Friday, July 11, 2008

Kisah Israk dan Mikraj serta pengajarannya : Siri 2

Gambar Hiasan

1062-Peristiwa Mikraj :

Yang dimaksudkan dengan Mikraj ialah mikrajnya nabi Muhammad S.A.W-daripada Masjid Al-Aqsa di Bait Al-Muqaddas pada malam berlakunya Israk- ke langit yang ketujuh dan ke mana sahaja yang Allah S.W.T kehendaki. Peristiwa ini diperkukuhkan lagi dengan hadis-hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim. Dan Imam Ibnu Kathir telah meringkaskan peristiwa yang diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis lalu menempatkannya di dalam kitab tafsirnya.

Maka beliau (Ibnu Kathir) telah berkata :

“Sebenarnya nabi Muhammad S.A.W telah diperjalankan pada malam hari secara sedar serta jaga, dan bukannya secara mimpi di dalam tidur bermula dari mekah menuju ke Bait Al-Muqaddas dengan menunggang Al-Buraq. Apabila tiba di pintu masjid baginda telah mengikat tunggangannya di pintu lalu memasuki masjid dan solat 2 rakaat tahiyyatul masjid pada kiblatnya yang asal kemudian didatangkan kepadanya mikraj umpama seperti tangga yang mempunyai anak tangga yang dapat dinaiki melaluinya. Maka nabi Muhammad S.A.W menaikinya menuju ke langit dunia seterusnya melalui baki langit-langit yang tujuh. Dan nabi bertemu pada setiap langit dengan para nabi dan memberi salam kepada para nabi yang terdapat pada setiap tingkatan langit berdasarkan kedudukan dan darjat mereka sehinggalah nabi S.A.W bertemu dengan nabi Musa pada langit yang keenam manakala nabi Ibrahim pada langit ketujuh seterusnya menjangkaui tingkatan kedua-dua mereka sehingga sampai di suatu peringkat nabi mendengar akan suara Qalam iaitu qalam qadar sebagaimana ia dijadikan, baginda melihat pohon Sidratul Muntaha, malaikat Jibril dalam rupanya yang sebenar, Baitul Ma’mur iaitu ka’bah dilangit yang berhubung dengan ka’bah di bumi yang dibina oleh nabi Ibrahim serta baginda melihat syurga dan neraka. Dan di sinilah Allah S.W.T telah memfardhukan solat sebanyak 50 kali, kemudian diringankan sehinggalah tinggal 5 kali sebagai tanda rahmat dan kasih terhadap hambanya. Setelah itu baginda turun semula ke Baitul Muqaddas lalu menunaikan solat bersama dengan para anbiya’ di sana, kemudian baginda keluar daripada Baitul Muqaddas dengan menaiki Buraq dan kembali semula ke Mekah hampir pada waktu pagi. [1]

1063-Pengajaran daripada Kisah Israk dan Mikraj :

Pertama :

Israk dan Mikraj adalah mukjizat hissiyyah :

  • Israk dan Mikraj merupakan sebahagian daripada mukjizat yang nyata bagi nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa Israk jelas disebut di dalam nas Al-Quran manakala peristiwa Mikraj pula nyata disebut di dalam Hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh kedua-dua Imam Muhaddithin ; Al-Bukhari dan Muslim. Semestinya bagi seorang muslim itu meyakini dan membenarkan segala apa yang telah diriwayatkan oleh kedua-dua mereka.

  • Menjadi kewajipan kepada para pendakwah untuk menerangkan kepada manusia supaya tidak menafsirkan tentang perihal yang berkaitan dengan peristiwa Israk dan Mikraj dengan tafsiran yang salah dan sepatutnya tindakan yang benar ialah beriman serta menyakini akan kedua-dua peristiwa tersebut sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

  • Para pendakwah juga perlu menjelaskan kepada manusia bahawasanya nabi kita; nabi Muhammad S.A.W telah diberikan mukjizat hissiyyah-yang dapat diketahui dengan menggunakan pancaindera- antaranya ialah peristiwa Israk dan Mikraj, sebagaimana juga diberikan mukjizat yang bersifat batin (‘aqliyyah), serta mukzijat Al-Quran.

  • Tidak harus menafsirkan mukjizat hissiyyah dengan tafsiran yang mengeluarkan makna mukjizat daripada hakikatnya. Hal ini kerana mukjizat ialah sesuatu perkara luar biasa daripada ketetapan alam yang diketahui oleh manusia. Sekiranya kita menafsirkannya supaya bertepatan dengan ketetapan alam yang kita ketahui maka tidaklah dikira sebagai mukjizat.

  • Sesungguhnya para nabi terdahulu telah dianugerahkan mukjizat hissiyyah sebagaimana dijelaskan di dalam Al-Quran, maka tidak hairanlah sekiranya nabi kita; nabi Muhammad S.A.W turut dianugerahkan sebahagian daripada mukjizat hissiyyah berserta mukjizat yang berkekalan iaitu mukjizat Al-Quran.

1064- Kedua :

Menzahirkan kemuliaan martabat nabi kita; nabi Muhammad S.A.W :

  • Di dalam kisah Israk dan Mikraj jelas Allah S.W.T telah menzahirkan kedudukan yang tinggi bagi nabi Muhammad S.A.W dan tidak ada rasul sebelumnya yang menyamai kedudukannya. Tidaklah hairan kerana Allah S.W.T sahaja yang berhak melebihkan antara rasul-rasulnya sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran. Firman Allah S.W.T :

Maksudnya : “Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain”

(Al-Baqarah : 253)

Dan Sabda nabi Muhammad S.A.W :

((أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ وَلَا فَخْرَ))

Maksudnya : “Saya adalah penghulu bagi anak Adam dan tidaklah aku

bermegahan”.[2]

  • Menjadi kewajipan bagi para pendakwah untuk menjelaskan kepada manusia tentang keistimewaan yang diberikan kepada nabi Muhammad S.A.W agar bertambah kecintaan terhadapnya dan mengikut akan petunjuknya.

1065-Ketiga :

Menjelaskan akan kepentingan solat serta kedudukannya yang besar :

  • Sesungguhnya telah nyata di dalam Al-Sunah Al-Nabawiyyah bahawa solat telah difardhukan ke atas umat Islam pada malam nabi S.A.W diangkat ke langit. Sebagaimana Ibnu Kathir berkata :

“menunjukan kepada perhatian yang besar terhadap kemuliaan solat serta kebesarannya”.[3]

  • Menjadi kewajipan bagi para pendakwah untuk mengukuhkan penghayatan akan kepetingan solat dan menjaganya di kalangan manusia di samping memberi peringatan kepada mereka tentang kepentingan solat serta kedudukannya yang besar kerana solat telah difardhukan pada malam mikraj serta merupakan wasiat terakhir nabi Muhammad S.A.W kepada umatnya sebelum wafat.
---------------------------------------------

والله أعلم بالصواب

الفقير عند عفو ربه

Jumaat : 7 Rejab 1429 H


[1] Tafsir Ibnu Kathir, Jil. 3, m/s 22-23

[2] Riwayat Ibnu Majah. Turuq lain bagi hadis ini ialah riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Imam Ahmad.

[3] Tafsir Ibnu Kathir; Jil. 3, m/s 23.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...