6. Pujian para ulama’ keatasnya :
Ramai di kalangan ulama’ Islam dan huffaz hadis yang memujinya dan mengiktiraf ilmu dan kelebihan yang ada pada Imam Al-Bukhari terutama ilmunya dalam bidang Al-Rijal [1]dan ‘Ilal Al-Hadis. [2]
Berkata Ishak bin Rahuyah : “Hendaklah kamu menulis hadis daripada pemuda tersebut (iaitu Al-Bukhari) kerana sekiranya dia berada pada zaman Al-Hasan (iaitu Al-Hasan Al-Basri) nescaya mereka turut berhajat kepadanya (Al-Bukhari) kerana pengetahuannya tentang hadis dan feqh hadis.”
Berkata Imam Ahmad : “Tidak ada insan yang dilahirkan di Khurasan seumpama seperti Muhammad bin Ismail.”
Berkata Muhammad bin Abi Hatim : “Aku telah mendengar Mahmud bin Al-Nadhar iaitu Aba Sahl Al-Syafie berkata ; Aku telah masuk ke Al-Basrah, Al-Syam, Al-Hijaz, Al-Kufah, justeru aku melihat para ulama di sana ketika menyebut tentang Muhammad bin Ismail telah melebih serta memuliakannya berbanding diri mereka sendiri.”
7. Ibadahnya, waraknya serta kebaikannya :
Sebagaimana terhimpun pada Imam al-Bukhari kehebatan dalam ilmu feqh dan hadis, turut terhimpun padanya kehebatan dari segi ibadah. Beliau banyak membaca Al-Quran dan bersolat terutamanya pada Ramadhan, iaitu beliau akan khatamkan Al-Quran sekali pada siang harinya dan akan bangun selepas solat tarawih untuk membaca Al-Quran dan akan khatamkan bacaannya sekali selama tiga malam. [3]
Beliau juga seorang yang warak dalam perbualan dan percakapannya. Beliau berkata : “Aku berharap akan bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak dihitungkan bahawa aku telah mengumpat seseorang.” [4]
Beliau juga merupakan seorang yang mustajab doanya. Ketika berlakunya mehnah ke atasnya, beliau telah berdoa selepas wiridnya : “Wahai Tuhanku, sesungguhnya telah sempit bagi ku akan dunia ini dengan apa yang telah berlaku maka ambillah daku untuk kembali kepadamu.” Setelah berlalu sebulan beliau telah meninggal dunia. [5]
Beliau pernah berkata : “ Tidaklah sepatutnya bagi seorang muslim itu apabila berdoa lalu tidak diperkenankan doanya. Lalu isteri saudaranya telah berkata kepadanya; Adakah telah jelas berlaku kepada kamu atau kamu memang sudah mencubanya? Jawab Al-Bukhari; Ya, aku telah berdoa kepada Allah sebanyak 2 kali lalu Allah telah perkenankannya. Setelah itu aku tidak gemar untuk berdoa kerana bimbang akan mengurangkan amalan kebaikanku atau permintaan tersebut akan disegerakan di dunia. Katanya lagi; Seseorang muslim itu tidak perlu untuk berdusta dan bakhil.” [6]
8. Keperibadiaan dan Akhlaqnya:
Beliau merupakan seorang yang pemurah dan banyak menginfak hartanya kepada golongan faqir dan miskin terutamanya kepada anak muridnya serta rakan-rakannya.
Berkata Abdullah bin Muhammad Al-Soyarafi : “Ketika aku bersama dengan Abi Abdillah (Imam Al-Bukhari) di rumahnya, telah datang seorang jariahnya (hamba perempuan) kepadanya dan ingin masuk ke rumahnya lalu telah menempuh botol dakwat dihadapannya. Berkata Al-Bukhari kepadanya; Bagaimana kamu berjalan? Jawab jariahnya; Bagaimana aku hendak berjalan sekiranya tidak ada laluan utk berjalan di dalam rumah ini. Lalu berkata Al-Bukhari kepadanya sambil menghulurkan tangan; Pergilah, sesungguhnya aku telah memerdekakan kamu.” Ditanya Al-Bukhari; Adakah jariah itu telah membuatkan kamu marah? Jawab Al-Bukhari; Sekiranya jariah itu marah kepadaku sesungguhnya aku telah redha dengan apa yang telah aku lakukan.” [7]
[1] Ilmu yang dapat mengetahui perihal perawi dari segi tarikh lahir dan wafatnya, juga mengenali guru-gurunya serta tarikh seseorang perawi itu mendengar hadis daripada gurunya, juga mengenali anak muridnya, tempat asal mereka, tempat tinggal mereka, pengembaraan menuntut ilmu serta komentar ulama’ ke atasnya dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan hadis mengikut perspektif kaedah-kaedah ilmu Jarh wa Ta’dil. -Lihat Mausu’ah ‘Ulum Hadis, m/s 545.
[2] Ilmu yang mempunyai kaedah-kaedah yang dapat mendedahkan sebab-sebab yang tersembunyi serta mencacatkan kesahihah hadis serta hukum-hukumnya. – lihat Lamhat Mujazah fi Usul ‘Ilal Al-Hadis, Dr. Nuruddin , m/s 15.
[3] Opcit, m/s 749.
[4] Opcit, m/s 748.
[5] Lihat Sair Al-A’lam Al-Nubala, jilid 12, m/s 443.
[6]Lihat Sair Al-A’lam, jilid 12, m/s 402 dan Hadyu Al-Sari, m/s 748.
[7]Lihat Sair Al-A’lam, jilid 12, m/s 425 dan Hadyu Al-Sari, m/s 747.
0 comments:
Post a Comment