Tuesday, July 15, 2008

Hukum sambutan Israk dan Mikraj serta sambutan yang lain?


Dijawab oleh : Prof. Dr Ali Jum’ah (Mufti Mesir)

Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi

Sumber : Majalah Mujahid, Tahun ke-29, Bil. 339, Bln Rejab 1429 H


Soalan :

Kita mengadakan sambutan perayaan bersempena dengan hari atau bulan kebesaran dalam Islam seperti sambutan malam Lailatul Qadr, Israk dan Mikraj, Maulid Nabi dan lain-lain lagi. Perayaan ini diadakan dengan menghimpunkan sejumlah masyaiekh dan para ulama’ yang dipilih bagi menyampaikan ceramah agama bersempena dengan sambutan tersebut di samping mengadakan pertandingan-pertandingan keagamaan dan majlis-majlis zikir dan munajat serta turut memeriahkannya dengan menggunakan alat pembesar suara di luar masjid dan di dalam masjid. Selain itu turut menghiasi luaran masjid dengan lampu-lampu dan kadang-kadang mengadakan rakaman video bagi sambutan tersebut serta menyediakan tempat khusus bagi para ulama’ untuk duduk berhadapan dengan para hadirin di dalam masjid. Pada majlis ini juga diedarkan minuman dan kuih muih kepada sidang hadirin dan menyampaikan hadiah kepada qari-qari yang membaca dan menghafal Al-Quran serta pekerja-pekerja masjid atas kesungguhan mereka.

Justeru, apakah pandangan Islam terhadap sambutan yang sedemikian rupa?


Jawapan :

Sambutan bagi perayaan keagamaan dalam Islam yang pelbagai adalah perkara yang dituntut selagi mana tidak merangkumi perkara-perkara yang dilarang oleh syara’ kerana terdapat di dalam syara’ perintah untuk mengingati akan hari-hari Allah S.W.T. FirmanNya dalam surah Ibrahim :

5. Dan Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa Yang lalu) Dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah Engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka Dengan hari-hari Allah. "Sesungguhnya Yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda Yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang Yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.

Terdapat juga tuntutan tersebut di dalam Al-Sunnah iaitu di dalam Sahih Muslim bahawasanya nabi Muhammad S.A.W telah berpuasa pada hari Isnin pada setiap minggu dan berkata : “Hari tersebut adalah merupakan hari kelahiranku.”

Di dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Muslim hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas telah berkata :

Ketika Rasulullah S.A.W sampai ke Madinah beliau mendapati orang yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, maka nabi pun berkata kepada mereka; Apakah yang ada pada hari ini yang membuat kami semua berpuasa? Lalu mereka menjawab; Hari ini adalah hari yang mulia dimana Allah telah memberi kemenangan kepada nabi Musa dan kaumnya serta telah menenggelamkan firaun dan tenteranya, lalu nabi Musa berpuasa sebagai tanda syukur dan disebabkan itu kami berpuasa.

Nabi S.A.W berkata kepada mereka ; Sesungguhnya aku lebih berhak dan layak daripada Musa berbanding kamu. Lalu nabi berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.

Oleh yang demikian, mengadakan sambutan perayaan keagamaan dalam gambaran yang telah disebutkan tadi merupakan perkara yang dituntut syara’ dan tidaklah pula membawa kepada hukum makruh dan bid’ah bahkan sambutan tersebut adalah sebahagian dalam membesarkan syiar Allah S.W.T sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Hajj :

32. Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa Yang menghormati syiar-syiar ugama Allah maka (Dia lah orang Yang bertaqwa) kerana Sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

والله سبحانه وتعالى أعلم

--------------------------------------------------------------

Isnin : 11 Rejab 1429 H


1 comments:

syauqi azhari said...

assalamualaikum. saya melihat soalan dan jawapan tentang isu ini tidak akan timbul melainkan kerana adanya golongan yang tidak bersetuju. oleh yg demikian, menjadi tugas kita bersama utk mendalami ilmu2 Allah seterusnya menyebarkannya kpd khalayak. tahniah kpd ustaz krn telah meletakkan isu ini dlm posting kali ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...