Tuesday, June 17, 2008

Penyelidik temui 3 bumi besar, dua sistem suria

Sumber :

www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Dunia/20080616231938/Article

PENEMUAN BARU: Lakaran menunjukkan tiga 'bumi besar'
mengelilingi mataharinya (warna oren).


Planet menyerupai bumi lebih padu, kelilingi matahari 4 hari

WASHINGTON: Penyelidik Eropah mengumumkan semalam bahawa mereka menemui tiga 'bumi besar' (super-earth) mengelilingi sebuah bintang yang berdekatan. Selain itu, dua lagi sistem suria ditemui mempunyai planet yang kecil.

Penemuan itu diumumkan pada satu persidangan di Perancis membayangkan planet seperti bumi mungkin agak biasa di dalam sistem suria.

"Apakah setiap bintang memiliki sistem planetnya sendiri. Jika ya, beberapa banyak planet ia miliki?" tanya Michel Mayor dari Observatori Geneva di Switzerlad.

"Kita mungkin tidak mempunyai jawapannya sekarang, tetapi kita sedang mencatat kemajuan yang besar untuk menjawabnya," kata Mayor dalam satu kenyataan.

Tiga bumi besar berkenaan mengelilingi matahari yang lebih kecil daripada matahari dalam sistem suria kita. Sistem suria berkenaan terletak 42 tahun cahaya dari bumi.

Satu tahun cahaya ialah jarak yang dicapai cahaya dalam setahun pada kelajuan 300,000 kilometer sesaat atau kira-kira 9,500 bilion kilometer.

Planet menyerupai bumi itu ialah masing-masing 4.2 kali, 6.7 kali dan 9.4 kali lebih berat daripada bumi.

Planet berkenaan mengelilingi matahari mereka pada kelajuan yang lebih pesat, iaitu satu daripadanya mengelilingi mataharinya dalam empat hari berbanding 365 hari bagi bumi. Dua lagi masing-masing mengelilingi mataharinya dalam 10 hari dan 20 hari.

Mayor dan rakan kerjanya menemui planet berkenaan menggunakan teleskop High Accuracy Radial velocity Planet Searcher atau HARPS, di Observatori La Silla di Chile.

Lebih daripada 270 'exoplanet' sudah ditemui setakat ini dengan kebanyakannya planet besar yang menyerupai Musytari atau Zuhal. Planet yang lebih kecil menyerupai bumi amat jarang ditemui.

"Penemuan planet ini hanyalah satu permulaan.

"Analisis terhadap bintang menggunakan HARPS menunjukkan sepertiga daripada sistem suria mempunyai planet menyerupai bumi atau Neptun," katanya. � Reuters

________________

Ulasan :


Subhanallah... Maha Suci bagi Allah dari segenap kekurangan, Alhamdulillah...segala puji bagi Allah atas limpahan nikmat, Lailaha illa Allah...tiada tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, Allahu Akbar...Allah Maha Besar...

Penemuan in hanya sebahagian kecil daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T tuhan yang Maha Pencipta dan Berkuasa atas setiap sesuatu. Manamungkin alam semesta ini boleh wujud dengan sendiri atau secara kebetulan sebagaimana dakwaan golongan athies yang tidak mempercayai akan kewujudan tuhan. Lihatlah dengan segala keunikan dan keutuhan kejadian alam ini yang sentiasa akur dan patuh dengan ketetapan tuhan Yang Satu. Manamungkin boleh wujudnya berbilang-bilang tuhan dalam mentadbir akan alam ini sebagaimana dakwaan golongan politeisme. Seandainya ada tuhan-tuhan lain selain daripada Allah Yang Maha Esa nescaya akan berlaku kerosakan atau dalam erti kata lain sudah tentu alam ini tidak akan wujud.

Contoh yang lebih dekat dapat dilihat pada diri kita sebagai manusia yang terdiri daripada roh dan jasad yang melalui beberapa peringkat proses kejadian. Siapakah yang menciptakan semua ini? Siapakah yang mengawal segala pergerakan jantung dan peredaran darah di dalam badan kita? Siapa lagi kalau bukan Allah Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana. Semua makhluk akur dan patuh akan segala ketetapan yang ditetapkan Allah S.W.T tanpa sebarang bantahan. Siang bertukar malam, malam bertukar siang, musim saling silih berganti, bulan pula mengelilingi bumi pada paksinya demikian juga sekalian planet yang mengelilingi matahari. Namun kenapa makhluk yang bernama manusia atau insan seringkali bantah dan engkar akan segala ketetapan yang Allah tentukan ke atasnya? Hanya sekadar dijadikan dengan sebaik-baik kejadian dan diberikan akal fikiran, lantas angkuh dan sombong tidak mahu bertuhan, atau sengaja menduakan Allah, serta tidak mahu mengikut syariatNya yang disampaikan oleh rasul utusan yang terakhir nabi Muhammad S.A.W.

Penemuan ini jelas menunjukkan tiada yang mustahil bagi Allah Tuhan yang Maha Pencipta untuk menjadikan sesuatu daripada sekecil zarah sehinggalah sebesar alam semesta ini daripada tiada kepada ada mahupun sebaliknya. Sedangkan manusia hanyalah insan yang lemah, sekalipun kita mampu mencipta pelbagai ciptaan teknologi namun hanyalah dalam ruanglingkup menukarkan sesuatu kepada sesuatu melalui penggunaan sumber-sumber yang juga Allah jadikan. Di samping itu, penemuan baru ini juga menunjukkan akan kedangkalan ilmu manusia yang didahului dengan sifat jahil dan akan sentiasa berlaku pembaharuan dan penambahan kerana manusia terikat dengan masa. Sedangkan ilmu Allah sangat luas dan tidak terbatas dan terikat dengan masa.

Moga kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang taat dan patuh akan segala ketetapanNya dalam beragama kerana sesungguhnya agama yang diredhai Allah hanyalah agama Islam. Moga nikmat Iman dan Islam sentiasa dipelihara sehingga akhir hayat kita.

1 comments:

infogue said...

http://astronomi.infogue.com/penyelidik_temui_3_bumi_besar_dua_sistem_suria
http://www.infogue.com
Artikel di blog ini sangat bagus dan berguna bagi para pembaca. Agar lebih populer, Anda bisa mempromosikan artikel Anda di infoGue.com yang akan berguna bagi semua pembaca di seluruh Indonesia. Telah tersediaa plugin / widget kirim artikel & vote yang ter-integrasi dengan instalasi mudah & singkat. Salam Blogger!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...