Friday, June 27, 2008

Imtihan oh imtihan...



Sungguh pantas masa berlalu, seakan-akan rasa ketinggalan untuk mengejar masa walaupun hari ini kehidupan penuh dengan kecanggihan dan teknologi. Pejam celik, celik pejam sudah berlalu 3 kertas peperiksaan bagi tahun pertama Ijazah Sarjana. Masih berbaki 7 kertas lagi bagi menghabiskan peperiksaan bertulis kali pertama yang bakal berakhir pada 17 Julai. Suatu perjalanan yang masih jauh dan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan bagi menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Al-Azhar.

Perjalanan yang masih jauh kerana tempoh pengajian Al-Azhar bagi peringkat Sarjana yang lama kerana pelajar peringkat ini perlu melalui tahap tamhidi (permulaan) selama 2 tahun iaitu diwajibkan mengikuti muhadharah (kelas) dan lulus dalam peperiksaan setiap tahun sekurang-kurangnya dengan pangkat Jayyid bagi melayakkan untuk melalui tahap seterusnya iaitu penulisan tesis. Kebiasaannya tempoh untuk menghabiskan penulisan tesis sehinggalah tesis tersebut dinilai dan dibahaskan adalah melebihi 2 tahun. Maka sekiranya ditambah tempoh bagi kedua tahap tersebut memakan masa hampir 4 tahun bahkan lebih lagi seakan-akan sama tempohnya untuk menghabiskan Ijazah Sarjana Muda di Al-Azhar.

Perjalanan yang penuh dengan cabaran dan ujian pula kerana sistem pengajiannya yang sangat sukar dan ketat berbanding dengan universiti-universiti lain. Sistemnya dahulu mewajibkan para pelajar lulus bagi semua subjek pada peperiksaan pada bulan Jun, seandainya gagal satu subjek saja maka diiktibarkan gagal semua subjek dan perlu menduduki semula peperiksaan kali kedua pada bulan September. Kebiasaan subjek yang perlu diambil adalah antara 6 hingga 10 subjek mengikut kursus jabatan yang diambil dan subjek tersebut telah ditetapkan oleh pihak universiti.

Baru-baru ini dikhabarkan pihak universiti ada membuat perubahan pada sistem dengan meringankan syarat-syarat sebelum ini, iaitu subjek yang gagal semasa peperiksaan kali pertama sahaja yang perlu diulang peperiksaannya kali kedua pada bulan September. Namun sehingga sekarang masih belum lagi diketahui sejauh mana perlaksanaannya pada tahun ini. Harus tunggu dan lihat kerana inilah Al-Azhar yang tidak dapat dijangkakan serta tiada yang mustahil iaitu mustahil untuk berubah mahupun mustahil untuk tidak berubah.

Selain itu cabaran jadual peperiksaan yang hanya selang sehari sahaja turut memberi tekanan tambahan pula tatkala pelajar peringkat sarjana sedang sibuk berada dalam tempoh peperiksaan para pelajar peringkat sarjana muda pula dalam suasana cuti. Apa tidaknya, bilangan pelajar Malaysia yang menyambung pengajian ke peringkat sarjana hanya sedikit boleh dibilang dengan jari. Namun itu semua bukan alasan untuk patah semangat untuk meneruskan pengajian kerana ingin memperolehi mutiara-mutiara ilmu dari para Ulama' Mesir yang hebat dari segi keilmuannya dan tawadhu' dari segi akhlaknya.

Masih ku teringat akan pesanan seorang ustaz sewaktu permukiman di bumi waqafan, tanah air Malaysia yang berpesan, "Seandainya enta mahu tafaqquh (mendalami) ilmu agama maka Mesirlah tempatnya, namun seandainya hanya mahu tasarru' (cepat) dalam menuntut ilmu Mesir bukan tempatnya." Ruanglingkup ilmu-ilmu Islam sangat luas dan sememangnya tidak dapat diperolehi dengan sekelip mata atau hanya beberapa tahun. Sedangkan para ulama' dahulu menghabiskan separuh usia mereka hanya dalam menuntut ilmu. Sememangnya dalam suasana peperiksaan 24 jam sehari adalah suatu tempoh yang tidak cukup untuk mengulangkaji pelajaran. Namun apakan daya inilah sunnatullah (ketetapan Allah) terhadap alam ini. Justeru, peperiksaan adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan dengan manusia terutama sebagai penuntut ilmu kerana ia adalah sebagai kayu ukur terhadap pencapaian diri namun hanya sekadar wasilah dan bukannya segala-galanya.

Sedar atau tidak sebenarnya setiap hari kita berhadapan dengan ujian iaitu ujian kita berhadapan dengan Allah sama ada secara qalbi, lisan mahupun amalan. Adakah kita menjawab serta melengkapkan soalan yang diminta kepada kita atau sebaliknya mengabaikannya? Setiap hari umat Islam diberikan soalan untuk solat 5 waktu, melakukan kebaikan serta meninggalkan kejahatan. Setiap tahun semua umat Islam menduduki peperiksaan selama 30 hari untuk menjawab soalan puasa. Sejauhmana kita menjawab soalan-soalan tersebut. Setiap umat Islam mengetahui akan menduduki peperiksaan sewaktu di alam barzakh serta di Padang Mahsyar nanti? Sejauhmana persediaan kita untuk menghadapinya. Benarlah manusia ini adalah penuntut rahmat dan redha Allah S.W.T maka sebab itu kita tidak terlepas daripada ujian dan peperiksaanNya yang jauh lebih penting dari segala-galanya.



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...