Sunday, November 27, 2011

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1433


Pantas sungguh masa berlalu, sudah berlalu setahun dalam kalender Islam hijrah dan kini kita berada pada tahun baru 1433 hijrah menandakan semakin jauhnya jarak kita berbanding dengan peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w dan semakin hampir dengan ajal kita yang tidak diketahui bila akan menjemput kita.

Maka benarlah hadis daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah bersabda :
لا تقوم الساعة حتى يتقارب الزمان وتكون السنة كالشهر ، والشهر كالجمعة ، وتكون الجمعة كاليوم ، ويكون اليوم كالساعة ،
وتكون الساعة كالضرمة بالنا
ر
Maksudnya : "Tidak akan berlaku hari kiamat sehinggalah masa menjadi sangat singkat, setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti sejam dan sejam seperti percikan nyalaan api." (Hadis ini dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi)

Rasanya sudah lama tak mengaktifkan diri untuk menulis dalam blog ini, barangkali disebabkan dengan alasan yang pelbagai yang boleh dinyatakan seperti faktor kerjaya, tugasan, tanggungjawab keluarga, kerja-kerja dakwah dan kemasyarakatan. Namun hakikatnya semua ini bukanlah alasan seandainya kita benar-benar berkehendak untuk menulis.

Tidak dinafikan manusia tidak dapat lari daripada sikap dan perasaan, ada kalanya rajin, ada kalanya malas, ada kalanya bersemangat dan ada kalanya malas. Maka kunci untuk mengawal segala sikap dan perasaan ini sudah tentulah kekuatan jiwa yang disuburi dengan Iman dan Ilmu seterusnya melahirkan Amal sebagai tindakan.

Semoga, kedatangan bulan muharram tahun 1433 hijrah ini dapat menjadi pemangkin kepada suatu perubahan ke arah yang lebih baik terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara umat Islam mengikut neraca syarak berdasarkan penghayatan pengajaran makna dan ruh daripada hijratur Rasul menjadikan Islam sebagai al-Deen (cara hidup) dan al-daulah (cara pemerintahan).

Hijrah bukan sekadar sambutan meriah,
tetapi penghayatan untuk merubah,
muhasabah buat ummah dan pemerintah,
sejauh mana melaksanakan perintah,
yang termaktub dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

Salam ma'al hijrah...

1 Muharram 1433 H
Bait Al-Nur, Gombak.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...