Thursday, January 14, 2010

Manis bagi yang merasa

Alhamdulillah segala puji dan syukur dihadapkan kepada Allah, tuhan yang berkuasa membolakbalikkan hati hamba-hambaNya; maka tetapkanlah hati kami dalam ajaran agamaMu dan mentaatiMu, yang menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dengan menganugerahkan akal; maka jadikanlah kami golongan yang mengunakan akal untuk mencari kebenaran, yang memiliki setiap jiwa sama ada yang beriman mahupun yang kafir; maka berilah kekayaan jiwa kami dengan taufiq dan hidayahMu...

Selawat serta salam buat baginda Rasulullah S.A.W, manusia yang paling kaya jiwanya, yang paling hebat mindanya, yang paling suci hatinya, seterusnya salam buat ahli keluarga baginda, para sahabat dan generasi yang menyambung mata rantai perjuangan baginda...

Alhamdulillah hari ni sudah cukup 2 minggu berada di Malaysia, tanah air tercinta dan kampung halaman, Perlis yang permai sejak meninggalkan Mesir, bumi kinanah yang dipenuhi dengan ulama dan auliya serta mutiara ilmu dan hikmah pada 30 Disember 2009 yang lalu. Tidak dapat dinafikan hati ini sememangnya merindui bumi barakah, rindu pada para ulama Al-Azhar, rindu pada majlis-majlis ilmu di Masjid Al-Azhar dan Masjid Al-Asyraf, rindu pada air sungai Nil, rindu pada teman-teman seperjuangan...

Sehinggakan minggu lepas saya bermimpi bertemu dengan syeikh murabbi maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hassani dan Syeikh Usamah-hafizahumullah-ketika bermusafir ke Parit Buntar menziarahi Mak Lang dan saudara mara di sana. Walaupun ini bukanlah kali pertama mimpi bertemu dengannya dan bukanlah diri ini sahaja yang pernah mimpi bertemu dengannya, ramai lagi anak muridnya yang menceritakan pernah mimpi bertemu dengannya...Betapa indahnya mimpi bertemu dengan para ulama, bagaimana pula mereka yang dianugerahkan bertemu dengan baginda nabi S.A.W...Barakallahu lakum...

Sepanjang 2 minggu ni tak banyak yang saya lakukan hanya tinggal di rumah menstabilkan waktu tidur dan berulang alik ke masjid solat jemaah dan mendengar kuliah walaupun hakikatnya tidak merasa kepuasan sebagaimana berada di bumi Mesir. Teringat saya akan satu kisah yang diceritakan oleh maulana Dr. Yusri dalam kelas pengajian kitab muwatto' Imam Malik di Masjid Al-Asyraf suatu ketika dulu. Beliau menceritakan tentang perihal seorang Doktor Pensyarah Universiti Al-Azhar yang dipinjamkan untuk mengajar di salah sebuah universiti di Arab Saudi, kata maulana :

"Doktor tersebut seorang yang iltizam dengan tarikat sufiyyah, apabila berada di sana dia berasa sangat gundah gulana, itu tak boleh... ini tak boleh...itu bid'ah...ini bid'ah... pada suatu hari setelah beliau melakukan tawaf sekeliling ka'abah beliau tertidur lalu bermimpi bertemu dengan baginda nabi S.A.W. Baginda nabi S.A.W berkata kepadanya; "Tidak mengapa solat dibelakang mereka, cuma janganlah diendahkan apa yang mereka katakan..."

Alhamdulillah semalam saya berkesempatan ke Surau Taman Jali setelah menerima panggilan daripada Syeikh Yusaini @ masyhur dgn panggilan Pak Syeikh untuk bertemu dengan beliau di sana. Solat Maghrib diimami oleh Pak Syeikh setelah selesai solat, zikir dialunkan secara beramai-ramai dan doa diaminkan oleh makmum yang hadir. Indahnya dan terasa kemanisan meningati Allah...Barangkali suasana ini adalah biasa di negeri-negeri lain...namun di Perlis hal ini dijadikan isu besar...

Surau terus dipenuhi dengan hadirin dan hadirat, yang tua dan muda ditambah pula dengan pelajar-pelajar Ma'had Tahfiz Imam An-Nawawi (MATIN) yang berada di saf hadapan. Sebelum pengajian dimulakan qasidah burdah dialunkan oleh semua hadirin berbekalkan buku qasidah burdah yang dihimpunkan oleh Syeikh Fuad Kamaluddin.

السلام عليك زين الأنبياء * السلام عليك أتق الأتقياء

Allah...Allah mendayu sungguh alunannya, surau bergema dengan alunan qasidah dan burdah...selawat dan salam ke atas nabi S.A.W. Terasa zauq kemanisan selawat dan salam ke atas nabi sehingga saya tidak dapat menahan hiba menitiskan air mata. Suasana ini mengingatkan saya pada halaqah zikir, qasidah dan burdah bersama maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani. Namun ada juga segelintir golongan yang tidak senang dengan susana ini dengan pelbagai kritikan yang tidak berasas. Terdapat pepatah arab :

من لم يذق لا يدري
Maksudnya : "Barangsiapa yang tidak merasa zauq (kemanisan dan kelazatan sesuatu), maka dia tidak akan mengetahui (hakikat tentang sesuatu itu)"

Setelah selesai membaca qasidah dan burdah, Ustaz Yusaini memulakan bacaan kitab Syamail Muhammadiyah pada bab Perihal Uban Rasulullah S.A.W. Kitab yang menghimpunkan hadis-hadis yang menceritakan tentang sifat khilqiyah (lahiriah nabi sebagai insan) dan khuluqiyah (akhlak dan adab nabi). Sekali lagi pengajian kitab ini menyebabkan saya terkenang akan saat-saat pengajian saya bersama maulana Dr Yusri di Masjid Al-Asyraf di Mesir pada setiap minggu selepas solat Jumaat. Kali terakhir kelas bersama beliau ialah pada hari Jumaat 25 Disember 2009, pada bab sifat tawadhu' nabi S.A.W. Masih segar di ingatan saya kalam-kalam huraian maulana Dr Yusri tatkala Ustaz Yusaini menguraikan hadis-hadis tersebut.

Jazakumullahu 'anna khairal jaza' wa nafanahullahu bi 'ulumikum fid daarain amin...

2 comments:

MOHD FAIRUS B SOIED @ SHUAIB AL-JANIANJI said...

salam.

Selamat berjuang menabur bakti dan ilmu kpd kluarga dan masyarakat..

Allahu yuwaffiqna amenn...

Doa ana..

Mohd Juzaili Juhan said...

wslm,

Jazakumullahu khairan kathira

Allahumma amin...

Barakallahu lakum wa jama'a bainakum fil khair fiddunya wal akhirah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...