewajipan kepada kita untuk membina dan menggilap kedua-dua kekuatan dalaman tersebut dengan beberapa intipati agar ianya sentiasa segar dan utuh dalam sanubari.

Intipati Pertama : Kesedaran yang sejati الوعي الحقيقي))

Intipati Kedua : Keinginan yang teguh الأرادة القوية))

Intipati Ketiga : Kesungguhan yang jitu الجهد العظيم))

Intipati Keempat : Doa dan Tawakkal الدعاء والتوكل))

Kita haruslah menyedari bahawa kejayaan adalah suatu kebaikan yang dituntut ke atas umat Islam demi kebahagian dunia dan akhirat. Maka kejayaan kita dalam menuntut ilmu adalah kejayaan untuk Islam kerana dapat melepaskan diri kita dari belenggu kejahilan di samping dapat memberi peringatan kepada yang lain. Kejayaan dalam menuntut ilmu juga adalah merupakan hadiah istimewa buat kedua ibu dan bapa kita yang telah banyak berkorban harta dan tenaga. Bukankah seorang anak itu dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapanya? Maka menyedari akan hakikat ini, menjadi suatu kewajipan ke atas Tolibul Ilmi untuk mengambil berat tentang masa agar tidak digunakan pada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Al-Syeikh Ibnu “Atoillah Al-Sakandari menukilkan dalam kitabnya Al-Hikam :

الرجاء ما قارنه العمل والا فهو أمنية

“Suatu pengharapan itu mestilah diiringi dengan usaha, sekiranya tidak ia hanyalah menjadi angan-angan kosong sahaja”

Maka segala perancangan dan usaha mestilah dilakukan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian dan matlamat kejayaan. Kemanisan suatu kejayaan itu hanya akan dapat dirasai selepas melalui kesengsaraan yang hanya bersifat sementara. Oleh yang demikian, ayuh kita mulakan langkah, lipatgandakan usaha, korbankan masa dan tenaga di samping memanjatkan doa dan tawakkal moga diiringan redho dan inayah Rabul Jalil.

واعلم أن النصر مع الصبر ، وأن الفرج مع الكرب ، وأن مع العسر يسرا

SELAMAT MAJU JAYA DALAM IMTIHAN

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...