Saturday, July 26, 2008

Adakah "Rejab" bulan bagi Allah ?


Dijawab oleh : Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi

Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi


Soalan :

Kita banyak mendengar khutbah jumaat yang disampaikan oleh khatib terutama ketika pada awal bulan rejab akan hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihan bulan ini, dan pahala berlipat ganda yang disediakan Allah S.W.T bagi mereka yang berpuasa walaupun hanya sekadar satu hari sahaja pada bulan ini. Dan antara hadis-hadisnya berbunyi ;

"رجب شهر الله، وشعبان شهري، ورمضان شهر أمتي"

Maksudnya : Rejab ialah bulan Allah, Sya’ban ialah bulan Aku, dan Ramadhan ialah bulan umatku.”

Apakah pandangan tuan terhadap hadis ini? Adakah benar apa yang diperkatakan dalam hadis tersebut? Apakah hukum bagi seseorang yang meriwayatkan akan hadis-hadis palsu yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W?


Jawapan :

Tidaklah benar akan apa-apa yang berkait dengan bulan Rejab melainkan ia adalah antara bulan-bulan Haram yang disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran :(منها أربعة حرم) yang bermaksud : diantara bulan-bulan tersebut adanya 4 bulan yang Haram" antaranya ialah bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah, Muharram dan Rejab. Kesemua ini adalah bulan-bulan yang dimuliakan.

Tidak terdapat pun hadis-hadis sahih yang mengkhususkan bulan rejab dengan kelebihan melainkan hadis hasan ;

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يصوم أكثر ما يصوم في شعبان، فلما سئل عن ذلك قال: أنه شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان

Maksudnya : “bahawasanya nabi S.A.W banyak berpuasa pada bulan Sya’ban, dan apabila ditanya kepadanya tentang perkara tersebut maka baginda berkata ; “Bulan tersebut adalah bulan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia kerana berada antara bulan Rejab dan Ramadhan.”

Justeru difahami daripada hadis ini bahawa bulan Rejab mempunyai kelebihan. Manakala hadis nabi yang berbunyi “Rejab ialah bulan Allah, Sya’ban ialah bulan Aku, dan Ramadhan ialah bulan umatku,” ialah hadis mungkar dan terlampau dhaif bahkan ramai dikalangan ulama’ yang menghukumnya sebagai hadis maudhu’ yang bermaksud hadis yang dusta. Hadis ini tidak mempunyai nilai dari segi keilmuan serta agama.

Demikian juga hadis-hadis lain yang meriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab bahawa sesiapa yang solat sedemikian… akan mendapat pahala sedemikian…, sesiapa yang beristighfar sekali maka akan mendapat ganjaran sekian… Kesemua ini hanyalah berlampauan dan pembohongan semata-mata.

Dan diantara tanda-tanda pendustaan pada hadis-hadis ini ialah terdapatnya perkara-perkara kelebihan yang berlampauan dan perkara-perkara yang menakutkan yang berlampauan. Sesungguhnya para ulama’ telah berkata :

“Sekiranya terdapat janji-janji baik dengan pahala yang besar atas perkara-perkara yang kecil atau terdapatnya janji-janji buruk dengan azab yang berat terhadap dosa kecil, maka menunjukkan bahawa hadis tersebut adalah palsu.”

Sebagai contoh hadis yang disandarkan pada nabi S.A.W ;

"لقمة في بطن جائع خير من بناء ألف جامع"

Maksudnya : “Memberi sesuap makanan kepada seorang yang kelaparan lebih baik daripada membina seribu buah masjid.”

Para ulama’ mengatakan bahawa hadis ini adalah palsu kerana tidak dapat diterima akal bahawa sesuap makanan kepada seorang yang kelaparan pahalanya lebih besar daripada pahala yang diberikan kepada mereka yang membina seribu buah masjid.

Dan hadis-hadis yang terdapat tentang kelebihan bulan Rejab adalah sebahagian daripada hadis-hadis palsu. Menjadi kewajipan pada ulama’ untuk menyedari akan hadis-hadis maudhu’ lagi palsu yang seumpama ini dan mengingatkan manusia tentangnya. Sesungguhnya terdapat hadis daripada baginda S.A.W bersabda ;

"من حدث بحديث يرى أنه كذب فهو أحد الكاذبين"

Maksudnya : “Barangsiapa yang menyampaikan hadis yang dilihat (oleh ulama’) sebagai hadis yang dusta maka dia termasuk di dalam golongan yang pendusta.”

Namun kadangkala seseorang itu tidak mengetahui bahawa dia meriwayatkan hadis-hadis maudhu’, maka menjadi kewajipan kepadanya untuk belajar dan mengetahui akan hadis-hadis daripada sumber-sumbernya.

Di sana terdapat kitab-kitab hadis yang muktamad, dan terdapat juga kitab-kitab yang khusus tentang maklumat hadis-hadis dhaif dan maudhu’ seperti kitab Al-Maqasid Al-Hasanah karangan Imam Al-Sakhawi, kitab Tamyiz Al-Toyyib minal Khabith lima Yadur ‘ala Alsinah Al-Nas minal Hadis karangan Ibnu Al-Dhiba’, kitab Kasyful Khafa wal Ilbas fi ma Isytahara minal Ahadith ‘ala Alsinah karangan Al-‘Ajluni, dan banyak lagi… menjadi kewajipan kepada para khatib untuk mengetahuinya serta memahaminya agar tidak meriwayatkan hadis melainkan hadis-hadis tersebut diyakini kebenarannya. Sesungguhnya hadis-hadis maudhu’ dan palsu ini sudah menjadi penyakit yang menular masuk ke dalam thaqafah Islam bagi menarik perhatian dalam berkhutbah serta menulis agar diperkatakan oleh orang ramai, sedangkan pada hakikatnya hadis tersebut adalah palsu seterusnya menyelinap masuk ke dalam agama Islam.

Oleh itu, seharusnya kita menapis dan membersihkan thaqafah Islam daripada jenis hadis-hadis ini.

Sesungguhnya Allah S.W.T telah menjadikan para ulama sebagai orang yang mengetahui perkara-perkara asal dalam agama daripada perkara-perkara asing yang menular masuk ke dalam agama serta mereka turut mengetahui akan perkara-perkara yang ditolak oleh agama di samping perkara-perkara yang diterima oleh agama. Justeru , kita hendaklah mengambil manfaat daripada para ulama’ terhadap perkara-perkara yang dijelaskan kepada kita dari aspek keilmuan.

والله ولي التوفيق

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Sumber :

http://www.qaradawi.net/


1 comments:

Unknown said...

Bismillah...

Dalam perkara ini, ulama' berkhilaf. Dr Yusuf Alqaradhawi mengambbil pendapat yang mengatakan tiada hadis yang sahih. Ada pula ulamak lain mengambil pendapat yang sebaliknya. Ada pula ulamak yang menyebutkan terdapat hadis-hadis dhoif padanya yang boleh dijadikan amalan. Khilaf begini indah, jika kita dapat hayati.

Sila layari juga link berikut untuk kefahaman yang lebih jelas:

http://bahrusshofa.blogspot.com/2008/07/bulan-allah.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...