Friday, July 4, 2008

Kisah Israk dan Mikraj serta pengajarannya : Siri 1

Petikan Buku : Al-Mustafad Min Qasas Al-Quran

Karangan : Dr. Abd Karim Zaidan

Terjemahan & : Ibnu Juhan Al-Tantawi

Suntingan


1058-Kesimpulan Kisah :

Kesimpulan daripada kisah ini : Sesungguhnya Allah S.W.T telah memperjalankan pada waktu malam (asra) hambanya iaitu nabi Muhammad S.A.W daripada Masjid Al-Haram yang berada di Mekah ke Masjid Al-Aqsa yang berada di Bait Al-Muqaddas. Dan daripada sanalah (Bait Al-Muqaddas) nabi S.A.W telah diangkat (‘urija) sehingga ke langit ketujuh dan ke mana sahaja yang Allah S.W.T kehendaki.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku setahun sebelum berlakunya peristiwa Hijrah ke Yathrib (Madinah Al-Munawwarah) Al-Quran telah menerangkan secara jelas tentang peristiwa Israk daripada Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa dan turut memberi petunjuk kepada peristiwa Mikraj. Manakala Al-Sunnah Al-Nabawiyyah pula telah mengakui serta mengukuhkan lagi kebenaran kedua-dua peristiwa ini (Isra’ dan Mikraj).

1059- Ayat Al-Quran tentang peristiwa Israk :

Firman Allah S.W.T :


Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya (daerah-daerah sekitarnya yang mendapat berkat dari Allah dengan diperturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya) agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [1]

1060-Tafsir ayat peristiwa Israk[2] :

  • FirmanNya : (سُبْحَانَ) iaitu Allah S.W.T memuji akan diriNya sendiri dengan firmanNya (سُبْحَانَ) dan menyucikan zatNya yang Maha Tinggi daripada segala apa yang tidak layak dengan sifat kemuliaanNya, dan mengagungkan kedudukanNya kerana qudratNya mengatasi akan segala-galanya kerana tidak ada sesiapa pun yang memiliki kekuasaan melainkanNya yang Maha Kuasa dan tidak ada tuhan yang disembah melainkanNya.

  • FirmanNya : (الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْللاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ) iaitu yang memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Adapun Israk bermaksud : berjalan pada waktu malam keseluruhannya.

Firman Allah S.W.T : ( لَيْللاً ) adalah lafaz Al-tankir yang menunjukkan kepada tempoh masa Israk yang singkat kerana Allah S.W.T telah memperjalankan hambaNya pada sebahagian waktu malam. Dan maksud ( بِعَبْدِهِ) ialah nabi kita Muhammad S.A.W penutup sekalian nabi.

  • FirmanNya : (مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إلى المسجد الأقصا) bermaksud daripada masjid Makkah iaitu Masjid Al-Haram dengan tepatnya dan inilah makna zahir ayat. Dikatakan ; sesungguhnya nabi Isra’ dari rumah Ummu Hani binti Abi Talib. Maksud Masjid Al-Haram ialah kemuliaannya kerana meliputi kawasan masjid. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas berkata : “Al-Haram (yang dimuliakan) adalah keseluruhannya masjid.”

(إلى المسجد الأقصا) adalah masjid Bait Al-Muqaddas. Adapun (الأقصا) bermaksud suatu yang amat jauh. Dinamakan sedemikian kerana kedudukannya yang jauh daripada Mekah atapun kerana tidak terdapat masjid di sebaliknya.

  • FirmanNya : (الَّذِى باركنا حوله) iaitu kami berkati persekitarannya dengan keberkatan dari segi agama (ad-din) dan keduniaan kerana tanah yang suci (al-ard al-muqaddasah) tersebut merupakan tempat tinggal bagi para nabi, tempat turunnya para nabi dan merupakan perkampungan mereka. Dan di sana juga merupakan tempat tanaman bagi ladang dan pohon buahan, maka keberkatan Allah meliputi kedua-dua aspek tersebut secara menyeluruh.

  • FirmanNya : (لنريه من ءايتنا) menunjukkan kepada hikamah daripada peristiwa Isra’ yang bermaksud “supaya kami memperlihatkan kepada Muhammad S.A.W sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami iaitu dengan pemergiannya (nabi Muhammad S.A.W) yang sekejap yang hanya mengambil sebahagian daripada waktu malam sedangkan sepatutnya jaraknya adalah sebulan perjalanan, penyaksiaannya terhadap Bait Al-Muqaddas, memberi gambaran para nabi kepadanya dan memperlihatkan kepadanya akan kedudukan (maqam) para nabi yang tinggi.

  • FirmanNya : (إنه هو السميع البصير) yang bermaksud Maha Mendengar akan segala percakapan hambaNya dan perbuatan mereka. Tidak tersembunyi sesuatu apapun daripadaNya segala apa yang ada di bumi dan di langit.

1061-Peristiwa Israk berlaku secara ruh dan jasad :

Peristiwa Israk nabi Muhammad S.A.W ke bait Al-Muqaddas adalah berlaku secara ruh dan jasad serta dalam keadaan yang sedar dan jaga (yaqazhoh) dan inilah pandangan Jumhur ulama salaf dan khalaf. Tidaklah benar untuk berpegang kepada pandangan yang mengatakan bahawa peristiwa israk berlaku secara ruhnya (nabi Muhammad S.A.W) dan sesungguhnya baginda bermimpi di dalam tidur. Seandainya peristiwa Israk berlaku dalam keadaan tidur, maka tidaklah ianya akan menjadi sebagai bukti dan mukjizat bagi nabi Muhammad S.A.W dan tidaklah orang kafir quraisy makin membenci dan mendustakannya. Sekiranya semuanya ini hanyalah mimpi sudah tentu mereka tidak mengingkarinya.

Dan di dalam FirmanNya : ( سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ ) yang dimaksudkan dengan “hambaNya” ialah nabi Muhammad S.A.W dan kalimah ( بِعَبْدِهِ ) merangkumi ruhnya dan jasadnya [3].
------------------------------------------------
bersambung... akan datang Insyaallah :

  • Peristiwa Mikraj
  • Pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj

[1] Surah Al-Isra’ : ayat 1

[2] Tafsir Ibnu Kathir, Jil. 3, m/s 2; Tafsir Al-Kasyaf, Jil.2, m/s 646-647; Tafsir Al-Qasini, Jil.10, m/s 183-185.

[3] Tafsir Ibnu Kathir, Jil.3, m/s 23; Tafsir Al-Qasimi, Jil.10, m/s 189.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...