Tuesday, February 2, 2010

Coretan Kembara

Jumaat (29 Januari 2010)

Dari Perlis menuju ke Kampar
Singgah jumaat di
Parit Buntar
Nasi ayam hilangkan lapar
Berjalan jauh perlu bersabar

Mambang di awan tempat bermalam
Ziarah keluarga rumah kekanda
Tangan dikucup tautan salam
Datang bersama ayah dan bonda

Pak ndak mak ndak turut bertandang
Datang berkunjung dari
Rawang
Meriah berbual bukan kepalang
Sesudah makan siapkan barang


Sabtu (30 Januari 2010)

Menuju ke Ipoh tempat diundang
Rombongan meriah taut ikatan
Buah tangan dibawa bertandang
Penyeri majlis pelengkap hubungan

Nasi dagang juadah hidangan
Sedap dimakan bekal iringan
Terima kasih ucapan penghargaan
Selesai majlis terus perjalanan

Bangi di tuju penuhi jemputan
Kenduri kahwin sahabat perjuangan
Bertemu di sana rakan taulan
Ukhwah sejati terus berpanjangan

Gambar diambil bersama mempelai
Sebagai kenangan sebelum bersurai
Salam dihulur dosa dilerai
Majlis diseri kehadiran ramai

Dari
Bangi menghala ke Sentul
Teman jemput ziarah keluarganya
Singgah sebentar di
Gombak berkumpul
Teman lama sudah bekerjaya

Gembira lihat teman berkeluarga
Anak isteri meriahkan suasana
Nasi ayam dihidangkan juga
Santapan malam tidur lena

Tengah malam pulang ke
Bangi
Seksyen tujuh tempat menginap
Tersangat letih sejak pagi
Gembira ukhuwah tidak lenyap

Ahad (31 Januari 2010)

Teman mengajak ke Cyberjaya
Nikmati hidangan makanan arab
Pabila sampai malang nasibnya
Kerusi restoran masih meniarap

Rahim's Bistro restoran sebelah
Mengubat kecewa hajat di hati
Nasi briyani menghilang lelah
Waktu pulang semakin pasti

Salam berpisah sesama teman
Terasa pantas edaran zaman
Maaf dipinta doa dipanjatkan
Hidup berkat atas pegangan

Masuk highway dari
Shah Alam
Singgah
Georgetown ziarah taulan
Jelutong tempat tumpang bermalam
Kerana bas tamat perkhidmatan

Sesudah subuh menaiki feri
Sejuk rasanya ombak bergolak
Butterwoth dituju bas di cari
Tiket ke
Kangar lambat bertolak

Beli tiket untuk ke
Alor Setar
Kejar masa mengelak menunggu
walau terpaksa menahan lapar
supaya jadual tidak terganggu

Dari
Alor Setar balik Perlis
Menaiki bas kali terakhir
Sudah lama tidak menulis
Coretan diungkap selepas fikir


17 Safar 1431 H

Dar Al-Hikmah,
Kg. Guru Kangar,
Perlis.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...