Tuesday, April 28, 2009

Syarat dan Adab Kunci Kejayan

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله وكفي والصلاة والسلام علي السول المجتبي وعلي آله وصحبه ومن اهتدي , أما بعد
Alhamdulilah, segala puji bagi Allah S.W.T tuhan yang menciptakan alam sejagat serta segala isinya, yang menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian, yang mengutuskan para anbiya' dan rasul bagi memimpin manusia ke jalan yang benar, yang membangkitkan rasul utusan terakhir-nabi Muhammad S.A.W-sebagai rahmat buat sekalian alam.

Setinggi kesyukuran diucapkan ke hadrat Ilahi kerana menjadikan kita sebagai umat nabi Muhammad S.A.W yang dibekalkan dengan panduan Al-Quran dan As-Sunnah dalam melayari bahtera kehidupan dunia yang singkat tempohnya yang diibaratkan dalam hadis nabi S.A.W antara asar hingga maghrib, atau diisyaratkan kepada kita antara waktu azan hingga solat.

Kelahiran disambut dengan azan
Kematian diiringi solat jenazah
Petanda isyarat singkatnya zaman
Rebut kebajikan saham ibadah

Justeru, Islam menuntut kepada umatnya agar menjadikan kehidupan dunia sebagai jambatan untuk sampai kepada kehidupan akhirat yang kekal abadi. Islam menuntut kepada umat untuk mencapai kejayaan di dunia agar beroleh kebahagiaan di akhirat. Islam mengajar umatnya untuk menjadikan setiap amalan dan pergerakan kita sama ada berjalan, berlari, duduk, makan minum, bekerja untuk mencari nafkah kehidupan serta menuntut ilmu sebagai ibadah. Setiap pergerakan yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T serta dipandu dengan garis panduan Syara' maka dinilaikan sebagai ibadah.

Menuntut ilmu adalah sebahagian daripada ibadah sama ada ilmu agama seperti ilmu tauhid, feqh, akhlaq (Tasawwuf) mahu pun ilmu tajribah seperti sains, matematik, perubatan dan sebagainya kerana matlamat menuntut ilmu adalah untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T. Menuntut ilmu agama adalah bertujuan untuk menghindari diri daripada kejahilan lalu beramal dengan ilmu yang dipelajari serta menyampaikannya kepada yang lain. Menuntut ilmu tajribah adalah bertujuan untuk membangunkan ummah dan Islam dengan ilmu yang dipelajari.

Islam menuntut kepada Tolibul Ilmi agar sentiasa cemerlang. Justeru, apakah kayu ukur serta penilaian kejayaan seorang Tolibul Ilmi? Adakah dengan mendapat keputusan Imtiyaz, Jayyid Jiddan atau Jayyid dalam peperiksaan sudah dianggap berjaya? Peperiksaan hanyalah sebagai wasilah untuk menilai sejauh mana penguasaan terhadap ilmu yang dipelajari. Seandainya seseorang itu hanya belajar untuk peperiksaan maka segala usaha, tenaga dan masa hanya ditumpukan pada musim peperiksaan sahaja. Selepas itu adalah waktu untuk berehat dan bersenang lenang sambil menunggu keputusan peperiksaan. Adakah ini sikap seorang penuntut ilmu untuk mengejar kejayaan dunia semata-mata?

Kejayaan yang hakiki bagi seorang penuntut ilmu ialah apabila ilmu yang dipelajari dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan melihat kebesaranNya. Semakin banyak ilmu yang dipelajari semakin terasa hampir dengan Allah dan Rasul kerana ilmu itu adalah cahaya sebagaimana kata-kata Malik bin Anas R.A :

عَنْ مَالِكِ بْنِ أَنَسٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ:"إِنَّ الْعِلْمَ لَيْسَ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ، إِنَّمَا الْعِلْمُ نُورٌ يَقْذِفُهُ اللَّهُ فِي الْقَلْبِ

Maksudnya : "Sesungguhnya ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat(mampu menghafal dan menukilkan fakta-fakta), sebaliknya ilmu itu adalah cahaya yang Allah campakkan ke dalam hati."

Oleh yang demikian, bagaimanakah cara untuk beroleh kejayaan yang sedemikian? Apakah resepi yang terbaik untuk mendapat cahaya ilahi? Untuk menghasilkan masakan yang enak dan sedap dimakan memerlukan kepada bahan-bahan dan ramuan-ramuan tertentu dengan kadar dan sukatan tertentu kemudian diadun dengan teknik-teknik tertentu oleh seorang tukang masak, maka demikian juga untuk mendapat keenakan dalam menuntut ilmu memerlukan kepada bahan dan ramuan tertentu yang harus dipenuhi dan digaul sebati oleh seorang penuntut ilmu. Ramuan dan bahan tersebut ialah syarat-syarat dan adab-adab ilmu yang perlu dipenuhi oleh seorang penuntut ilmu.

Insyallah bersambung ke siri akan datang...


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...